collections khutbah Institusi Perkahwinan Dalam Islam
Institusi Perkahwinan Dalam Islam

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat  

9 Mei 2025 / 11 Zulkaedah 1446H 

Institusi Perkahwinan Dalam Islam

 

,Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Pada hari yang penuh keberkatan ini, marilah kita memohon kepada Allah agar kita kekal bertakwa kepada-Nya. Semoga kita dan keluarga kita terus melaksanakan segala perintah dan  menjauhi tegahan Allah s.w.t. hingga meraih keredaan-Nya. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Zumratal Mukminin rahimakumullah, 

Khutbah hari ini ingin menumpukan perhatian pada perihal perkahwinan dari kacamata Islam. Lazimnya, apabila kita menghadiri majlis pernikahan, Jurunikah atau Kadi akan membacakan firman Allah s.w.t.  dalam Surah Ar-Rum ayat 21: 

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Allah) ialah Dia menciptakan bagi kamu pasangan dari (jenis) dirimu sendiri, agar kamu merasa tenteram (sakinah) bersamanya, Dia menjadikan di antara kamu rasa cinta (mawaddah) dan kasih sayang (rahmah). Sesungguhnya pada yang demikian itu benarbenar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” 

 

Saudaraku sekalian, 

Ayat ini mengingatkan bahawa setiap rumahtangga Islam perlu memiliki tiga ciri penting. Ciri pertama ialah sakinah yakni ketenangan dan kedamaian. Ciri kedua ialah mawaddah, yakni kehangatan cinta yang mendorong pasangan melakukan yang terbaik untuk rumahtangga yang dibina. Manakala ciri terakhir ialah rahmah, yakni perasan kasih dan belas sesama pasangan. 

Meskipun demikian, kita sedia maklum bahawa kehidupan berumahtangga tidak pernah sepi daripada cabaran dan kesulitan. Adakalanya, ia timbul kerana kegagalan pasangan dalam teknik berkomunikasi secara berkesan. Contohnya, apabila satu pihak tidak dapat menzahirkan keinginan, harapan, kekecewaan, ataupun rasa ketidakpuasan terhadap pasangannya. Kemudian ia hanya memendamkan perasaan tersebut dan cuba mencari huraian sendiri. Ini boleh sahaja menyebabkan kerenggangan hubungan antara pasangan tersebut.  

Dengan lebih ramai pasangan yang keluar bekerja demi menampung keperluan keluarga seperti hari ini, permasalahan yang dihadapi di pejabat dan kehidupan sosial di luar rumah juga boleh menambah tekanan terhadap pasangan yang berumahtangga. Tekanan juga boleh berlaku kesan daripada tanggungjawab keibubapaan yg perlu dipikul oleh pasangan tersebut. Begitu juga cabaran dalam menangani hubungan antara mentua dan ipar-duai. Kesemua ini, jika tidak ditangani dengan cermat, ia boleh menjejas hubungan suami isteri. 

 

Saudara-saudara sekalian, 

Contoh-contoh yang dikongsikan sebentar tadi menggambarkan bahawa perkahwinan bukanlah hanya sebuah pelayaran yang indah sahaja. Oleh itu, adalah amat penting untuk setiap pasangan memiliki pemahaman yang jelas tentang liku-liku dalam hidup berumahtangga.  Ia boleh dijadikan bimbingan buat mengharungi badai tatkala ia melanda bahtera rumahtangga kita. 

 

Pemahaman yang pertama: Perkahwinan adalah suatu ibadah

Pelbagai bentuk usaha dan dedikasi seperti tenaga, masa, emosi dan harta yang perlu kita sediakan, atau belanjakan dalam usaha membina rumahtangga. Ini semua kita lakukan dengan harapan agar rumahtangga yang kita bina berkekalan sepanjang hayat. Usaha ini amat berbaloi sekiranya kita menjadikan perkawinan itu sebagai satu ibadah 

Ketahuilah saudara sekalian, perkahwinan ialah antara ibadah terpanjang yang akan kita laksanakan sepanjang hayat kita. Setiap saat yang kita lalui dalam kehidupan rumahtangga kita, setiap pengorbanan dan usaha positif yang kita lakukan deminya, adalah satu ibadah, jika kita niatkan sedemikian.

Oleh itu, kita seharusnya selalu memandang pasangan kita  dengan pandangan rahmah dan ihsan. Pasangan kita telah bersetuju untuk menjadi teman kita dalam melaksanakan ibadah agung ini bersama. Pasangan kitalah penghibur dan peneman dalam kita menjalani kehidupan dunia yang sementara ini.  

Pada saat kita sedang marah mahupun kecewa, kenanglah semula masa-masa indah dan bahagia bersama pasangan kita. Andai ada kelemahan mereka, dan selagi mana kelemahan mereka itu tidak membahayakan nyawa mahupun emosi kita, ambillah sikap mengenang kebaikan dan kelebihan mereka. Ini merupakan prinsip yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya:

Maksudnya: “Janganlah seorang (pasangan) Mukmin membenci seorang (pasangan) Mukminah dengan melampau. Sekiranya ia benci terhadap salah satu perangainya (yang tidak baik), ia tetap reda dengan kelakuan lainnya (yang baik).” (Riwayat Muslim) 

 

Pemahaman yang kedua: Pernikahan memastikan keperluan syahwat manusia diurus dalam lingkaran hubungan yang Allah redai.  

Melalui hubungan inilah, diharapkan lahirnya kemesraan dan perasaan kasih atau mawaddah yang semakin mendalam, sekaligus memperkukuh hubungan suami isteri. Terlalu sering apabila keinginan fizikal dan emosi tidak dipenuhi, maka akan timbullah gejala kecurangan dalam rumahtangga.  

Dalam suasana kehidupan sosial yang terbuka, adalah penting bagi setiap pihak menjaga batasan pergaulan mereka dengan yang bukan mahram. Batasan ini termasuklah aktiviti dalam talian seperti wadah WhatsApp, Instagram dan sebagainya. Pelanggaran pada batasan ini bererti kita mengundang kemurkaan Allah s.w.t. 

Ingatlah juga saudaraku, mengekalkan kemesraan memerlukan usaha daripada kedua belah pihak. Jangan sampai tiada masa terluang untuk pasangan bermesra bersama, disebabkan kerjaya, teman-teman, mahupun kesibukan mengurus anak-anak.

 

Zumratal Mukminin rahimakumullah, 

Marilah kita teruskan berusaha memelihara rumahtangga dan keluarga kita, dengan berteraskan sakinahmawaddah dan rahmah. Semoga Allah meredai dan melindungi rumahtangga kita, dan menjadikannya sumber kebahagiaan buat kita di dunia dan akhirat. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin. 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA