collections khutbah Keluarga Muslim dan cabaran masa kini
Keluarga Muslim dan cabaran masa kini

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

8 Mei 2026 / 20 Zulkaedah 1447H

Keluarga Muslim dan Cabaran Masa Kini

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kita kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran. Semoga hidup kita diberkati Allah s.w.t. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Pada minggu lalu, kita telah membincangkan cabaran yang dihadapi oleh golongan belia hari ini. Minggu ini, kita meluaskan perbincangan kepada cabaran yang dihadapi oleh institusi keluarga Muslim, serta panduan agama dalam menghadapinya dengan hikmah dan keikhlasan.

Hadirin sekalian,

Terdapat tiga cabaran utama yang dihadapi oleh keluarga Muslim pada hari ini:

Pertama: Cabaran saling mengingatkan kerana Allah

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Adh-Dhariyat, ayat 55:

Yang bermaksud: “Dan tetaplah memberi peringatan, (kerana) sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.”

Allah memerintahkan kita agar sentiasa saling ingat-mengingatkan. Kenapa saudaraku? Kerana memberi peringatan bermaksud menghidupkan kembali apa yang pernah diketahui suatu masa dahulu, yang mungkin sahaja kita telah terlupa pada hari ini. Kita terlupa mungkin kerana faktor masa, atau mungkin juga kerana berlaku perubahan yang tidak kita sedari.

Contohnya, tiga atau empat dekad lalu, perjudian lebih tertumpu pada permainan daun terup atau ‘lumba kuda’ dan hanya berlaku secara fizikal. Hari ini, keluarga Muslim berdepan dengan perjudian, yang tetap sama hukum haramnya menurut Islam, tetapi berbeza wadahnya, sehingga mungkin ia dianggap biasa oleh masyarakat seperti pertaruhan dalam talian (online betting). Kenapa aktiviti seperti ini haram dan berdosa? Kerana pemenangnya meraih keuntungan secara batil, sedangkan yang kalah merasa kecewa kerana wang yang dibelanjakan, termasuk modalnya, hilang begitu sahaja.

Adakalanya, kita teragak-agak untuk menegur dan memberi peringatan kerana merasakan pastinya mereka sudah sedia maklum. Hakikatnya, peringatan bukan sekadar menegur, tetapi ia terkandung mesej agar ia direnungi dan diperbaiki.

Sememangnya, menasihati ahli keluarga sendiri adalah satu cabaran. Kita mungkin bimbang hubungan akan terjejas atau teguran disalah ertikan. Namun, saling mengingatkan kerana Allah adalah tanda kasih sayang yang mendalam. Nasihat yang ikhlas bukan untuk menghukum, tetapi tanda keprihatinan terhadap hubungan seseorang dengan Allah.

Ingatlah, keluarga Muslim yang kuat bukanlah hanya yang bebas daripada kesilapan, tetapi yang saling memimpin tangan ahli keluarganya kepada kebenaran, dengan penuh hikmah dan kerendahan hati.

Kedua: Cabaran menegakkan keadilan dan keihsanan

Dalam masyarakat yang mengutamakan pencapaian, kadangkala kita lebih cenderung menilai seseorang dengan persoalan, “Apakah kelebihan yang dia bawa kepada keluarga ini?” daripada bertanya, “Apakah tanggungjawab sebenar kita terhadapnya di sisi Allah s.w.t.?”

Cara berfikir seperti ini, jika tidak dikawal, boleh menimbulkan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan ahli keluarga. Anak-anak mungkin dibandingkan antara satu sama lain berdasarkan pencapaian akademik, kerjaya atau kelebihan tertentu. Lalu tanpa disedari, wujud kecenderungan dan layanan berat sebelah. Ada yang lebih diberi perhatian, pujian, atau keutamaan, sementara yang lain terpinggir.

Kesudahan negatif sebegini boleh berlaku dalam hubungan ibu bapa dan anak-anak, begitu juga antara adik-beradik, saudara-mara dan seumpamanya. Keadaan ini jelas bertentangan dengan nilai Islam yang menuntut keadilan dan keihsanan dalam setiap aspek, termasuk dalam urusan kekeluargaan.

Rasulullah s.a.w. sendiri mengingatkan kita tentang hal ini. Dalam sepotong hadith, apabila seorang sahabat ingin menjadikan Baginda sebagai saksi kepada pemberian hadiah kepada salah seorang anaknya, Baginda bertanya: “Adakah kamu melakukan perkara yang sama kepada semua anakmu? ”Apabila dijawab tidak, Baginda bersabda: “Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu.” Lalu sahabat tersebut kembali dan menarik semula pemberian itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menunjukkan bahawa menegakkan keadilan dan keihsanan dalam keluarga bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu tuntutan agama yang wajib dilaksanakan. Maka, marilah kita sentiasa bermuhasabah dengan bertanya: “Adakah kita menilai ahli keluarga berdasarkan manfaat keduniaan yang mereka berikan, atau kita menunaikan amanah kita terhadap mereka dengan adil dan ihsan?”

Ketiga: Cabaran mengejar kebaikan di dunia dan akhirat

Saudaraku,

Antara cabaran keluarga Muslim hari ini adalah mengimbangi tuntutan kehidupan duniawi dan kebaikan kita di akhirat nanti.

Pasang dan surut kehidupan kita di dunia sewajarnya menjadi jambatan yang menghubungkan kita dengan keredaan Allah dan sekaligus keselesaan kehidupan selepas Hari Kebangkitan.

Sebagai peringatan bersama, perlu dibacakan sepotong doa yang terakam dalam ayat 201 surah Al-Baqarah:

Yang bermaksud: (Wahai) Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari api neraka.

Saudaraku, gaya hidup kita, cara kita berfikir dan sebagainya, kadangkala - tanpa disedari - dipandu oleh norma dan kebiasaan hari ini, yang tidak semestinya menepati ajaran agama, seperti yang diingatkan pada khutbah yang lalu. Justeru, sebagaimana kita berusaha menuju ke arah kecemerlangan duniawi, usaha untuk meraih kejayaan di hari akhirat menerusi pendidikan agama dan pembinaan rohani perlu berjalan seiring.

Ingatlah, dunia ini bersifat sementara – kerjaya akan berakhir, harta akan ditinggalkan manakala pangkat dan nama akan dilupakan. Yang kekal hanyalah bekalan amalan menghadap Tuhan. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Orang yang bijak ialah yang bermuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati, manakala orang yang lemah ialah yang tunduk pada hawa nafsunya dan hanya berangan-angan mengharapkan keampunan Allah.” (Riwayat At-Tirmizi)

Ya Allah, ampunilah kami dan keluarga kami. Bimbinglah kami ke jalan yang diredai-Mu. Jadikanlah keluarga kami, keluarga Muslim yang sering bermuhasabah, dan yang menjadi contoh yang baik pada yang lain. Kurniakanlah kami hikmah dalam menghadapi cabaran dunia ini. Jadikanlah kami hamba-hamba yang saling mengingatkan keranaMu, menegakkan keadilan dan keihsanan walaupun sukar, dan mengutamakan akhirat dalam setiap urusan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua