collections khutbah Kepentingan Nasihat-Menasihati di dalam Agama
Kepentingan Nasihat-Menasihati di dalam Agama

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

1 Disember 2023 / 17 Jamadil Awal 1445H 

 

Kepentingan Nasihat-Menasihati di dalam Agama

Para jemaah yang dirahmati Allah (S.W.T.),

Saya berpesan kepada diri saya sendiri serta saudara dan saudari yang dimuliakan Allah sekalian agar bertakwa kepada Allah (S.W.T.). Kita berusaha melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan yang demikian, masyarakat kita beroleh Rahmat daripada Allah (S.W.T.) di dunia dan di akhirat. Amin.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Baginda Rasulullah (S.A.W.) mengajar umatnya pelbagai doa di dalam usaha memperkukuhkan hubungan kita dengan Allah (S.W.T.) serta memohon bantuan dan taufik-Nya dalam kehidupan. Setiap doa yang diajarkan Baginda (S.A.W.) pula menekankan pentingnya perkara yang didoakan dalam kehidupan kita sebagai umat yang beriman. Di antara doa-doa yang diajarkan oleh Baginda (S.A.W.) adalah: 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Yang bermaksud: “Ya Allah, Aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.” (Hadis Riwayat Imam Ibn Majah dan Imam Ahmad). 

Doa ini jelas menunjukkan pentingnya tiga perkara dalam kehidupan seharian kita di atas muka bumi ini: ilmu yang membawa manfaat dan kebaikan, rezeki yang membawa keberkatan, dan amalan yang ikhlas dan diterima Allah (S.W.T.). Imam Malik Bin Anas (R.A.) menafsirkan ilmu sebagai hikmah. Hikmah, menurut beliau lagi, adalah cahaya petunjuk yang diberikan Allah (S.W.T.) kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Allah (S.W.T.) telah memberitahu mengenai hal ini di dalam Surah Al-Baqarah ayat 269 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dia menganugerahkan hikmah (ilmu yang berguna) kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahkan hikmah, ia benar-benar telah dianugerahkan dengan kurniaan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Antara tugas yang dipertanggungjawabkan kepada para Nabi dan Rasul adalah menyampaikan ayat-ayat suci yang diturunkan oleh Allah kepada umat mereka, menyucikan manusia dari dosa dan noda, dan mengajar mereka al-Kitab dan al-Hikmah

Para Anbiya’ termasuk Junjungan Baginda Nabi Muhammad (S.A.W.) telah berusaha sedaya upaya di dalam memberi bimbingan, peringatan serta nasihat kepada kaum masing-masing dengan segala kemampuan mereka. Bahkan, Allah (S.W.T.) telah merakamkan di dalam kitab suci Al-Qur’an usaha-usaha mereka, di dalam menyampaikan dakwah dan peringatan dengan penuh ketekunan dan kesabaran. Hal ini dilakukan oleh para Anbiya’ dengan penuh penghayatan bertujuan semata-mata mengharapkan rahmat serta pengampunan dari Allah (S.W.T.). Walau badai yang melanda, walau kata-kata nista yang dilemparkan, namun mereka tetap menjalankan tanggungjawab menasihati umat mereka.

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Sekarang ini, kita tidak hidup di zaman para Nabi. Namun, untaian-untaian ilmu serta hikmah Al-Quran dan As-Sunnah masih terus tersemat dan mekar di hati sanubari insan-insan yang mulia. Mutiara-mutiara itu kini disampaikan oleh pewaris para Anbiya’, iaitu para Ulama dan guru-guru agama. Para Anbiya’ tidak mewariskan pusaka berbentuk harta benda. Akan tetapi, mereka mewariskan pusaka yang lebih berharga, iaitu ilmu pengetahuan dan hikmah atau kebijaksanaan. 

Adalah menjadi tanggungjawab mereka yang berilmu untuk menyampaikan ajaran dan nasihat agama, dengan berpandukan prinsip-prinsip serta nilai-nilai seperti kasih sayang (Rahmah), kebijaksanaan (Hikmah) dan kata-kata yang baik (Mau’izah Hasanah).  

Begitu juga di dalam menggali mutiara-mutiara hikmah di sebalik kejadian-kejadian yang diciptakan Allah (S.W.T.) dan diizinkan-Nya berlaku di atas muka bumi ini. Hal ini diterangkan Allah (S.W.T.) di dalam kitab suci Al-Quran yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan perumpamaan-perumpamaan ini, Kami (yakni Allah) buatkan untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.” (Surah Al-Ankabut ayat 43).

Yang dimaksudkan dengan memahami perumpamaan-perumpamaan, termasuk memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku. Semuanya berlaku dengan izin-Nya. Dan tiadalah Dia menciptakan setiap sesuatu dengan sia-sia. Pada setiap yang berlaku itu tersemat hikmah yang sangat tinggi nilainya dan hanya segelintir manusia yang dapat memahaminya. 

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Benarlah apa yang dikhabarkan Allah (S.W.T.) buat renungan kita. Banyak yang berlaku dalam dunia hari ini, yang memerlukan nasihat agama. Apatah lagi jika berlaku kecelaruan, kebingungan, kekeliruan, bahkan salah-tafsiran. Perkara-perkara sedemikian semakin menjadi lumrah dalam era teknologi maklumat tanpa sempadan.

Maka, bukankah nasihat untuk memperbaiki hubungan kita dengan Tuhan Maha Pencipta, bertaubat kepada-Nya, dan memohon bantuan dari-Nya serta berdoa kepada-Nya salah, sesuatu yang baik dan perlu? Bukankah nasihat untuk berhati-hati di dalam memahami nas-nas agama baik dan perlu? Bukankah nasihat untuk kita bersabar di dalam menghadapi ujian yang amat getir baik dan perlu? Bahkan, semua ini adalah nasihat dari Allah (S.W.T.) dan Rasul-Nya (S.A.W.) di dalam Al-Quran dan Sunnah Baginda.

Kerana itu, memberi nasihat atau peringatan membawa pengertian rahmah dan kasih sayang. Ia bertujuan memperbaiki kekurangan pada diri kita, mempertingkatkan pemahaman agama kita, dan menguatkan kerohanian kita. Justeru itu, memberi nasihat bererti mendidik, bukan mengherdik. Menasihati sebenarnya merangkul, bukan memukul. Nasihat memperkukuh keimanan kepada Allah (S.W.T.) yang keluar dari hati akan tetap sampai ke hati. Allah (S.W.T.) berfirman di dalam kitab suci Al-Qur’an yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan tetaplah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Az-Zariyat, ayat 55).

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita menghayati pesanan Allah (S.W.T.) yang seringkali dibacakan pada setiap akhir sesebuah majlis. Iaitu Surah al-Asr. Firman Allah (S.W.T.) yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, dan beramal soleh, serta mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Umat yang berjaya dalam kehidupan adalah umat yang beriman, beramal soleh dan sentiasa nasihat-menasihati. Semoga Allah (S.W.T.) menjadikan masyarakat kita sebuah masyarakat yang penyayang, dan menjalankan tanggungjawab memberi peringatan antara satu sama yang lain dalam hal-hal kebenaran dengan penuh kesabaran. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.