collections khutbah Iman dan Kehidupan
Iman dan Kehidupan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

7 Januari 2022 / 4 Jamadilakhir

Iman dan Kehidupan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita kekuatan iman dan taufiq untuk sentiasa beramal soleh Insyallah. Amin.

Saudara dan saudari,

Sebagai pembuka bicara bagi khutbah pada tahun yang baru ini, saya rasa adalah amat sesuai untuk kita memberi penumpuan kepada beberapa tajuk berkaitan persoalan iman. Dan bagaimana iman itu melahirkan dalam diri individu Mukmin satu kekuatan dan tekad bagi meneruskan kehidupan. Nabi Muhammad (s.a.w.) bersabda:

عَجَبًا لأمرِ المؤمنِ إِنَّ أمْرَه كُلَّهُ لهُ خَيرٌ وليسَ ذلكَ لأحَدٍ إلا للمُؤْمنِ إِنْ أصَابتهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فكانتْ خَيرًا لهُ وإنْ أصَابتهُ ضَرَّاءُ صَبرَ فكانتْ خَيرًا لهُ.

Maksudnya: Sungguh ajaib hal keadaan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan bagi orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan maka dia bersyukur, maka ia merupakan kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka ia [juga merupakan] kebaikan baginya." (Hadis riwayat Muslim).

Saudara dan saudari,

Setiap individu pasti melalui fasa kehidupan yang pelbagai. Ujian kehidupan juga pelbagai bentuk dan jenisnya. Ada yang diuji dengan musibah dan kesusahan. Pada waktu yang sama, yang lain pula diuji dengan kesenangan hidup. Ia sepertimana yang digambarkan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah al-Anbiya’ ayat 35:

 

Yang bermaksud: “Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cabaran (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

Maka ujian kehidupan merupakan asam garam kehidupan. Semakin tinggi darjat keimanan dan tahap keagamaan dalam diri seseorang, semakin hebat ujiannya. Nabi Muhammad (s.a.w.) pernah ditanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling hebat cabarannya?" Nabi (s.a.w.) menjawab: "Para Nabi, kemudian mereka yang selanjutnya (iaitu lebih utama) dan selanjutnya. Seorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimanannya). Jika keimanannya kuat maka cabarannya pun akan semakin berat. Jika keimanannya lemah maka ia akan diuji sesuai dengan kadar imannya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Saudara dan saudari,

Maka iman memupuk dalam diri kekuatan untuk berdaya tahan mengharungi cabaran. Seorang Mukmin akan sentiasa berpegang kepada tali iman, lebih-lebih lagi tatkala ujian datang melanda. Ketika diuji, seorang Mukmin tidak akan menyalahkan takdir. Kerana dia tahu bahawa ujian Allah tidak bererti bahawa Allah (s.w.t.) membenci, bahkan kadangkala sebaliknya. Kadangkala seseorang itu diuji sedangkan dia merupakan insan yang dikasihi Allah (s.w.t.). Dia diuji sebagai kaffarah (penghapus) bagi dosa-dosanya yang silam. Perhatikan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidaklah seorang muslim tertimpa kecelakaan, kemiskinan, kegundahan, kesedihan, kesakitan mahupun kedukaan, bahkan tertusuk duri sekalipun, nescaya Allah akan menghapus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Maka pada saat dan detik ini, persoalan yang seterusnya adalah bagaimana iman ini dapat dipupuk serta diperkukuhkan di dalam jiwa? Iman memerlukan kepada usaha. Seorang Mukmin, walaupun sudah beriman, kadangkala kita lalai serta alpa. Ataupun hati ini menjadi kotor disebabkan dosa yang kita lakukan. Bahkan menjadi lumrah insan untuk terlupa.

Maka marilah kita mengambil iktibar daripada kehidupan para sahabat, bagaimana diriwayatkan bahawa Saidina Mu’az bin Jabal (r.a.) sering mengajak teman-temannya untuk duduk seketika mendengar tazkirah serta mengingat Allah. Beliau berkata: Marilah kita beringat tentang soal iman sejenak. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Di sini ingin saya menasihatkan setiap individu (termasuk diri saya sendiri) untuk sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan iman. Iman meningkat melalui pelaksanaan amal ibadah. Ikutilah kelas-kelas pengajian agama. Kerana peringatan yang berterusan berkaitan iman merupakan ikhtiyar untuk mempertingkatkan iman.

Semoga Allah (s.w.t.) sentiasa mengurniakan kepada kita iman yang kukuh serta kesabaran berhadapan dengan segala ujian kehidupan. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.