collections khutbah Keluarga dan Masyarakat: Pelabuhan Kasih Sayang Anak-Anak
Keluarga dan Masyarakat: Pelabuhan Kasih Sayang Anak-Anak

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

2 Oktober 2026 / 20 Rabiulakhir 1448H

Keluarga dan Masyarakat: Pelabuhan Kasih Sayang Anak-Anak

 

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. memberkati keluarga kita, memelihara zuriat keturunan kita, dan menghimpunkan kita semua di dalam syurga-Nya. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Anak merupakan suatu amanah dan anugerah yang amat bernilai daripada Allah s.w.t. Kehadiran mereka membawa sinar kebahagiaan, melangsungkan keturunan, dan diharapkan menjadi penyambung legasi kebaikan kita. Kerana itulah, kita dianjurkan memanjatkan doa sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah Al-Furqan, ayat 74. Firman Allah s.w.t.:

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berkata: ‘Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.’”

 

Saudara sekalian,

Benar, anak adalah anugerah Allah. Manakala membesarkan serta mengasuh mereka pula merupakan amanah yang berat. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah berpesan, bahawa setiap daripada kita adalah penjaga, dan kita semua akan dipertanggungjawabkan atas jagaan masing-masing? Lebih-lebih lagi dalam era serba pantas, persaingan hidup yang sengit, serta pengaruh dunia maya yang tidak bersempadan.

Saudaraku, tugas seorang ayah bukan membina benteng yang memencilkan anak-anak daripada pengaruh dunia luar, tetapi membentuk jati diri agar mereka teguh mengharunginya. Ibarat pohon yang sedang membesar – pastikan ia berakar kukuh agar tidak mudah tumbang dipukul badai.

Ringkasnya, tanggungjawab kita adalah mempersiapkan anak-anak untuk hidup pada zaman mereka, menghadapi cabaran era mereka, dan bukan sekadar cabaran seperti yang kita hadapi pada zaman kita membesar dahulu.

Khutbah pada hari ini ingin berkongsi dua saranan bagi menyokong perkembangan anak-anak pada hari ini:

 

Pertama: Memastikan kewujudan kita dirasai

Di tengah-tengah kesibukan harian, mungkin ada kalanya kita tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak kita. Sedangkan mereka pula amat mendambakan kehadiran kita, secara fizikal dan juga emosi. Sekiranya kehangatan kasih sayang dan perhatian tidak dirasai di rumah, dikhuatiri mereka akan mudah terdedah kepada anasir yang tidak sihat di luar.

Benar, mereka mungkin sudah bersekolah, atau dihantar ke pusat jagaan, atau mengikuti kelas bimbingan agama. Namun tugas mendidik, mengasuh dan menyediakan ruang selamat tetap menjadi amanah utama ibu bapa terutamanya.

 

Kedua: Membina sistem sokongan yang boleh dipercayai​​​​​​​

Kadangkala, amanah membesarkan anak-anak terasa sukar jika dipikul sendirian. Kita memerlukan rangkaian sokongan yang selamat dan dipercayai, menerusi keluarga terdekat, atau sahabat dan kenalan, mahupun pusat asuhan yang diyakini.

Bahkan sebenarnya, tanggungjawab ini meluas kepada seluruh anggota masyarakat. Kerana Rasulullah s.a.w. telah berpesan yang bermaksud: “Bukanlah daripada kalangan kami sesiapa yang tidak bersifat belas kepada yang muda dan memuliakan yang tua.” (Riwayat At-Tirmizi)

Masyarakat dan institusi-institusi kita perlu menjadi ruang yang selamat buat anak-anak; yang menyambut kehadiran mereka dengan santun dan sabar, dan membimbing mereka dengan rahmah. Kita perlu berikhtiar untuk menyediakan ekosistem sokongan yang terbaik, dan selebihnya kita letakkan pergantungan atau tawakal kepada Allah s.w.t. seperti yang disentuh pada Jumaat yang lalu.

 

Hadirin sekalian,

Bersama-samalah kita mewujudkan rangkaian yang mendidik, mengasuh, melindung dan menyokong anak-anak kita. Semoga Allah s.w.t. memberkati setiap usaha yang kita salurkan, memelihara zuriat keturunan kita daripada ancaman bahaya dan noda, dan menjadikan mereka penyejuk mata di dunia dan di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

 

Khutbah Kedua​​​​​​​