

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
6 November 2026 / 26 Jamadilawal 1448H
Islam, Intelek dan AI

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketakwaan kita menjadi sumber kegembiraan di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Jemaah yang dirahmati,
Al-Quran berulang kali menyeru manusia agar menggunakan akal, supaya merenung dan berfikir. Allah s.w.t. bertanya: Afalaa ya’qiluun: “Tidakkah mereka menggunakan akal?” Afalaa yatadabbaruunal Quraan: “Tidakkah mereka merenungi Al-Quran?” Afalaa tatafakkaruun: “Tidakkah kamu berfikir?”
Jemaah sekalian,
Allah s.w.t. mengundang kita memerhatikan keupayaan intelek dan akal pemikiran. Kenapa? Kerana ia berupaya membantu kita membezakan kebenaran daripada kebatilan, dan yang betul daripada yang salah. Intelek kita mempengaruhi keputusan harian kita, yang seterusnya membentuk keperibadian, tingkah laku, dan kehidupan beragama kita.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Anfal, ayat 22:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya seburuk-buruk makhluk yang melata (di atas bumi) di sisi Allah ialah (mereka) yang pekak (dan) bisu, yang tidak menggunakan akal.”
Ini antara kenyataan paling tegas dalam Al-Quran tentang kepentingan intelek. Begitu hebat kecaman ditujukan kepada mereka yang sengaja tidak menggunakan intelek untuk sampai kepada kefahaman dan kebenaran. Begitu dahsyat celaan kepada mereka yang enggan menggunakan akal yang dikurniakan Allah s.w.t.
Sidang Jumaat sekalian,
Sesungguhnya ayat yang baru dibacakan sebentar tadi menjadi semakin relevan hari ini. Dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI) yang begitu pesat, banyak tugas yang dahulunya memerlukan pemikiran sendiri kini disiapkan hampir serta-merta, lalu AI menjadi elemen besar dalam rutin harian kita.
Benar, Islam tidak melarang teknologi yang bermanfaat. Namun, kebergantungan yang berlebihan kepada AI adalah membimbangkan, kerana akal kita boleh terkesan sedikit demi sedikit. Apabila kita sentiasa menyerahkan tugas mudah kepada AI tanpa mencubanya sendiri, kita gagal melatih kebolehan berfikir kita.
Maka, AI mesti kekal sebagai alat yang menyokong, bukan menggantikan, intelek manusia. Dan khutbah hari ini mengesyorkan tiga pendekatan untuk tujuan tersebut:
Pertama: Berfikir sendiri sebelum merujuk AI
Cubalah merumus buah fikiran dan menyelesaikan masalah secara sendiri terlebih dahulu. Selepas itu, AI boleh digunakan untuk mencabar, memperhalusi, dan memperbaiki hasil kerja kita.
Kedua: Memastikan kesahihan tanpa menyerahkan pertimbangan kita sepenuhnya kepada AI
AI boleh menyampaikan maklumat yang salah dan kelihatan seolah-olah ia benar, sedangkan Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa menyampaikan segala yang diterima tanpa usul periksa boleh membawa kepada pendustaan. Kita tetap bertanggungjawab atas keputusan kita. Pertimbangan moral serta agama tidak boleh diserahkan kepada AI. Dalam hal agama, marilah kita merujuk kepada para asatizah yang berkelayakan, bukan AI semata-mata.
Ketiga: Mengasah minda dengan pendekatan konvensional
Saudaraku, kita harus memelihara kecerdasan asli kita melalui amalan seperti membaca, menghadiri majlis ilmu, dan berbincang secara langsung. Sebelum menggunakan AI, tanyalah diri kita: adakah ini penggunaan yang wajar, diperlukan, atau sekadar menjauhkan kita daripada berfikir? Ingatlah, masa dan minda kita adalah amanah daripada Allah s.w.t.
Saudaraku sekalian,
Dengan kesedaran ini, marilah kita memelihara kekuatan intelek kita dengan menggunakan AI secara bertanggungjawab dan bersederhana, dengan cara yang diredai Allah s.w.t. Ingatlah, setiap nikmat dan kemajuan adalah amanah, dan setiap amanah akan dipersoalkan di akhirat kelak. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita petunjuk untuk mengharungi kehidupan dengan iman dan hikmah. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

