

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
6 Februari 2026 / 18 Syaaban 1447H
Ikhlas – Kebaikan yang Tersembunyi

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Ikhlaskanlah niat kita untuk mencapai keredaan Allah dalam setiap perkara. Semoga Allah s.w.t. membersihkan hati serta amalan kita dari segala kekotoran yang mencemarinya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bagaimana dapat kita menilai keikhlasan dalam diri? Pada zaman serba maju ini, amal kebajikan yang dilakukan sering tidak terlepas daripada pandangan manusia, sama ada melalui alam maya atau di alam nyata. Jadi, adakah keikhlasan semakin sukar untuk dipelihara?
Saudaraku, Islam menekankan bahawa teras agama ini terletak pada keikhlasan kepada Allah s.w.t. Firman Allah dalam Surah al-Bayyinah, ayat ke-5:

Yang bermaksud: “Sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan agar mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa kehidupan beragama memerlukan keikhlasan. Tanpa sifat ikhlas, lebih sukar untuk kita terus teguh atas jalan kebaikan.
Saudara sekalian,
Keikhlasan tidak bermaksud kita dilarang sama sekali untuk menzahirkan kebaikan. Para ulama berpandangan bahawa, menzahirkan amal kebaikan dibenarkan sekiranya niatnya adalah untuk menggalakkan orang lain berbuat baik dan dilakukan tanpa unsur riak atau mengharap pujian. Namun pada masa yang sama, Islam juga mendidik kita agar berusaha menyembunyikan sebahagian amalan, demi menjaga kemurnian niat dan membersihkan hati.
Ini dicerminkan dalam hadis sahih berkenaan seorang lelaki yang berusaha menyembunyikan sedekahnya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan tangan kanannya. Begitu juga seorang sahabat nabi, az-Zubair bin al-‘Awwam r.a. yang pernah berpesan yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang mampu memiliki satu amalan soleh yang tersembunyi, maka lakukanlah.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah)
Oleh itu, ayuh renungkan: Apakah amalan yang menjadi rahsia antara kita dengan Allah, sebagai tanda keikhlasan kita kepada-Nya? Di sini, mimbar ingin berkongsi dua cara bagaimana sifat ikhlas dapat memberi kesan baik bagi membentuk keperibadian seorang Muslim.
Pertama: Sifat ikhlas menjadikan seseorang jelas dalam tujuan hidupnya
Apabila seseorang meletakkan keredaan al-Khaliq yakni Allah sebagai matlamatnya, dia tidak mengharapkan usahanya mendapat penghargaan makhluk. Renungkan, anda membantu insan yang dalam kesusahan, atau sepasang suami isteri mengurus rumah di tengah hening malam, atau seorang anak yang setia mendoakan kedua ibu bapanya walaupun sukar meluahkan perasaan – semua ini menjadi ibadah yang bernilai dan terasa ringan apabila dilakukan dengan keikhlasan.
Kedua: Sifat ikhlas melahirkan istiqamah dalam nilai-nilai kebaikan
Keikhlasan memandu seorang Muslim agar tidak mudah goyah dengan perubahan suasana atau pandangan manusia. Dia terbuka menerima dan menilai setiap teguran. Tidak kurang penting juga adalah sifat berhemah ketika memberikan teguran, kerana keikhlasan dalam menegur mesti seiring dengan keihsanan.
Seorang Muslim yang ikhlas mendekati dengan kasih sayang serta keprihatinan. Seorang Muslim yang ikhlas menegakkan keadilan dan kebajikan, bukan kerana mengikut tren masa kini, tetapi kerana didorong prinsip dan nilai keimanan.
Saudara yang dikasihi Allah,
Marilah kita menilai setiap amalan yang kita lakukan. Peliharalah keikhlasan, hiasilah diri dengan kerendahan hati agar kita lebih istiqamah dalam kebaikan. Moga Allah s.w.t. menerima setiap usaha kita, sama ada yang diketahui manusia mahupun yang tersembunyi. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

