collections khutbah Kejayaan di Penghujung Ramadan
Kejayaan di Penghujung Ramadan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 Mei 2020 / 22 Ramadan 1441H

Kejayaan di Penghujung Ramadan

 

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.  Berusahalah untuk melaksanakan segala perintahNya, dan jauhilah segala laranganNya.

 

Tiga perempat Ramadan sudah berlalu. Hanya tinggal suku sahaja lagi Ramadan tahun ini sebelum ia berangkat pergi.  Setiap kita dengan pengamalan dan pengalaman kita masing-masing berusaha mencari rahmat Allah sepanjang bulan Ramadan ini.  Biarpun kita sebagai insan memiliki kekurangan-kekurangan diri, namun saya percaya hati kita dapat merasakan hangat sentuhan rahmat dan kasih sayang Allah di dalam Ramadan ini.  Ketika kita merasakan lapar menjerut perut kita lantaran mentaati perintah puasa, pasti ada keinsafan mencuit sanubari kita akan betapa agungnya keihsanan Allah yang dicurahkan ke atas hamba-hambaNya. Saat-saat kita merendahkan wajah di dalam ruku’ dan sujud kita sepanjang Ramadan, tentu ada cebisan sedar melentur keangkuhan diri dan kesombongan.

 

Cuba kita renungkan, berapa banyak doa dan permohonan yang telah kita panjatkan sepanjang tiga minggu ini. Ia tentu telah banyak mendamaikan jiwa kita saat kita menyedari kelemahan kita sebagai manusia. Bayangkan, berapa banyak istighfar yang telah kita pohonkan kepada Dia Yang Maha Pengampun. Yakinlah, saudara, dengan keluasan pengampunanNya yang tidak bertepi, pasti banyak catitan hitam di dalam kitab amalan kita yang telah dipadamNya. Bayangkan betapa kemarin dengan penuh ghairah kita membuat persiapan untuk menanti Lailatul Qadar demi merebut segala keistimewaannya. Bersyukurlah, kerana itu bukti masih ada takwa yang tumbuh segar di dalam dada.

 

Maka oleh itu, apakah bermakna kita sudah boleh berpuas hati?  Apakah kini kita sudah berjaya menjadi makhluk mulia yang terjamin akan terus beramal soleh sehingga hujung hidup kita?  Apakah setelah tiga minggu berpuasa, hari ini nafsu kita sudah seratus peratus jinak sehingga selamanya tidak akan tewas lagi kepada hasutan syaitan? Apakah kalau kita berjaya mendapatkan Lailatul Qadar kali ini, iman kita akan sekelip mata menjadi kebal, teguh sepanjang masa dan tidak akan surut sedikit pun bila datang ujian menduga?

 

Tidak, saudara. Ramadan bukan sebuah mesin ajaib untuk memproses manusia berubah menjadi malaikat. Makhluk kerdil ini yang awal kemarin memasuki Ramadan sebagai manusia, akan akhirnya keluar di penghujung Ramadan juga sebagai manusia. Ujian dan dugaan hidup tidak akan pernah terhenti.  Begitu juga nafsu dan syaitan kekal membisikkan hasutan di dalam hati. Walaupun kehebatan lebih seribu bulan dalam Lailatul Qadar telah didapatkan. Walaupun selaut doa permohonannya telah dikabulkan. Walaupun selangit dosanya telah diampunkan. Manusia tetap manusia. Malah di dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. telah mengkhabarkan bahawa kalaulah manusia semuanya sudah tidak lagi berdosa, Allah akan gantikan mereka itu dengan kumpulan manusia lain yang akan melakukan kesalahan.  Kenapa? Kerana Allah ingin hamba-hambaNya bertaubat dan beristighfar meminta pengampunanNya.

 

Saudara-saudara sekalian, ini tidak bermakna bahawa Ramadan dan puasa ini tidak ada ertinya hanya kerana kita tidak boleh menjadi malaikat, ataupun menjadi maksum sepertimana para nabi.  Kerana bukan itu matlamat Ramadan. Sebaliknya, yang hendak dicapai ialah pengukuhan iman dan peningkatan takwa di hujung latihan puasa kita.  Supaya dengan itu, kita akan memiliki kemampuan berhadapan dengan keinginan nafsu dan hasutan syaitan.  Walaupun ada kalanya kita akan terlanjur atau terlupa, tetapi tidaklah sampai tersungkur jatuh menjadi hamba kepada syaitan dan nafsu kita.

 

Yang hendak dicapai ialah penjernihan hati agar mampu merasakan nikmat diringankan Tuhan dari belenggu dosa yang selalu membebankan jiwa. Dengan itu, diharapkan kita berjaya menjadi insan yang akan seterusnya mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran. Kejayaan taubat yang sebenarnya bukan hanya dengan dosa-dosa terampun, tetapi taubat yang hebat ialah apabila kita turut menjadi insan yang mahu segera sedar jika sesekali terlanjur. Kerana di antara sifat-sifat orang yang bertakwa ialah setelah dia berdosa, dia tidak akan mahu terus-terusan dengan perbuatan dosanya itu. Ini dinyatakan Allah s.w.t. di dalam Surah Ali Imran ayat 135:

 

Yang bermaksud: “Dan (orang-orang yang bertakwa itu adalah) mereka yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain daripada Allah. Dan mereka juga tidak terus-terusan dengan perbuatan keji mereka itu sedang mereka mengetahui.

 

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Baki Ramadan yang tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi ini adalah tempoh yang amat kritikal. Kita perlu tumpukan perhatian dengan usaha meningkatkan lagi keimanan dan memperbaiki amal ibadah kita. Jangan terlepas peluang daripada mendapatkan anugerah Lailatul Qadar dalam keadaan kita mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya dan mengenang dosa-dosa kita. Ini bukan masanya untuk terlena dalam kelalaian. Sebaliknya, inilah masanya kita lebih giat mengejar cinta Allah sebelum Ramadan berakhir. Ayuh, saudara!  Katakan kepada diri kita sendiri, bahawa kita amat menginginkan Husnul Khatimah, penutup yang baik, untuk Ramadan kali ini. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w., insan mulia yang begitu suci dan terpelihara daripada dosa dan neraka, bila masuk sepuluh malam terakhir Ramadan biasanya akan bertambah giat bersungguh-sungguh mempertingkatkan ibadah Baginda, inikan pula kita yang masih banyak melakukan kesalahan dan dosa.

 

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita kekuatan dan kesungguhan untuk berusaha menjadi hambaNya yang berjaya meraih kecintaan dan keredhaanNya, terutama pada hari-hari terakhir Ramadan ini. Amin Ya Rabbal Alamin.