Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
10 November 2023 / 26 Rabi’ul Akhir 1445H
Islam Menolak Segala Bentuk Kezaliman
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.), dengan menjalankan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) mengolongkan kita dikalangan mereka yang sentiasa menuruti panduan-Nya. Amin.
Para jemaah yang dihormati,
Saya ingin membawa para jemaah sekalian untuk kita sama-sama menghayati isi dan pengajaran yang terkandung di sebalik Hadis Qudsi ini. Allah (s.w.t.) berfirman:
Yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Ku, dan Aku telah menjadikan kezaliman itu diharamkan antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi.” [Hadis riwayat Imam Muslim].
Saudara dan Saudari,
Pengajaran di sebalik hadis yang baru saya bacakan sebentar tadi amat penting untuk kita hayati bersama. Ia berkaitan dengan bagaimana Islam menolak segala bentuk kezaliman. Kerana Allah (s.w.t.) itu Maha Adil, Dia menolak segala jenis kezaliman. Bahkan ke atas diri-Nya. Tuhan sentiasa berlaku adil terhadap seluruh ciptaan-Nya.
Ini kerana kezaliman itu bercanggah sama sekali dengan prinsip utama syari’ah, iaitu prinsip keadilan. Maka segala jenis kezaliman serta keganasan yang berlaku terhadap manusia, lebih-lebih lagi terhadap nyawa manusia, adalah ditolak sama sekali oleh agama. Perhatikan firman Allah (s.w.t.) berkaitan nilai nyawa manusia di sisi Tuhan:
Yang bermaksud: “Dengan sebab yang demikian itu Kami tetapkan ke atas Bani Israil, bahawas sesiapa yang membunuh seorang insan dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia kesemuanya; dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang insan, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia kesemuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.”[Surah al-Ma'idah ayat 32].
Saudara dan Saudari,
Perlakuan keganasan dan kezaliman merupakan suatu perkara yang amat dikesali, serta tidak dapat diterima manusia yang dikurniakan Tuhan rasa insaf lagi adil.
Ia merupakan sifat fitrah yang Allah (s.w.t.) ciptakan dalam diri setiap manusia. Manusia yang mengambil sikap berdasarkan sifat fitrah ini tentunya akan sentiasa menyintai dan mengutamakan kedamaian serta membenci kezaliman. Sifat fitrah inilah yang sentiasa cenderung untuk mencari huraian serta hidup bermuafakat daripada perbalahan yang tiada kesudahannya. Ia merupakan prinsip utama yang dititikberatkan Islam. Ia bukanlah sesuatu yang terlalu ideal. Ia pernah dicapai, dihayati dan dilaksanakan dengan sempurna di bawah kepimpinan Nabi kita (s.a.w.).
Namun demikian, realiti yang kita saksikan pada hari ini ialah dunia masih lagi bergolak dengan peperangan, konflik yang berterusan serta kebencian sesama umat manusia. Sehingga pada sebahagian situasi, hilang perasaan hormat menghormati antara agama dan budaya.
Kita merasa amat sedih dan pilu ketika menyaksikan nyawa yang terkorban, termasuk golongan lemah dari kalangan orang tua, wanita, bayi, dan anak-anak kecil. Rumah, sekolah, hospital, segalanya hancur musnah, dan bersama dengannya musnah harapan dan masa hadapan.
Kerana itulah Rasulullah s.a.w. mengajar kita bahawa dalam apa jua keadaan, termasuk dalam peperangan, wanita, kanak-kanak, mereka yang lemah hatta pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan, bahkan tempat peribadatan agama lain sekalipun, tidak boleh dianiaya atau dirosakkan. Kita bermohon kepada Allah (s.w.t.) agar menjauhkan kita daripada memiliki sikap mereka yang tergamak berlaku zalim melanggar batasan nilai sejagat yang menjadi salah satu teras ajaran Islam. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Saudara dan Saudari,
Sesungguhnya agama ini tidak melarang umatnya untuk menzahirkan kesedihan dan menyuarakan keprihatinan. Bahkan Nabi (s.a.w.) sendiri bersedih ketika kematian anaknya, Ibrahim.
Maka bagaimanakah seharusnya kita sebagai orang yang beriman berhadapan dengan situasi yang memilukan dan amat tidak kita disenangi?
Yang diperintahkan agama adalah untuk memastikan segala reaksi dan perasaan itu, dipandunya ke arah yang selari dengan panduan agama. Iaitu dengan memilih untuk mengarahkannya ke arah yang lebih positif.
Begitulah ajaran dan sikap Rasulullah (s.a.w.) pada semua keadaan – sama ada ketika baginda berada dalam keadaan susah dan tertindas, mahupun ketika senang dan berkuasa. Baginda tidak pernah memilih jalan kebencian, kezaliman atau keganasan. Sebaliknya, baginda menyuruh kita agar kekal beristiqamah di atas landasan rahmah, keihsanan, dan kebaikan.
Saudara dan Saudari,
Angka korban dan mangsa konflik yang berlaku di seluruh dunia kini membuktikan bagaimana tanpa sikap keadilan dan keinsafan, mereka yang tidak berdosa dan bersalah akan turut sama menderita dan terjejas.
Ia mengajar kita bagaimana pentingnya untuk kita sentiasa memerhatikan aspek keadilan dalam segenap aspek kehidupan. Lebih-lebih lagi ketika marah dan berhadapan dengan perbalahan ataupun konflik. Perasaan marah sama sekali tidak boleh menjadi alasan untuk seseorang hilang segala pertimbangan, serta hilang pemikiran rasionalnya, ataupun untuk berlaku zalim.
Kerana itu, Nabi (s.a.w.) pernah berpesan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Thabrani, yang bermaksud: "Tiga perkara yang menyelamatkan: (Yang pertama) Berlaku adil ketika marah mahupun dalam keadaan tenang. (Yang kedua) Sederhana ketika miskin mahupun kaya. (Yang ketiga) merasa takut kepada Allah ketika bersendirian mahupun bersama orang ramai.”
Saudaraku,
Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan pada hari dan tempat yang mulia ini. Untuk menadah tangan berdoa kepada Allah (s.w.t.). Kita kembali berharap kepada-Nya. Tumpukan segala hati kita kepada-Nya, agar Allah (s.w.t.) mengurniakan kedamaian, mengembalikan keselamatan serta mengurniakan ketabahan dan kecekalan kepada penduduk Palestin. Kembalikan Ya Allah kedamaian. Kembalikan Ya Rahman keselamatan. Berikanlah Ya Rahim huraian serta jalan keluar kepada mereka.
Sama-samalah kita berdoa juga semoga Allah mengekalkan kedamaian yang kita nikmati di negara kita ini. Mudah-mudahan Allah membimbing kita, serta memelihara kita sentiasa. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.