collections khutbah Ilmu Bermanfaat Memperkasa Identiti Mukmin
Ilmu Bermanfaat Memperkasa Identiti Mukmin

 

 

 

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 Mei 2024 / 1 Zulkaedah 1445H

Ilmu Bermanfaat Memperkasa Identiti Mukmin

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Laksanakanlah segala perintah-Nya dan tinggalkanlah segala tegahan-Nya. Berusahalah dan berdoalah agar kita dan yang tersayang menjadi mukmin yang terus teguh imannya, agar kita menjadi mukmin yang mengamalkan Islam di atas landasan ilmu yang sahih. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Para jemaah sekalian,

Mari kita perhatikan firman Allah dalam surah Taha, ayat 114:

Yang bermaksud: "Maha Tinggi Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad s.a.w.) tergesa-gesa membaca al-Quran sebelum selesai dibacakan kepadamu (oleh Jibril), dan berdoalah: "Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.

Hadirin sekalian,

Ada tiga pesanan terkandung dalam ayat ini. Pertama, Allah menyuruh kita mencari dan menambah ilmu yang bermanfaat di dada. Kedua, kita sertakan kesabaran dalam menuntut ilmu. Ketiga, kita juga dianjurkan untuk bermohon kepada Allah s.w.t. agar ditambahkan ilmu yang bermanfaat buat diri sendiri mahupun bagi mereka yang ada di sekeliling.

Yakinlah saudaraku, sesungguhnya perjalanan mendalami ilmu yang bermanfaat itu tidak pernah berakhir. Seorang mukmin perlu bersungguh mencari peluang untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Kita adalah mukmin dan kita adalah sebaik-baik makhluk Allah kerana kemampuan menggarap ilmu yang dibekalkan. Allah merakamkan hal ini menerusi ayat 31 surah Al-Baqarah ketika ditanya oleh para malaikat tentang hikmah di sebalik penciptaan manusia, iaitu Nabi Adam a.s.:

Yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah mengajarkan Adam akan segala nama benda-benda, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat, lalu Dia (Allah) berfirman: "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.”

SubhanAllah! Begitu besar anugerah Allah buat manusia. Tidakkah kita merasa terpanggil untuk memelihara anugerah Allah ini? Adakah wajar kita merasa cukup dan berpuas hati dengan ilmu yang ada, lantaran tidak terpanggil untuk menambah dan mempertingkatkan ilmu?

Seterusnya, semangat pencarian ilmu wajar disertakan dengan kesabaran dan tawaduk atau rendah diri. Kita perlu akur bahawa ilmu Allah itu terlalu luas dan kita tidak mampu memiliki kesemuanya. Kita perlu segera akur bahawa hanya dengan izin dan rahmat Allah kita dapat menambah ilmu di dada. Seorang mukmin perlu memastikan bahawa ketinggian ilmu tidak sepatutnya menjadi penerbit kesombongan atau akhlak yang buruk dalam dirinya.

Sedarlah, ilmu yang diberkati Allah akan mendekatkan diri mukmin kepada Sang Pencipta. Ilmu itu akan mencorak keperibadian mukmin menjadi insan yang berakhlak dan berbudi pekerti yang luhur. Ilmu yang berkat dan bermanfaat mampu menangani cabaran dan permasalahan dengan penuh hikmah, kematangan dan kebijaksanaan.

Para jemaah sekalian, 

Sehubungan dengan usaha mempertingkatkan diri dengan ilmu yang bermanfaat, Alhamdulillah, kita wajar berbangga dengan pencapaian masyarakat kita. Sejumlah masyarakat Islam kita yang berjaya dalam pendidikan dan kerjaya mereka terus meningkat. Bilangan siswazah meningkat dua kali ganda antara 2010 dan 2020. Selain itu, lebih ramai individu di kalangan masyarakat Islam kini memegang jawatan PMET (Profesional, Pengurus, Eksekutif, dan Teknikal) dalam sektor-sektor yang pesat berkembang seperti sektor maklumat dan komunikasi. Transformasi ini menunjukkan kekuatan pendidikan dan usaha mencari ilmu dalam mencipta perubahan positif.

Usaha mencari ilmu tidak berakhir dengan pendidikan formal di sekolah. Ia adalah satu proses berterusan yang perlu dilalui sepanjang hayat. Kesemua bidang ilmu dan kemahiran merupakan peluang untuk memperkayakan dan memperkasakan ketamadunan ilmu dan kehidupan mukmin. Semakin bertambah ilmu dan kemahiran, semakin bersedia kita untuk menyumbang secara positif kepada keluarga, dan masyarakat seluruhnya.

Saudaraku,

Dewasa ini, ilmu yang bermanfaat melestarikan kebaikan jagat menerusi teknologi moden. Sebagai contoh, teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mempercepatkan banyak usaha yang pada suatu ketika dulu mengambil masa yang lama, seperti meringkaskan serta menterjemah suatu teks. Pembangunan aplikasi pintar telah memudahkan kita untuk mencari arah kiblat melalui telefon bimbit. Alat bantuan pergerakan peribadi (Personal Mobility Aids, PMA) seperti kerusi roda atau skuter elektrik pula memudahkan pelaksanaan ibadah tawaf dan sa’i bagi warga emas dan berkeuzuran. Contoh-contoh ini menunjukkan bagaimana ilmu dan kemahiran dapat memperbaiki kehidupan dan memudahkan aktiviti keagamaan kita. Usaha berterusan mencari ilmu dan mengamalkannya untuk kebaikan manusia boleh menjadi amal jariah dan bekalan buat kita di akhirat nanti.

Ayuh, kita sama-sama mendalami ilmu agama dan mempertingkatkan kemahiran agar kita dapat terus kekal relevan dalam kehidupan ini. Tingkatkan ilmu dengan kesungguhan, dan gunakan kemahiran untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan kita dan orang lain. Akhir kata, marilah bersama kita mengamalkan doa yang diajarkan oleh baginda s.a.w. yang bermaksud: “Ya Allah, Aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak pernah puas, dan daripada doa yang tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semoga Allah melindungi kita daripada sebarang keburukan dan mengurniakan kemudahan buat kita dalam usaha mendalami ilmu-Nya, dan semoga Allah terus membimbing kita ke arah yang diredhai-Nya. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.