

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
21 November 2025 / 30 Jamadilawal 1447H
Kehidupan Bermakna di Sepanjang Usia

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Tingkatkanlah ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga kita sentiasa memperoleh keberkatan dan keredaan Allah s.w.t. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Adakalanya, manusia menyangka bahawa kehidupan hanya bergerak ke hadapan. Contohnya, kita dilahirkan sebagai bayi, kemudian membesar menuju ke alam belia dan dewasa. Daripada lemah kepada kuat bertenaga. Namun, tahukah anda, terdapat sepotong ayat Al-Quran yang mengisyaratkan bahawa kehidupan kita akan berputar kembali ke masa silam, ke peringkat awal kejadian? Malam tadi, mungkin ramai yang membaca Surah Yasin. Pada ayat ke-68, Allah s.w.t. berfirman:

Yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami mengembalikan semula kejadiannya (kepada keadaan serba lemah). Maka mengapa mereka tidak memikirkannya?
Saudara sekalian, Allah s.w.t. menggesa kita supaya memikirkan tentang hakikat penciptaan manusia. Inilah yang seakan-akan berputar ke belakang. Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini menjelaskan hakikat kehidupan manusia: semakin berusia, semakin dia kembali kepada keadaan lemah, seperti asal kejadiannya sewaktu kecil. Ia juga isyarat bahawa dunia ini hanyalah persinggahan yang bersifat sementara, sebelum menuju kepada kesudahan, iaitu akhirat yang kekal abadi.
Saudara yang dimuliakan,
Benarlah, usia kita adalah nikmat dan amanah daripada Allah. Bagi mereka yang masih muda dan bertenaga, ingatlah bahawa kudrat yang kita miliki pada hari ini tidak akan kekal selama-lamanya. Hari ini, mungkin kita masih dapat melaksanakan solat – boleh berdiri, rukuk dan sujud dengan sempurna. Tidak mustahil pada satu hari nanti, pergerakan kita akan terbatas dan kita akan merindui kecergasan yang sekarang ini kita miliki. Oleh itu, manfaatkanlah usia dengan amal kebaikan selagi kudrat di kandung badan.
Bagi mereka yang sedang meniti usia senja, perubahan yang kita lihat pada diri adalah cuitan rahmat Tuhan. Kedaifan itu menjadi peringatan bahawa setiap kelebihan yang kita miliki adalah amanah dan nikmat yang harus disyukuri sepanjang kehidupan.
Sidang mukminin yang dikasihi,
Dengan mengambil pedoman daripada ayat yang dibacakan tadi, berkenaan penciptaan manusia yang akan kembali berkurangan kudratnya, berikut adalah beberapa saranan, khususnya bagi hamba-hamba Allah yang dimuliakan dengan usia senja dan juga bagi semua yang mendengar khutbah ini.
Pertama: Memperkukuh kerohanian
Usia yang semakin bertambah adalah peluang untuk membersihkan hati dan memperkemas amalan. Sesungguhnya, nilai seseorang insan terletak pada amalan yang baik dalam kehidupannya, sesuai dengan Hadyun Nabawiy yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya.” (Riwayat At-Tirmizi)
Dahulu, mungkin kita disibukkan dengan kerjaya, mengurus rumah, di samping membesarkan anak-anak. Kini, anak-anak sudah dewasa dan kita mungkin tidak lagi bertugas sepenuh masa. Oleh itu, elakkanlah membiarkan masa lapang berlalu tanpa hala tuju. Cuba aturkan jadual harian dengan aktiviti yang bermanfaat, agar tubuh kekal cergas, akal kekal cerdas dan kerohanian terus meningkat.
Laporan terkini menunjukkan bahawa golongan yang berusia 65 tahun ke atas lebih banyak meluangkan masa menggunakan alat digital seperti telefon pintar, berbanding golongan muda, termasuk kanak-kanak dan remaja. Pastinya, perkara ini perlu diambil berat. Maka fikirkan: Bagaimanakah penggunaan digital memberi kesan kepada mutu kehidupan? Adakah ia mendatangkan manfaat yang sebenar, atau menyebabkan kita banyak membuang masa apabila disalahgunakan?
