collections khutbah Keperibadian Rasulullah s.a.w. Dalam Kemarahan
Keperibadian Rasulullah s.a.w. Dalam Kemarahan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

29 November 2019 / 2 Rabiul Akhir 1441H

Keperibadian Rasulullah s.a.w. Dalam Kemarahan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t dengan menjalankan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Semoga Allah s.w.t menetapkan keimanan di dalam hati kita hingga ke akhir hayat. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

 

Saudaraku,

Izinkan saya untuk memulakan khutbah pada hari ini dengan sebuah kisah. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, tentang seorang lelaki yang datang bertemu dengan Rasulullah s.a.w., lalu meminta nasihat daripada Rasulullah. Beliau berkata: “Ya Rasulullah, berilah pesanan untukku”. Rasulullah s.a.w. menjawab: “Jangan engkau marah”. Kemudian sahabat itu bertanya lagi: “Kemudian apa lagi pesananmu, ya Rasulullah? Rasulullah tetap memberikan jawapan yang sama: “Jangan engkau marah”.

 

Saudaraku,

Ketika kita menghayati maksud di sebalik hadis yang telah saya bacakan tadi, ia memberi kepada kita suatu panduan yang penting. Yang pertama dan utama, dengan mengiktiraf bahawa sifat marah itu merupakan sebahagian daripada lumrah insani.

Ia tidak dinafikan oleh agama. Bahkan mungkin pada saat ini, terdapat di antara kita yang sedang menahan perasaan marah. Mungkin terhadap kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian individu. Mungkin juga terhadap mereka dari kalangan ahli keluarga kita. Ataupun disebabkan perselisihan faham yang berlaku, antara rakan sekerja dan sebagainya.

Maka pendekatan yang diajar agama, bukanlah dengan menafikan perasaan marah tersebut. Akan tetapi dengan mengawal perasaan marah. Perhatikan hadis Nabi s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Orang yang kuat bukanlah yang kuat ketika bergaduh, namun orang yang kuat adalah mereka yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” [Hadis riwayat Bukhari].

Panduan kenabian tersebut, pada hemat saya, amat bermakna. Ia mengajarkan kepada kita maksud sebenar bersabar ketika berada dalam keadaan marah.

 

Kerana ciri seorang yang bersabar itu bukan dengan mendiamkan diri, lalu menahan diri daripada memberi reaksi di sebalik segala yang telah dilontarkan dan menyakitkan kita.  Kesabaran dalam kemarahan adalah apabila kita dapat mengawal emosi, dan berusaha untuk berbicara dengan kata-kata yang baik kepada mereka yang telah menyakiti kita.

 

Inilah ciri-ciri seorang Mukmin dalam kemarahan. Beliau akan menonjolkan tutur cara yang penuh dengan kasih sayang dan hormat. Pada masa yang sama, bersifat ihsan dan tetap memaafkan mereka. Perhatikan firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 134 yang menjelaskan ciri-ciri mereka yang beriman. FirmanNya yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: Iaitu orang yang membelanjakan dalam keadaan senang dan sempit, dan mereka yang menahan marah serta yang memaafkan manusia. Dan Allah cinta kepada orang yang berbuat kebaikan.

 

Sekiranya ini dapat kita laksanakan, maka alhamdullilah. Sekiranya tidak, maka yang diajar Nabi s.a.w. adalah untuk berhati-hati ketika berbicara, ataupun membuat keputusan semasa kita berada dalam keadaan marah. Nabi sering berdoa:

 

Yang bermaksud: “Ya Allah, aku bermohon kepadaMu, kata-kata yang benar, semasa reda dan marah.” (Riwayat Ahmad).

 

Saudaraku,

Marilah sama-sama kita amati dan contohi keperibadian Nabi s.a.w. yang mendidik keluarganya dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Bukan dengan kekerasan ataupun kemarahan. Kerana seperti insan lain, terdapat juga beberapa cabaran dalam rumahtangga Baginda s.a.w. Namun bagaimana Baginda s.a.w. berusaha untuk menangani segala permasalahan yang timbul? Adakah Baginda terus bertindak dan mengedepankan pendapat Baginda dalam apa keadaan sekali pun? Adakah Baginda menggunakan kekerasan terhadap isteri-isterinya? Ataupun Baginda menguruskan setiap perselisihan dengan penuh kesabaran, perbincangan dan perasaan kasih sayang?

 

Ketahuilah saudaraku, bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah membalas keburukan yang timpa ke atas dirinya dengan keburukan yang sama. Sehingga di dalam rumahtangga, Rasulullah s.a.w. tetap bersifat penyabar, lemah lembut dan bertanggungjawab. Justeru antara perkara yang diwasiatkan oleh Baginda s.a.w sebelum wafatnya ialah kata-katanya yang bermaksud: “Ingatlah bahawa aku telah mewasiatkan kepada kalian agar berbuat baik dengan kaum wanita” [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim].

 

Saudaraku,

Kadangkala, kita banyak mendengar isu keganasan domestik yang berlaku. Sememangnya ia merupakan satu isu yang amat merunsingkan. Kerana keganasan di dalam rumahtangga merupakan suatu perkara yang tidak diterima sama sekali di dalam ajaran Islam. Sama ada melalui penderaan psikologi ataupun penderaan jasmani. Dan sebagaimana kita memerhatikan hubungan yang baik dengan Tuhan, akhlak yang baik sesama teman dan rakan, begitu juga seharusnya kita memerhatikan bahawa hubungan kita bersama ahli keluarga yang berdekatan dengan kita itu sentiasa terpelihara.

 

Pasangan yang berhadapan dengan tindakan keganasan, perlu mencari huraian segara. Ini agar segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik. Amalkan sikap berlapang dada dan saling memaafkan ketika mencari huraian bagi kekusutan yang berlaku di dalam rumahtangga.

 

Yang pentingnya, adalah mereka yang berhadapan dengan keganasan tersebut, tidak boleh berdiam diri sama sekali. Dan sekiranya kita mengenali sesiapa yang berhadapan dengan cabaran tersebut, hulurkanlah bantuan. Kadangkala bantuan yang diberi, adalah dengan memaklumkan kepada pihak yang berkuasa, agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil dengan segera.

 

Semoga Allah s.w.t. memelihara institusi keluarga kita dan mengeratkan tautan kasih dan sayang di dalam rumahtangga kita. Semoga dengannya akan terbentuk sebuah masyarakat yang saling memaafkan dan akan terlindung dari bahaya keganasan yang dapat merosakkan perhubungan kemanusiaan.