collections khutbah Istiqamah: Kunci Meraih Syurga
Istiqamah: Kunci Meraih Syurga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 Mei 2023 / 14 Syawal 1444H


Istiqamah: Kunci Meraih Syurga

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t) memberikan kita taufik dan hidayah untuk terus melakukan amal soleh insyaAllah. Amin.

Saudaraku,

Sudah lebih dari seminggu bulan Ramadan telah meninggalkan kita. Bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Bulan yang mendidik jiwa dan nafsu serta mendorong kita untuk menjadi insan yang lebih baik. Namun, adakah bulan Ramadan telah berjaya mendidik jiwa dan nafsu kita untuk kita menjadi insan yang lebih baik? Lebih dekat dengan Tuhan?

Oleh demikian, khutbah pada minggu ini ingin mengajak para Jemaah sekalian untuk sama-sama menghayati salah satu firman Allah (s.w.t), yang menekankan kepentingan untuk beristiqamah ataupun berterusan dalam melakukan amal soleh. Serta meninggalkan segala larangannya.


Allah (s.w.t) berfirman:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat: 30)

Saudaraku,

Jika kita renungkan ayat yang dibacakan sebentar tadi. Kunci untuk meraih keredaan Allah (s.w.t) dan menghuni syurga Allah (s.w.t) adalah dengan beriman kepada Allah (s.w.t) serta berterusan dalam keimanan serta amal soleh.

Saudaraku, berterusan dalam amal ibadah tidak bererti seseorang itu hanya meningkatkan amal soleh, ataupun melaksanakan amalan soleh melebihi kemampuan beliau. Masih ramai lagi yang bertanggapan begitu.

Akan tetapi istiqamah bererti seseorang itu berusaha untuk melakukan amal ibadah walaupun ia kecil di pandangan manusia. Suatu yang kecil jika dilakukan secara berterusan, dianggap besar di sisi Tuhan. Jika amal soleh itu dilakukan dengan betul kemudian diiringi dengan keikhlasan, maka ia akan diterima oleh Allah (s.w.t).

Pada kesempatan ini, ingin saya berkongsi hadis berkaitan perbualan Nabi (s.a.w) bersama seorang Badawi yang bertekad untuk hanya melakukan tuntutan agama yang wajib sahaja, serta tidak menambah dengan amalan-amalan sunnah. 

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa seorang badawi mendatangi Nabi (s.a.w) lalu bertanya: Wahai Rasulullah, tunjukkanlah aku kepada amalan yang dengannya aku berhak masuk syurga. Maka beliau (Nabi saw) bersabda: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, mendirikan solat fardhu, dan menunaikan zakat yang diwajibkan ke atas kamu, dan berpuasa Ramadhan. Orang itu berkata: Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, aku tidak akan menambah sedikit pun daripadanya dan tidak akan mengurangi sedikitpun daripadanya. Apabila dia (badawi) berpaling ke belakang, Nabi () lalunya bersabda: Sesiapa yang ingin melihat seorang lelaki dari ahli syurga hendaklah melihat kepadanya. [Hadis riwayat Imam Muslim]

Daripada hadis ini, kita dapat memahami bahawa untuk meraih syurga Allah itu dipermudahkan jalan kepadanya. Banyak cara dan amalan yang telah diajarkan oleh Islam, meskipun ia kecil di mata insan. Yang penting adalah keikhlasan serta istiqamah dalam melakukan kebaikan.

Saudaraku,

Marilah sama-sama kita teruskan amalan baik yang telah kita lakukan ketika bulan Ramadan.

Jika semasa Ramadan lidah kita berpuasa untuk tidak berbohong, mengejek, mengumpat, memfitnah, kerana takut akan hangus ganjaran puasa. Maka teruskanlah memuliakan lidahmu itu selepas Ramadan, kerana Allah tetap terus Maha Mendengar setiap tutur bicara dan mencatitnya.

Jika semasa Ramadan mata kita berpuasa untuk tidak memandang perkara-perkara yang dilarang, dengan tidak mengintip keaiban orang, serta tidak melontar pandangan hina terhadap kekurangan orang. Maka teruskanlah melindungi mata kita selepas Ramadan, kerana Allah sentiasa memerhati dan menyaksikan gerak geri kita.

Begitu juga amal ibadah yang kita lakukan ketika Ramadan. Mengisi malam dan siangnya dengan beristighfar dan bertaubat kepada Tuhan. Maka, teruskanlah ketakwaan diri itu selepas Ramadan. Jangan berhenti dalam kesungguhan untuk menjauhi kemurkaan Tuhan, didiklah hati untuk tahu berasa malu setiap kali tersungkur dalam kemungkaran.

Semoga Allah (s.w.t) memberikan kita taufiq untuk berterusan dalam melakukan amal soleh. Ameen Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.