Oleh itu, anggaplah masa sebagai amanah dan ujian yang harus kita kuasai. Gunakanlah masa dan alat digital untuk mempererat hubungan dengan Ilahi.
Kedua: Menitikberatkan hubungan dan penjagaan keluarga
Saudara sekalian, kita juga maklum bahawa pada hari ini, jangka hayat manusia semakin panjang. Ini bermakna semakin ramai yang memasuki usia senja dan memerlukan sokongan keluarga. Pada masa yang sama, keluarga muda pada hari ini juga berhadapan dengan kehidupan yang cukup mencabar.
Antaranya fenomena sandwich generation: golongan dewasa yang membesarkan anak, pada masa yang sama berperanan menjaga ibu bapa yang semakin lanjut usia. Kerana itu, ibu bapa yang lanjut usia perlu berhikmah dalam mengurus jangkaan (expectation) masing-masing dan berkomunikasi bersama anak-anak dengan baik dan terbuka.
Bagi anak-anak, ambillah giliran dengan adik-beradik, saling membantu dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa. Usah membiarkan salah seorang anggota keluarga menggalas seorang diri, menjaga dan berbakti, sedang kita teruskan kehidupan dengan senang hati. Jika tidak mampu hadir membantu secara fizikal setiap masa, sekurang-kurangnya hadirkan sokongan emosi, perhatian dan kasih sayang. Itu juga sebahagian daripada bakti dan tanda ihsan.
Ketiga: Melakukan persiapan untuk dunia dan akhirat
Usia senja adalah peluang keemasan untuk membuat persiapan akhirat. Ia juga masa yang sesuai untuk memperkemas persiapan dunia agar ahli keluarga tidak tertekan jika kita diuji dengan keuzuran. Persiapan ini termasuklah penjagaan kesihatan, pengurusan harta dan perbincangan mengenai hal-hal ini bersama keluarga sebelum situasi genting datang mendesak. Ini termasuk mengambil kira keperluan Surat Kuasa Berkekalan atau Lasting Power of Attorney (LPA), yang difatwakan pada tahun 2019 sebagai harus. Dengan persiapan awal, kita boleh membantu keluarga mengelakkan kecelaruan, ketidaksefahaman dan perbalahan yang boleh berlaku apabila terjadi kecemasan.
Jika ada anak-anak yang membangkitkan perkara ini, elakkan daripada cepat berburuk sangka. Bagi anak-anak pula, carilah masa dan gunakanlah bahasa yang sesuai. Dengan niat ikhlas untuk meringankan urusan keluarga, kita berharap agar hubungan dan kasih sayang keluarga terus dipelihara dan diberkati Allah.
Hadirin sekelian,
ُSetiap hari yang berlalu membawa kita semua lebih hampir kepada garis penamat kehidupan. Gunakanlah nikmat usia dengan penuh amanah dan kesedaran. Indahkan amalan dan persiapkan diri untuk kehidupan yang seterusnya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kekuatan untuk menghargai usia, memperbaiki hubungan dan memperkemas amalan menuju akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

Para jemaah Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita maklum, negara Sudan sedang menghadapi krisis kemanusiaan akibat konflik dan keganasan yang berterusan di negara itu. Ramai rakyatnya termasuk golonagn wanita dan kanak-kanak melalui kehidupan tanpa makanan yang mencukupi, air yang bersih, rawatan perubatan serta perlindungan asas.
Bagi menyantuni penderitaan ini, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menjalankan kutipan derma di masjid-masjid seluruh Singapura bermula hari ini, Jumaat 21 November hingga Khamis, 27 November melalui kotak derma khas RLAF.
Mari bersama kita cerminkan keihsanan dengan menghulurkan sumbangan seikhlasnya. Semoga Allah s.w.t. meringankan beban mereka yang terjejas, memberikan keselamatan, dan melimpahkan pahala atas setiap sumbangan ikhlas kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

