

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
24 April 2026 / 6 Zulkaedah 1447H
Islam dan Budaya

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Selaraskan cara hidup kita dengan panduan agama-Nya.
Semoga Allah s.w.t. melimpahkan keberkatan dan kasih sayang-Nya kepada kita semua. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Apakah perkara pertama yang terbayang dalam fikiran bila kita bercakap tentang budaya? Apakah pula peranan budaya dalam kehidupan seorang Muslim? Insya-Allah, khutbah hari ini akan membahaskan tentang budaya menerusi lensa Islam.
Hadirin sekalian, budaya adalah suatu kebiasaan yang diwarisi turun-temurun, sama ada dalam bentuk pertuturan atau perbuatan, yang disandarkan pada suatu kaum atau bangsa.
Terkadang, berlaku percampuran antara budaya dengan pengamalan agama.
Hari ini, terdapat lebih 2 bilion Muslim di segenap pelusuk dunia. Pastinya, kehidupan kita semua diwarnai budaya yang berbeza-beza. Persoalannya, apakah pandangan Islam tentang hal ini?
Saudaraku, Islam mengiktiraf kewujudan dan kerencaman budaya. Dalam ayat ke-13 Surah Al-Hujurat contohnya, Allah s.w.t. menjelaskan bahawa manusia diciptakan daripada bangsa dan suku yang rencam agar saling mengenali. Pastinya, budaya merupakan salah satu identiti suatu bangsa yang kita dianjurkan untuk mengenalinya.
Oleh itu, kita tidak sewajarnya tergesa-gesa menolak atau merubah sesuatu budaya hanya kerana ia berbeza dengan kebiasaan kita. Pada masa yang sama, kita tidak boleh pula bertegang urat mempertahankan budaya yang jelas bercanggah dengan syariat Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan pendekatan seimbang yang dituntut dalam Islam.
Sidang jemaah yang dimuliakan,
Ketahuilah, hukum asal pengamalan budaya tertentu adalah harus atau dibolehkan, dengan syarat ia selari dengan panduan syariat Islam.
Ini kerana Islam bukanlah agama yang anti-budaya. Sebaliknya, Islam hadir untuk memperhalusi budaya agar selari dengan nilai keimanan. Dalam hal ini, para ulama menjelaskan bahawa hubungan antara Islam dan budaya dapat difahami melalui beberapa pendekatan:
Pertama, terdapat amalan budaya yang diiktiraf dan disokong ajaran Islam. Amalan seperti memuliakan tetamu, gotong-royong dan bersegera menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan adalah contoh budaya yang telah sebati dalam masyarakat kita. Islam hadir lalu memperkukuhkan kedudukan budaya tersebut sebagai amalan yang digalakkan.
Budaya seperti ini bahkan menjadi tanda kesempurnaan iman seseorang.
Kedua, terdapat juga amalan budaya yang diperbetulkan oleh Islam. Sebagai contoh, menjadi amalan masyarakat Arab sebelum Islam membela kaum keluarga dan kerabat dalam sesuatu perselisihan walaupun mereka berada di pihak yang salah. Kemudian, Rasulullah s.a.w. membetulkan budaya pembelaan secara membuta tuli ini dengan memperkenalkan panduan Islam yang menegakkan keadilan dan menolak kezaliman, walaupun jika ia berlaku di kalangan orang yang terdekat.
Ini sejajar dengan ajaran Rasulullah s.a.w. dalam mafhum sepotong hadis yang bermaksud: “Bantulah saudaramu yang menzalimi atau yang dizalimi.” (Riwayat Al-Bukhari).
Membantu orang yang menzalimi bererti dengan memperbetul kesalahannya. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam membentuk budaya yang diwarisi agar selaras dengan prinsip keadilan dan kebenaran.
Ketiga, terdapat juga amalan budaya yang ditolak dan dihentikan oleh Islam kerana bertentangan dengan nilai agama. Antaranya termasuklah budaya meminum minuman keras. Dalam hal ini, Islam bertegas bahawa budaya seperti ini meruntuh moral, merosakkan masyarakat dan mesti dihindari.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam konteks masyarakat majmuk dan kosmopolitan, isu budaya boleh menjadi medan pertembungan pandangan. Barangkali, ada yang terlalu mudah menolak budaya lain hanya kerana ia berbeza, dan ada pula yang terlalu mudah menerima semua bentuk budaya tanpa panduan agama.
Justeru, Islam memberikan kita panduan yang seimbang:
Pertama, kerencaman budaya dilihat sebagai satu kekayaan, bukan kecacatan. Perbezaan yang wujud dalam masyarakat adalah sesuatu yang perlu diraikan, bukan dipaksa untuk diseragamkan. Tidak semua yang berbeza itu salah.
Sebagai contoh, walaupun sebilangan besar umat Islam di sini berbangsa Melayu, adat dan budaya Melayu tidak wajar dipaksakan ke atas Muslim yang datang daripada latar belakang yang berbeza. Sikap saling menghormati dalam interaksi budaya adalah asas kepada keharmonian masyarakat.
Kedua, budaya yang baik perlu dibimbing dengan nilai keimanan. Budaya mengenakan pakaian yang sopan, berbudi bahasa, serta menjaga hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan adalah budaya yang harus terus dipelihara.
Namun, ia perlu dipandu oleh ajaran agama agar tidak sekadar menjadi adat, tetapi juga menjadi ibadah yang mencerminkan keimanan kita kepada Allah s.w.t.
Ketiga, kita perlu bersikap cakna dan bijaksana dalam menilai amalan budaya. Tidak semua amalan budaya perlu dikekalkan. Ada kalanya, kita perlu berani meninggalkan amalan yang tidak sesuai dengan syariat Islam. Namun, perubahan ini perlu dilakukan dengan hikmah dan secara berperingkat, sebagaimana pendekatan Islam dalam pengharaman arak.
Hari ini, masih terdapat usaha mengekalkan budaya yang bercanggah dengan Islam kerana tidak didasari ilmu yang sahih.
Contohnya, terkadang wujud aktiviti seperti kuda kepang yang mengandungi unsur khurafat, begitu juga dengan amalan kebergantungan kepada wafak dan azimat untuk keselamatan diri. Semua ini memerlukan penilaian keagamaan yang teliti dan keyakinan keimanan untuk membuat perubahan dengan pendekatan penuh hikmah.
Sidang jemaah sekalian,
Sedarilah bahawa bukan mudah pada hari ini untuk kita mendekati serta menyelaraskan budaya dan agama dengan penuh hikmah. Namun, ia tetap wajib kita lakukan. Bak kata pepatah yang masyhur di rantau ini: “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah.” Agama menjadi panduan, manakala budaya menjadi wadah untuk kita menghayati nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian.
Marilah kita berusaha menjadi masyarakat yang mengamalkan budaya berlandaskan panduan iman. Semoga dengan itu, kita dapat membina sebuah masyarakat yang rukun, berilmu, dan bijak dalam mengamalkan tuntutan Islam. Amin, ya Rabbal‘Alamin.

Khutbah Kedua

