collections khutbah Keindahan Istiqamah
Keindahan Istiqamah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 Jul 2020 / 18 Zulkaedah 1441H

Keindahan Istiqamah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintahnNya dan menjauhi segala laranganNya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah s.w.t. 

Pada minggu lalu, kita telah diingatkan akan anjuran sikap bantu-membantu antara sesama insan dalam agama.  Sikap seperti ini perlu dikekalkan dalam diri kita kerana ia juga dapat membentuk pelbagai nilai serta pekerti yang positif, seperti nilai istiqamah.

Apakah istiqamah? Istiqamah adalah untuk anda melaksanakan satu perkara/kebaikan/amalan secara tetap dan konsisten.

Allah s.w.t. telah menjelaskan kelebihan bagi mereka yang istiqamah dalam keimanan dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah Fussilat ayat ke-30 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Tuhan kami adalah Allah”, kemudian mereka tetap teguh konsisten di atas jalan yang benar, akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu bersedih, dan terimalah berita gembira, bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.

Imam al-Razi membahagikan maksud istiqamah kepada dua perkara. Perkara pertama, istiqamah dalam kepercayaan. Sebagai seorang mukmin, meskipun kita diuji dengan pelbagai cabaran dan tekanan, kita tetap meyakini bahawa setiap kesusahan pasti adanya kemudahan. Kita sedari bahawa ujian penularan wabak ini telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada ekonomi dan kehidupan kita. Namun, kita tetap berusaha mencari jalan keluar dan memanfaatkan setiap peluang yang ada. Kita telah, malahan mencuba untuk mempertingkatkan diri kita bagi memastikan kita dapat terus kekal relevan untuk masa hadapan diri dan keluarga. Di samping tetap menanam keimanan bahawa Tuhan akan sentiasa membantu, akan sentiasa menunjukkan jalan keluar.

Kedua, istiqamah dalam melakukan amal ibadah. Ujian ini telah banyak mengajar kita untuk kekal konsisten dalam pelaksanaan ibadah. Kita sama-sama telah menghidupkan amalan berjemaah di rumah sepanjang Ramadan lalu sungguhpun kita tidak dapat beribadah di masjid. Kita turut menyaksikan lebih ramai individu dan anggota masyarakat yang telah tampil ke hadapan untuk menghulurkan sokongan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Ujian ini sama sekali tidak menghalang kita dari melakukan kebaikan. Malahan, ia membakar semangat kita untuk beristiqamah melakukan kebaikan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Sama-samalah kita terus melakukan segala bentuk kebaikan sekalipun amalan itu sedikit, kerana amalan yang berterusan adalah sebaik-baik amalan yang dicintai Allah s.w.t. Perhatikan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah s.w.t. adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Saudaraku,

Selagimana kita beristiqamah dan berusaha sedaya upaya untuk menghadapi ujian ini dengan penuh ketakwaan, Allah s.w.t. pasti akan membuka pintu-pintu rahmah, bantuan dan jalan keluar buat kita. Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah at-Talaq ayat ke-3 yang bermaksud: “…dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah s.w.t. (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)”.

Semoga Allah s.w.t. mengekalkan keimanan kita dan mengurniakan kita kekuatan untuk terus beristiqamah dalam melaksanakan amalan kita. Amin Ya rabbal ‘Alamin.