collections khutbah Kepelbagaian: Bersama menuju kecemerlangan
Kepelbagaian: Bersama menuju kecemerlangan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

17 Julai 2026 / 2 Safar 1448H

Kepelbagaian: Bersama Menuju Kecemerlangan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang memperoleh rahmat, keampunan dan keredaan-Nya di dunia dan di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Saudara yang dikasihi Allah,

Setiap kali kita memandang langit yang terbentang luas, bumi yang terhampar indah, serta manusia yang berbeza rupa, bahasa dan budaya, ia seharusnya mengingatkan kita kepada kebesaran Allah s.w.t. yang menciptakan kepelbagaian yang wujud di sekeliling kita. Dalam Surah Ar-Rum, ayat ke-22, Allah s.w.t. berfirman:

Yang bermaksud: "Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, serta perbezaan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang berilmu."

Saudara, perhatikan bagaimana dalam ayat ini, Allah s.w.t. meletakkan kepelbagaian manusia seiring dengan penciptaan langit dan bumi sebagai tanda kebesaran-Nya. Ini menunjukkan bahawa perbezaan bangsa, bahasa dan budaya bukanlah sesuatu yang perlu dipandang dengan rasa curiga atau dijadikan sebab untuk bertelagah lalu berpecah. Sebaliknya, ia adalah sunnatullah yang mengajak kita mengenali kebesaran Sang Pencipta.

Bagi seorang Mukmin, menghargai kepelbagaian lahir daripada keimanan kepada Allah. Apabila kita melihat setiap manusia sebagai ciptaan Allah yang mempunyai kehormatan dan kemuliaan, kita akan lebih berhati-hati dalam percakapan, lebih adil dalam penilaian, serta lebih menghormati dalam pergaulan.

Sidang jemaah sekalian,

Islam bukan sekadar mengajar kita menerima hakikat bahawa manusia diciptakan dengan pelbagai latar belakang. Islam juga membimbing kita mengurus kepelbagaian itu dengan nilai-nilai yang membangun. Al-Quran mengingatkan bahawa kemuliaan seseorang bukan terletak pada keturunan atau bangsanya semata-mata, tetapi pada ketakwaannya kepada Allah s.w.t.

Sejarah tamadun Islam pula banyak memberikan panduan dalam perkara ini. Bermula daripada Rasulullah s.a.w. yang sering memanfaatkan kelebihan dan kepakaran para sahabat dalam pelbagai bidang, walaupun ada antara mereka yang datang daripada latar belakang yang berbeza.

Pada zaman pemerintahan Abbasiyah pula, kota Baghdad muncul sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan kesarjanaan Islam. Para ulama dan ilmuwan daripada pelbagai latar belakang bekerjasama mengkaji, menterjemah dan mengembangkan ilmu dalam pelbagai bidang, termasuk falsafah, matematik, perubatan dan astronomi. Hasil usaha ini, lahirlah pelbagai penemuan dan karya yang terasa manfaatnya hingga ke hari ini.

Sudah tentu, kecemerlangan itu tidak lahir hanya kerana faktor wujudnya kepelbagaian semata-mata. Namun, ia lahir apabila kepelbagaian itu dipandu oleh nilai-nilai yang dijunjung agama, seperti memartabatkan ilmu, sikap amanah, serta keinginan untuk membawa manfaat kepada masyarakat. Ini satu pengajaran penting buat kita. Kepelbagaian akan menjadi rahmat hanya apabila manusia memilih untuk bekerjasama dalam perkara yang membawa kebaikan.

Saudaraku sekalian,

Di sini, khutbah mengusulkan dua langkah untuk menterjemah kepelbagaian yang kita sama-sama rasakan hari ini, kepada kecemerlangan yang dapat dikecapi bersama di kemudian hari:

Pertama: Melihat kepelbagaian sebagai peluang untuk terus maju ke hadapan.

Setiap individu adalah sebahagian daripada anggota masyarakat di sekelilingnya, dan setiap individu mempunyai kepakaran, pengalaman dan kemampuan yang berbeza. Ada yang mendidik, ada yang merawat, ada yang berniaga, ada yang menjadi pakar teknikal, dan ada juga yang gigih menimba dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Kepelbagaian ini merupakan nikmat Allah yang harus disalurkan demi kebaikan bersama.

Maka janganlah kita jadikan kepelbagaian dan perbezaan latar belakang penghambat persefahaman yang boleh membawa ke arah kecemerlangan bersama. Sebaliknya, jadikanlah ia peluang untuk saling belajar, melengkapi dan membina masyarakat yang dicemburui tamadunnya, seperti pada zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu.

Kedua: Sebarkan rahmat dengan menjalin kerjasama

Bukankah Rasulullah s.a.w. diutus sebagai rahmat kepada seluruh alam? Maka setiap Muslim juga perlu berusaha menjadi pembawa rahmat kepada orang di sekelilingnya. Rahmat itu terserlah melalui kejujuran dalam pekerjaan, kesungguhan menuntut ilmu, berlaku adil dalam berurusan sesama insan, serta kesediaan bekerjasama dalam perkara yang membawa manfaat kepada semua.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mari tekadkan azam agar setiap usaha kita untuk membina hubungan yang baik, menyumbang kepada masyarakat, berikhtiar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi, menjadi sebahagian daripada ibadah kita kepada Allah s.w.t.ُ

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita hikmah dalam mengurus kepelbagaian, melapangkan hati kita untuk saling menghormati, serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa membawa manfaat kepada semua. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua