collections khutbah Kepentingan Mepertingkatkan Ilmu
Kepentingan Mepertingkatkan Ilmu

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

18 Jun 2021 / 7 Zulkaedah 1442H

Kepentingan Mepertingkatkan Ilmu  

Saudara Saudari yang dirahmati Allah,

Taqwa dan iman adalah pelita yang menyinari hati dan kalbu kita. Ia menunjukkan kita jalan yang benar daripada yang salah. Ia memenuhi jiwa kita dengan kebaikan dan rahmah. Ia memandu kita ke arah kesejahteraan dan keamanan. Ia menjadikan kita insan yang lebih baik, lebih tenang, dan lebih berjaya di dunia dan di akhirat.

Muslimin Muslimat,

Pada minggu lalu, kita telah mendengar bagaimana akhlak yang mulia itu merupakan sebahagian daripada tanda keagamaan bagi setiap individu Mukmin. Pada hari ini, marilah kita menghayati satu lagi aspek yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan keagamaan bagi setiap Mukmin. Iaitu usaha untuk terus mempertingkatkan ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi ilmu agama.

Saudara dan saudari,

Meraih ilmu agama yang sahih adalah sebahagian daripada agama kita. Melaluinya kita dapat meningkatkan kualiti amal ibadah. Serta menjadi individu yang lebih baik serta bermanfaat dan menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan. Ini kerana ia merupakan antara usaha kita untuk terus mendekatkan diri dengan Tuhan.

Begitu mulianya ilmu pengetahuan, sehingga dikurniakan bagi sesiapa yang dengan gigih menuntut ilmu, ganjaran yang luar biasa. Iaitu syurga Allah (s.w.t.). Nabi (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah (s.w.t.) akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Hadis ini merupakan dorongan daripada Baginda (s.a.w.) bagi setiap individu Mukmin untuk mencari dan mempertingkatkan ilmu, sepanjang hayat. Kerana dengan adanya ilmu, ia bukan hanya dapat mendekatkan diri kita kepada Tuhan, namun ilmu juga membantu memberi huraian serta jalan keluar berhadapan dengan cabaran kehidupan. Dengan ilmu, kehidupan seorang Mukmin akan sentiasa terpandu. Akhiratnya juga terpelihara. Dengan ilmu yang bertetapan dengan panduan al-Quran serta nilai-nilai agama yang dibawa Nabi (s.a.w.), kita akan mampu untuk membina kesucian hati.

Pentingnya ilmu pengetahuan yang sahih itu, kerana pemahaman agama seseorang, akan mengikuti ilmu agama yang diperolehinya. Imam Ibn Sirrin pernah menyatakan:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya agama ini adalah ilmu, maka perhatikan dari mana kamu memperolehi ilmu agama kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Saudara dan saudari,

Dengan keadaan dunia yang tidak menentu, mentelah lagi dihujani dengan pelbagai cabaran baru, kesemuanya kadangkala boleh membuat kita terpinga-pinga serta membuat seseorang itu keliru. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai maklumat yang tidak sahih, serta berita palsu yang tersebar melalui pelbagai wadah, seperti melalui whatsapp, di media sosial dan sebagainya. Sama ada berkaitan dengan kehidupan seharian, juga berkaitan dengan panduan agama.

Di saat inilah, masyarakat memerlukan kepimpinan yang bijak dan yang mengerti. Kepimpinan agama yang dapat menjelaskan kepada masyarakat rincian persoalan agama dengan sebaiknya. Yang memberi panduan, berdasarkan kepada tradisi keilmuan yang diwarisi, mengambil kira realiti kehidupan serta keperluan masa kini.

Maka di sini ingin saya mengingatkan tanggungjawab ke atas setiap individu untuk memastikan bahawa sumber ilmu yang diperolehinya merupakan ilmu yang benar. Beliau perlu membuat perhitungan akan segala maklumat agama yang diperolehi. Serta mengesahkan kesahihan maklumat tersebut dengan para asatizah. Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 7 berkenaan peranan seorang alim:

Yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka; maka bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama  jika kamu tidak mengetahui.

Saudara dan saudari,

Di sini ingin saya berkongsi dua panduan ringkas dalam perjalanan kita menuntut ilmu daripada guru agama yang bertauliah. Yang pertama: Pastikan kita mengambil ilmu daripada pelbagai guru dan bukan seorang sahaja.

Ini akan mendedahkan kita kepada pelbagai pendapat dan perspektif, serta mematangkan pemikiran dan kerohanian kita sebagai seorang penuntut ilmu. Adalah merupakan tradisi para ulama kita juga untuk mencedok ilmu daripada pelbagai guru. Imam al-Bukhari sebagai contoh diriwayatkan mempunyai lebih seribu guru.

Yang kedua: Pastikan kita mengambil daripada guru yang menonjolkan adab yang mulia serta mengamalkan ajarannya. Seorang guru agama haruslah menjadi contoh akhlak yang terpuji. Beliau seharusnya membangunkan dalam diri kita perasaan cintakan kebaikan dan kesopanan, membangun kebijaksanaan kita, membantu kita untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah dan insan di sekeliling.

Jika kita dapati guru kita sebaliknya, maka perlu kita pertimbangkan semula. Bagaimana kita boleh menjadi orang yang baik jika contoh guru kita tidak baik?

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kita kekuatan untuk mendalami ilmu agama, menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang soleh, dan menerima segala amal ibadah kita. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.    

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.