collections khutbah Iman Dan Sabar
Iman Dan Sabar

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

14 Januari 2022 / 11 Jamadilakhir 1443H

Iman Dan Sabar

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan dengan terus bertahan dan bersabar dengan setiap ujian dan cabaran hidup. Semoga dengan setiap kesabaran, Allah melimpahkan rahmat dan keredaan-Nya ke atas kita. Amin.

Saudara dan saudari,

Iman tidak meningkat dengan hanya berniat baik atau berfikiran positif. Iman juga dapat dipertingkat dan diperteguhkan dengan usaha dan amal kebajikan yang berterusan serta tabah dan sabar mengharungi cabaran-cabaran hidup. Hakikat hidup ini memerlukan kesabaran. Segala aspek kehidupan kita sebenarnya memerlukan kesabaran. Dari hal yang bersifat ibadah sehinggalah kepada urusan kehidupan seharian, kita perlu bersabar. Dalam menghuraikan erti sabar, para ulama membahagikannya kepada tiga sudut.

Pertama: Sabar dalam mentaati segala perintah Allah. Kerana ada ketika manusia merasa lemah dan malas untuk mengerjakan amal ibadah. Untuk terus beristiqamah dalam beramal, sifat sabar diperlukan.

Kedua: Sabar dalam menghindarkan diri daripada larangan-larangan-Nya. Kerana nafsu syahwat akan mendesak manusia untuk melakukan perbuatan yang mungkar atau sia-sia. Menahan diri dari desakan itu memerlukan kesabaran.

Ketiga: Sabar dalam menerima qada’ dan qadar Allah (s.w.t.). Ada ketika apabila ditimpa cabaran dan ujian hidup, manusia mempersoalkan mengapa ia menimpa dirinya dan apakah dosanya sehingga dia diuji sebegitu.

Saudara dan saudari,

Pentingnya sabar ini dalam kehidupan manusia sehingga ia disebut berulang kali di dalam al-Quran.

Firman Allah (s.w.t.):

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, mintalah bantuan kepada Allah dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar.” (Al-Baqarah: 153).

Pada ayat yang lain pula Allah berfirman:

Maksudnya:(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Al-Nahl: 96).

Sabda Nabi Muhammad (s.a.w.) pula: “Barangsiapa yang berusaha untuk sering bersabar, Allah akan kurniakan kepadanya sifat sabar. Dan tidaklah seseorang itu dikurniakan nikmat yang lebih baik dan luas melainkan sifat sabar.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). 

Saudara dan saudari,

Walaupun kita perlu bertahan dan bersabar di dalam mengharungi cabaran hidup, ia tidak menafikan keperluan untuk meluahkan perasaan sedih dan bungkam di dalam hati. Dengan meluahkan rasa duka, ia bukan petanda seseorang itu lemah atau berputus asa. Bahkan itulah usahanya untuk terus kekal tabah dalam mengharungi cabaran hidupnya. Dengan meluahkan isi hati, dia mendapat maklum balas dan nasihat yang berguna untuk dijadikan pedoman.

Malah di dalam al-Quran telah terakam beberapa kisah para Anbiya’ yang melahirkan rasa kesedihan mereka kepada Allah. Sebagai contoh, kisah Nabi Ya’qub, Nabi Ayyub, Nabi Musa, dan Nabi Muhammad (s.a.w.). Masing-masing mempunyai cabaran hidup yang tersendiri. Namun mereka tidak pernah berputus asa dengan ketetapan Allah (s.w.t.).

Perhatikan kisah Nabi Musa di dalam surah al-Kahf ayat 62 yang bermaksud: “Setelah mereka melewati tempat itu, berkatalah Musa kepada temannya, “Bawalah makan tengah hari kita, sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini.” Menurut ahli tafsir, ayat ini menunjukkan bahawa tidak salah untuk meluahkan rasa penat lelah dalam melaksanakan sesuatu tugas. Ia juga bukan sifat mengeluh. Bahkan ia adalah sifat semulajadi bagi manusia untuk meluahkan perasaan hatinya.

Begitulah selayaknya untuk kita juga. Dalam menghadapi situasi yang sukar dalam kehidupan, kita perlu sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan jalan keluar dan ketenangan hati. Selain berdoa dan berzikir, adakalanya kita juga perlu berkongsi masalah atau cabaran hidup yang kita alami dengan orang lain. Ini tidak bercanggah dengan sifat sabar kerana ia adalah lumrah manusia yang memerlukan sokongan moral dari orang lain. Namun hendaklah kita berwaspada daripada berkongsi masalah secara terbuka di alam maya. Ia boleh mengundang komen daripada orang yang tidak dikenali yang tidak membantu mengurangkan tekanan. Bahkan menambahkan beban, mengaibkan diri sendiri dan menimbulkan fitnah.

Saudara dan saudari,

Justeru, dalam keadaan kita yang masih berhadapan dengan situasi yang tidak menentu, perlu lah kita sentiasa bersabar dan berbaik sangka dengan Allah. Sudah pasti ada hikmah di sebalik ujian yang menimpa. Seterusnya berkongsilah dengan ahli keluarga atau kenalan rapat tentang tekanan atau masalah yang dihadapi, jika perlu. Dengan cara itu, insyaAllah bebanan jiwa akan dapat terlerai dan kembali positif.

Semoga Allah kurniakan kita sifat sabar dalam melaksanakan segala tanggungjawab kita di dunia ini. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.