collections khutbah Keimanan Kepada Pembalasan; Menjalani Hidup Dengan Kesedaran Akhirat
Keimanan Kepada Pembalasan; Menjalani Hidup Dengan Kesedaran Akhirat

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat 

2 Mei 2025 / 4 Zulkaedah 1446H 

Keimanan Kepada Pembalasan; Menjalani Hidup Dengan Kesedaran Akhirat

 

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan kesedaran dan ketakwaan kita terhadap Allah s.w.t, dan bersikap bertanggungjawab dalam kehidupan yang sementara di dunia ini, dengan mentaati segala perintahNya serta menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t membentuk kita menjadi hamba-hamba-Nya yang muhsinin

Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Saudaraku yang dikasihi, 

Apapun pengalaman mahupun perjalanan kehidupan di dunia, kita meyakini akan hari pembalasan dan perhitungan, berdasarkan akidah agama Islam. Hari di mana segala penghukuman dan pengadilan bagi perbuatan manusia hanya milik Allah s.w.t. Bagi-Nya segala kekuasaan dan kerajaan yang berkekalan dan tidak pernah berkurangan. 

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ghafir, ayat 17: 

Yang bermaksud: “Hari ini (yakni Hari Kiamat), setiap orang akan dibalas dengan apa yang telah diperoleh. Tidak ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya, Allah Maha Cepat dalam perhitungan.”

Segala yang baik dibalas oleh Allah s.w.t. dengan kebaikan, dan segala yang jahat dibalas serupa, kecuali bagi mereka yang diampunkan dan dirahmati Allah s.w.t. 

Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8: 

Yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan sebesar zarah, dia akan melihatnya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan sebesar zarah, dia akan melihatnya.”

 

Saudaraku yang dihormati, 

Hari perhitungan dan pembalasan bukan hari yang remeh mahupun biasa. Ia amat luarbiasa. Ia amat menakutkan, kerana setiap manusia yang pernah bernyawa sewaktu di dunia berdiri di hadapan Tuhan sekalian alam, menantikan keputusan penghakiman-Nya. Ketika itu, manusia tahu bahawa tiada lagi yang dapat ia lakukan untuk merubah nasibnya. Dunia yang telah ia tinggalkan akan menjadi saksi, sama ada hidupnya dahulu tempat ia menanam kebaikan, atau ia menyebabkan fasad dan kerosakan. 

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Taha, ayat 108 - 111: 

 

Yang bermaksud: “Pada hari itu, mereka menurut seruan penyeru tanpa melencong daripadanya; dan merendahlah segala suara kepada Allah Yang Maha Pengasih, sehingga engkau tidak mendengar melainkan bisikan yang amat perlahan. Pada hari itu, tidak berguna syafaat, kecuali daripada orang yang diizinkan oleh Allah Yang Maha Pengasih, dan mereka yang diredai perkataannya. Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka, dan apa yang di belakang mereka (daripada perkara dunia dan akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi. Dan setiap wajah akan tertunduk kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya, telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman.” 

 

Saudara sekalian, 

Dalam kesibukan kita menguruskan dan menyusun kehidupan dunia, ingatlah akan kesan dan impak perbuatan, tutur kata dan amalan kita. Jangan sampai kita leka, lantas terlanjur melakukan sesuatu yang hanya akan membawa kepada kerugian dan penyesalan pada hari perhitungan kelak.  

Imam Al-Hasan Al-Basri berkata: 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya, perhitungan pada Hari Kiamat akan mudah bagi mereka yang bermuhasabah (yakni bersikap tanggungjawab) atas diri mereka di dunia ini, dan ia akan menjadi sukar bagi mereka yang tidak bermuhasabah (yakni tidak bersikap tanggungjawab) atas diri mereka sendiri.”  Jauhilah segala bentuk kerosakan: pada hubungan kita dengan Allah s.w.t., dengan menghiasinya dengan ketakwaan; pada hubungan kita sesama manusia, dengan hiasan rahmah dan keihsanan; pada hubungan kita dengan alam, dengan hiasan kesederhanaan dan sifat bertanggungjawab.  

Ingatlah pesanan Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadith Abi Zarr r.a. yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi: 

Yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Dan segeralah melaksanakan kebaikan setelah satu kejahatan, agar ia menghapuskan kejahatan tersebut, dan pergaulilah manusia dengan akhlak mulia.”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Dengan keyakinan terhadap balasan, dan kesedaran yang berterusan tentang kehidupan di akhirat, kita terdorong untuk menjalani hidup yang penuh ketakwaan, meraih rahmat dan keredhaan Allah, serta melaksanakan kewajipan supaya dapat menjadi antara penghuni abadi syurga.  

Marilah kita teguh dalam berdoa agar Allah s.w.t mengurniakan kita kesedaran dan hikmah, untuk menjadi antara mereka yang tekun dalam menjaga amanah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Semoga kita digolongkan dalam kalangan mereka yang layak menerima rahmat dan keredaan-Nya di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

          

KHUTBAH KEDUA