collections khutbah Islam dan Kehidupan: Agama dan tanggungjawab sosial
Islam dan Kehidupan: Agama dan tanggungjawab sosial

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

12 Mac 2021 / 28 Rejab 1442H

Islam dan Kehidupan: Agama dan tanggungjawab sosial

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala yang diperintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita kefahaman akan agama-Nya insyallah. Amin.

Saudaraku,

Kita sekarang ini berada di penghujung bulan Rejab yang mulia. Inilah masa yang kita sering mengingat akan mukjizat serta peristiwa agung yang Allah anugerahkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w.). Iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.

Israk dan Mikraj merupakan antara tanda kuasa Tuhan yang tiada batasnya, serta kemuliaan yang diberikan kepada Nabi (s.a.w.). Ia agar menguatkan Baginda serta memberikan khabar gembira dan harapan untuk terus memperjuangkan dakwahnya.

Perhatikan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah Al-Isra’ ayat 1 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad) pada malam hari daripada Masjid Al-Haraam ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Pada peristiwa yang mulia ini, terdapat banyak tanda kebesaran Allah (s.w.t.) yang diperlihatkan kepada Nabi. Antaranya keadaan ahli syurga dan keadaan ahli neraka. Secara ringkasnya, mereka yang mengabaikan tanggungjawabnya kepada Tuhan dengan meninggalkan solat, zakat dan sebagainya, mereka yang melakukan kerosakan, mereka yang menzalimi insan lain, akan mendapati balasan yang setimpal.

Pada peristiwa Israk dan Mikraj, Allah telah mewajibkan pelaksanaan solat. Yang pada asalnya 50 kali, Allah telah mengurangkannya kepada 5 waktu. Allah menetapkan keringanan ini sebagai satu mercu tanda syariat  Islam. Inilah sifat syariat Islam. Agama yang sentiasa memerhatikan aspek keringanan dan keperluan insan serta masyarakat.

Saudaraku,

Daripada pelbagai pengajaran yang kita pelajari daripada agama Islam, ada satu pengajaran yang begitu penting. Ia berkaitan dengan agama dan realiti kehidupan, yang tidak akan pernah terpisah. Agama mendidik agar kita memerhatikan tanggungjawab kita kepada Allah, kepada diri sendiri serta kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Nabi (s.a.w.) pernah bersabda yang bermaksud: Ada seorang lelaki sedang berjalan di sebuah jalan, lalu dia ternampak ada dahan berduri yang menggangu perjalanan orang ramai, maka lelaki itu mencabut dahan tersebut. Maka Allah membalas perbuatannya, dan memasukkannya ke syurga-Nya.” Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Saudaraku,

Perhatikan bagaimana Nabi (s.a.w.) membawa khabar gembira tatkala kita melakukan sesuatu kebaikan. Walaupun hanya sekadar mengalihkan bahaya daripada ditimpa insan lain. Walau sekecil mana pun, perbuatan kita tersebut akan meraih ganjaran yang sangat besar, di mana Allah membalasnya dengan syurga.

Begitulah pemurahnya Allah (s.w.t.). Dia sentiasa memberi ganjaran dan balasan yang berlipat kali ganda bagi setiap kebaikan. Walau macam mana kecil sekalipun amalan baik yang seseorang lakukan, kurniaan Allah (s.w.t.) tidak pernah bertepi. Allah berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 30:

Yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan siapa yang baik amalannya.”

Saudaraku,

Sekiranya kita memerhatikan hadis Nabi (s.a.w.) yang saya bacakan tadi. Mengapakah agaknya amalan individu tersebut dianggap besar di sisi Tuhan?

Ia tidak lain dan tidak bukan, kerana perbuatan yang dilaksanakannya tersebut, bertujuan untuk kebaikan masyarakat secara am. Individu tersebut melihat ada perkara yang tidak kena, maka beliau tidak berpeluk tubuh. Tidak menantikan arahan ataupun sumbangan insan lain. Bahkan  beliau dengan sendirinya berusaha untuk memberi huraian dan mencari solusi. Dengan penuh keikhlasan serta tidak mengharapkan balasan sesiapa. Beliau memainkan tanggungjawab sosial sebagai anggota masyarakat yang hidup bersama masyarakat.

Kisah yang saya kongsikan tersebut, merupakan salah satu daripada pelbagai contoh, bagaimana Islam ini menitikberatkan tanggungjawab sosial yang perlu diperhatikan setiap individu masyarakat. Perhatikan sahaja hadis-hadis Nabi (s.a.w.) berkaitan adab dan etika hidup bermasyarakat. Seperti menjaga hak jiran tetangga, menghulurkan bantuan, memberi makanan, menyebarkan salam dan sebagainya.

Perkara ini difahami generasi para sahabat radiyallahu anhum. Ia dapat kita saksikan daripada kehidupan mereka, dan bagaimana mereka menjiwai tanggungjawab sosial sebagai sebahagian daripada kewajipan agama mereka.

Saudaraku,

Walaupun keadaan kita bertambah baik sekarang ini, kita masih lagi menghadapi ancaman penularan wabak. Ia belum berakhir lagi. Kita masih perlu terus melakukan penyesuaian yang sewajarnya.

Tambahan daripada itu, dengan vaksin COVID-19 yang sudah mula diedarkan, ia adalah peluang kita untuk mempertingkatkan tanggungjawab sosial kita. Kerana dengan mengambil vaksin, kita telah berikhtiyar untuk memastikan bahawa diri kita, ahli keluarga dan masyarakat kita kekal terpelihara.

Apatah lagi vaksin tersebut telah terbukti berkesan, seperti yang dinyatakan oleh pakar-pakar perubatan. Kerana ia merangsang sistem imun kita. Sekiranya kita terdedah kepada virus setelah mengambil vaksin tersebut, sistem imun tubuh kita akan mampu bertindak balas menangkis jangkitan. Vaksin yang diedarkan di Singapura juga telah mendapat kelulusan Autoriti Sains Kesihatan. Ia juga telah mematuhi segala syarat pematuhan piawaian yang ketat.

Saudaraku,

Saya mengajak semua yang layak mengambil suntikan vaksin untuk mengambilnya. Ia boleh membantu kita dalam memelihara diri daripada jangkitan virus ini, serta membantu masyarakat kita mengatasi ujian ini dengan secepatnya. Saya yakin kita semua benar-benar ingin wabak ini dapat diatasi secara keseluruhan, agar aktiviti-aktiviti dapat dikembalikan seperti dahulu.

Maka janganlah kita menjadi sebab wabak ini berlanjutan hanya kerana kita masih lagi was-was mahupun keliru dengan vaksin. Hasil daripada khabar-khabar palsu dan maklumat yang tidak tepat yang kita dengar di media sosial.

Sebagai umat Islam inilah masanya untuk kita berusaha dan tawakkal. Dengan niat ikhlas dan usaha kita semua, marilah kita mengambil vaksin apabila tiba giliran kita. Semoga Allah terus memelihara kita dan bantu kita mengatasi wabak ini. Amin. Ya Rabbal ’Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.