collections khutbah Ihsan: Menzahirkan Kesyukuran Melalui Kecemerlangan
Ihsan: Menzahirkan Kesyukuran Melalui Kecemerlangan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

7 Ogos 2026 / 23 Safar 1448H

Ihsan: Menzahirkan Kesyukuran Melalui Kecemerlangan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku ihsan sepanjang zaman. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Saudara yang dikasihi sekalian,

Khutbah pada hari ini mengundang kita semua untuk merenungkan firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Qasas, ayat ke-:77

Yang bermaksud: “... dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu…”

Saudara, ayat ini menampilkan satu prinsip utama dalam kehidupan seorang Mukmin, iaitu nilai ihsan. Ia memberikan gambaran bahawa setiap kebaikan (ihsan) yang kita taburkan, seharusnya menjadi pantulan kesyukuran kita atas segala nikmat yang telah Allah berikan.

Masakan tidak? Setiap hari, kita boleh melangkah keluar mencari rezeki dengan hati yang tenang. Pasangan kita selamat terjaga. Anak-anak ke sekolah dan kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan aman, tanpa kita rasa bimbang tentang keselamatan mereka.

Pintu-pintu masjid pula terbuka luas untuk kita sujud memohon rahmat Tuhan. Ketenangan, keamanan dan keselamatan yang kita rasakan, ketika menuju masjid pada lewat malam atau awal pagi, adalah anugerah yang tidak dikecapi oleh sebahagian insan di tempat lain.

Oleh itu, marilah dengan penuh keinsafan, kita bermuhasabah: Adakah memadai kita menandakan kesyukuran dengan sekadar membisikkan "Alhamdulillah" di hujung lisan?

Saudaraku sekalian,

Dalam sepotong hadis yang masyhur, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Ihsan (bererti) engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya, (maka ketahuilah) sesungguhnya Dia melihatmu."

Manakala dalam sepotong hadis riwayat Imam MuslimBaginda s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan atas segala sesuatu...”

Dalam menjelaskan hadis-hadis ini, para ulama menegaskan bahawa nilai ihsan ini seharusnya menimbulkan kesedaran bahawa diri kita sentiasa diawasi oleh Allah. Dan apabila perasaan ini terpahat dalam hati, kita akan sentiasa berusaha memperbaiki setiap pekerjaan yang kita lakukan, sekaligus berusaha mencapai kecemerlangan.

Ini bermakna, di mana pun seorang Mukmin berada, seperti di masjid, di tempat kerja, di bilik darjah, malah di tempat awam sekalipun, kita dituntut untuk mempamerkan kecemerlangan.

Seorang pekerja Mukmin tidak bersungguh-sungguh hanya kerana mengharapkan penghargaan orang atasan. Seorang pelajar Mukmin tidak bersungguh-sungguh hanya ketika menghampiri musim peperiksaan. Namun, seorang Mukmin menggalas setiap amanahnya dengan penuh kesungguhan, kerana dua faktor utama: kesedarannya bahawa Allah sentiasa melihat, dan harapannya agar Allah reda terhadap usahanya.

Hadirin sekalian,

Nilai ihsan ini menjadi lebih sempurna apabila ia membawa manfaat kepada orang lain. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan masyarakat yang bersifat saling bergantung antara satu sama lain (interdependent). Keamanan, kemajuan dan kesejahteraan ini terbina atas usaha dan iltizam setiap daripada kita, dengan izin Allah s.w.t. Inilah manifestasi nilai ihsan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah, adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Riwayat At-Tabrani)

Inilah wajah Islam yang sebenar. Kebaikan dan ihsan kita tidak mengenal batas kenalan, warna kulit mahupun perbezaan keturunan dan budaya. Apabila kita menjadi Mukmin yang prihatin, pekerja yang amanah, dan anggota masyarakat yang menyebarkan kebaikan, itulah sumbangan kita. Itulah cara kita berterima kasih kepada Allah s.w.t. yang telah mengurniakan banyak nikmat yang kita rasakan hingga ke hari ini.

Sidang Jumaat sekalian,

Dalam menghayati nilai ihsan, mimbar ingin mengundang kita melaksanakan dua perkara:

Pertama: Membudayakan ihsan dalam menghadapi cabaran

Sifat ihsan seorang Mukmin terus mekar sama ada dalam keadaan senang mahupun susah. Apabila kita melihat saudara kita diuji, ihsan menuntut kita tampil membantu mengatasi masalah mereka dengan huraian dan sokongan. Malah, apabila timbul isu-isu baharu dalam masyarakat, kita tidak teragak-agak untuk berusaha mencari jalan keluar. Seperti usaha para guru dan asatizah yang mendidik, dan institusi fatwa yang menyelidik dan mengeluarkan panduan hukum demi membimbing masyarakat menghadapi cabaran semasa.

Kedua: Menebarkan khidmat dan kebaikan

Memang benar, keutamaan kita adalah menjaga keperluan diri dan mereka di bawah tanggungan kita. Namun, sekiranya kita dikurniakan kelebihan daripada sudut harta, masa, mahupun kepakaran, maka luaskanlah lingkaran sumbangan kita. Jangan biarkan kebaikan itu berhenti pada diri kita sahaja. Kongsikan kelebihan tersebut agar ia menjadi rangkaian kebaikan yang berterusan dan membawa manfaat yang berpanjangan.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Bagi menghidupkan nilai ihsan, jadilah kita ibarat benih yang baik – jika dicampak ke darat menjadi gunung, jika dicampak ke laut menjadi pulau, dengan izin Allah s.w.t.

Sebagaimana peringatan Allah dalam Surah Ar-Rahman, ayat ke-60:

Yang bermaksud: "Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik (ihsan) melainkan balasan yang baik juga?"

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita keteguhan dan kekuatan untuk sentiasa berbuat baik, memberkati setiap usaha dan penat lelah kita, dan memelihara kita semua dalam keadaan aman, rukun dan sejahtera. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua