collections khutbah Kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

14 Ogos 2026 / 1 Rabiulawal 1448H

Kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Hanya dengan ketakwaan, kita bakal meraih kejayaan kelak.

Saudara yang dikasihi sekalian,

Jika ditanya: "adakah kita benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w.?" Kita pasti akan menjawab, ya, tanpa perlu berfikir panjang. Sehubungan itu, khutbah hari ini mengajak sekalian yang hadir, merenung soalan berikut: “bagaimanakah kita menzahirkan cinta kepada Baginda s.a.w.?” “Adakah tindak-tanduk kita mencerminkan yang cinta itu berjaya melepasi batasan lisan?”

Saudara yang dihormati,

Kita menzahirkan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan cara yang berbeza. Ada yang gigih mengamalkan sunnah-sunnah harian. Ada yang suka mengalunkan qasidah memuji Baginda s.a.w. Ada juga yang menggayakan ajarannya menerusi tutur kata mahupun perbuatan. Kesimpulannya, apa pun cara kita menzahirkan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w., teruskanlah selagi ia masih berada dalam batasan syarak.

Khutbah juga ingin menggariskan agar sifat cinta ini turut dizahirkan, ketika kita sendirian mahu pun ketika bersama keluarga, teman sedarjah atau sepejabat, bahkan ketika berada di tempat-tempat awam. Kerana semua itu sebahagian daripada didikan Baginda s.a.w. dan menjadi cerminan agama Islam.

Saudara yang dikasihi,

Allah s.w.t. telah berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat ke-24:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai; (jika semua itu) lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) bermujahadah di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik.”

Saudaraku, inilah peringatan daripada Allah, agar kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. mesti dizahirkan dalam kehidupan. Dengan ini, marilah kita renungkan tiga peringatan berikut, agar kecintaan kita kepada Baginda s.a.w. dibuktikan menerusi amalan dan gaya hidup.

Pertama: Mengenali dan mengamalkan sunnahnya

Bergurulah dengan guru yang bertauliah. Kenalilah dan amalkanlah sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w., kerana yang demikian itu akan menyuburkan kecintaan kita kepada Baginda s.a.w. Semakin kita gigih mengamalkannya, semakin kita rasai keindahannya, dan semakin kita tergerak untuk mencari sunnah-sunnah lain untuk diamalkan dalam kehidupan kita.

Kedua: Mencintai Nabi Muhammad s.a.w. menerusi perbuatan adalah satu tanggungjawab

Renungkanlah peringatan Baginda s.a.w., bahawa mereka yang berilmu bakal dipersoalkan di akhirat nanti akan apa yang dilakukan dengan ilmu tersebut. (riwayat Imam At-Tirmizi) Ini mengingatkan kita bahawa setiap sunnah yang dipelajari, dan setiap pedoman yang kita perolehi daripada sirah Nabi Muhammad s.a.w., menjadi satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan kelak. Kesedaran akan tanggungjawab ini akan membangun disiplin, agar kita terus mengikut panduan Baginda s.a.w. dalam segenap ruang kehidupan.

Ketiga: Mulakan dengan usaha-usaha kecil dan beristiqamah

Hadirin sekalian, cinta yang sejati kepada Baginda s.a.w. mestilah dizahirkan menerusi amalan. Dan kita boleh memulakannya menerusi sunnah-sunnah kecil yang diamalkan secara istiqamah sehingga ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup, seperti memulakan setiap perbuatan yang baik dengan Bismilllah. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Amalan yang paling disukai Allah ialah yang paling istiqamah, walaupun sedikit.” (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Saudara yang dirahmati Allah,

Melalui khutbah ini, kita telah memahami bahawa jawapan kepada persoalan “adakah kita benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w.?” mesti melalui perjalanan yang lengkap, daripada cinta yang dirasai, diungkapkan dengan lisan, disusuli pula perbuatan dan amalan.

Justeru, bersama kita melangkah keluar dari masjid ini nanti dengan azam menghidupkan satu sunnah walau kecil sekalipun; sama ada dengan lebih murah senyuman, berlaku baik sesama kita, dan seumpamanya.

Sebagai penutup, dan bersempena dengan bulan Maulidurrasul, bulan cinta Rasul, saya mengakhiri khutbah pada hari ini dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban: Sayyidatuna Aisha r.a. pernah mendengar Rasulullah s.a.w. berdoa, yang bermaksud: “Ya Allah, ampunkanlah bagi Aisha setiap dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang, yang dilakukan secara terang-terangan mahupun yang disembunyikan, yang besar mahupun yang kecil.” Mendengar doa itu, Sayyidatuna Aisha r.a. berasa sangat gembira. Nabi s.a.w. pun berkata: “Adakah kau gembira mendengar doaku tadi itu, wahai Aisha? Ketahuilah, itulah doaku untuk umatku pada setiap solat.

Maka marilah mengambil kesempatan ini untuk mengamalkan doa Nabi s.a.w. sebagai tanda cinta kita terhadapnya. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita golongan yang benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w., dan semoga Allah menghimpunkan kita bersama Baginda s.a.w. di dalam syurga-Nya. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua