collections khutbah Hubungan Pemeliharaan Alam Dengan Keimanan
Hubungan Pemeliharaan Alam Dengan Keimanan

 

 

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

29 November 2024 / 27 Jamadil Awal 1446H

Hubungan Pemeliharaan Alam Dengan Keimanan

 

 Wahai saudara-saudaraku yang beriman,

Marilah sama-sama tingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan mentaati suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Moga Allah s.w.t. mensucikan zahir dan batin kita, agar jati diri kita benar-benar mencerminkan sifat Muttaqin, iaitu orang yang bertakwa di sisi Rabbul-‘alamin.

Saudaraku yang dikasihi,

Khutbah pada hari ini akan memperlihatkan hubungan keimanan dengan pemeliharaan bumi Allah s.w.t. yang kita diamanahkan untuk memakmurkannya.

Saudaraku,

Peribadi dan perilaku seseorang, secara tidak langsung,  adalah cerminan hati atau imannya. Maka janganlah kita memandang rendah akan kepentingan menjaga dalaman hati yang merupakan pantulan iman kita, kerana ia mengemudi tindakan luaran kita sebagai seorang manusia. Tindak-tanduk kita pada hari ini, baik positif mahupun negatif, akan memberi kesan kepada keadaan dunia dan alam sekitar pada hari ini dan di masa hadapan.

Dalam memakmurkan bumi Allah s.w.t. ini, hendaklah kita meneliti segala gerak geri dan tindakan yang diambil, agar kita tidak menyebabkan kerosakan demi kerosakan tanpa kita sedari. Perhatikan Firman Allah s.w.t.  dalam Surah Al-Baqarah, ayat 11-12 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: ”Dan apabila dikatakan kepada mereka janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka mengatakan: Sesungguhnya kami adalah golongan yang ingin melakukan pembaikan (muslihun). (Ketahuilah pada hakikatnya) Sesungguhnya merekalah golongan perosak tanpa mereka sedari.

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Apakah pengajaran dari ayat yang baru dibacakan tadi? Seawal 1400 tahun lalu, Allah s.w.t. telah memberi amaran menerusi wahyu-Nya bahawa manusia, yang sepatutnya menjadi khalifah menerajui kemakmuran bumi ini, berpotensi menjadi perosak alam ciptaan-Nya. Perbuatan ini sangat bertentangan dengan keperibadian seorang Mukmin yang mendambakan keredaan Tuhan-Nya.

Benar, banyak perkara yang berlaku di dunia ini berada di luar kawalan dan kehendak kita. Peperangan yang berlarutan, kepesatan aktiviti perindustrian, dan salah urus sumber alam  yang meluas di seluruh dunia, adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada pencemaran dan kerosakan alam sekitar.

Walaupun contoh-contoh tersebut berada di luar kawalan kita, malah sukar untuk kita elakkan secara individu, selaku seorang Mukmin dan sebagai anggota masyarakat dunia, kita masih boleh berusaha dan memainkan peranan dan tanggungjawab memelihara dan membaik pulih persekitaran kita.

Saudaraku yang dikasihi,

Menghadapi cabaran-cabaran yang disebutkan tadi, dunia kini mencari pelbagai penyelesaian bagi mengelakkan, mengurangkan, ataupun memulihkan keutuhan alam sekitar yang kian merosot. Sebagai warga dunia yang bergelar Mukmin yang memiliki al-Quran sebagai pedoman, kita sepatutnya lebih ke hadapan dalam menyedari tanggungjawab untuk sama-sama menyingsing lengan dan mencari huraian melalui nilai-nilai yang dianjurkan oleh Islam.

Sesungguhnya, potensi umat yang beriman dalam arena ini amat besar. Ia bukan hanya kerana desakan dan tuntutan masa, bahkan ia adalah manifestasi janji kita kepada Allah s.w.t., dalam menjunjung amanah-Nya sebagai khalifah di bumi ini.

Sebagai umat Islam, kita diberi panduan dalam memberi erti kejayaan dan keutamaan. Keutamaan yang kita dambakan adalah berdasarkan neraca yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Yang Maha Mulia dan Maha Luas, dan bukan dari sudut pandangan manusia yang terkadang keliru dan sempit.

Keutamaan yang sebenar adalah apabila kita menghidupkan budaya sihat, memperkukuh ‘hubungan dengan Allah’ dan ‘hubungan dengan ciptaan Allah’, dan bukan melalui budaya kepenggunaan (konsumerisme) yang mengutamakan pembelian barangan dan perkhidmatan secara berlebihan sebagai simbol kejayaan dan status sosial.

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Bagi menghidupkan peranan kita sebagai seorang muslih yang sebenar seperti yang disampaikan pada awal khutbah tadi, marilah kita kembali kepada panduan Allah s.w.t. dan mengejarkan keredaan-Nya menerusi dua saranan berikut:

Yang pertama: Marilah kita merujuk kepada panduan  Rasulullah s.a.w. dalam memperbetulkan persepsi kita terhadap alam sekitar. Sayyidina Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنْ قَامَتْ عَلَى أَحَدِكُمْ الْقِيَامَةُ وَفِي يَدِهِ فَسِيلَةٌ فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya: Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka hendaklah ia menanamnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Hadis ini secara tidak langsung memberikan gambaran betapa eratnya dan begitu pentingnya hubungan yang positif antara manusia dengan alam sekitar. Alam semula jadi tidak dinilai hanya dengan fungsinya dalam ekologi semata-mata, tetapi juga kerana kewujudannya sebagai ciptaan Allah s.w.t. Ia tidak wujud tanpa sebab, dan manusia sebagai khalifah telah diamanahkan untuk menjaganya.

Yang kedua: Sebagai orang yang beriman, marilah kita menilai gaya hidup kita. Adakah kita hidup berdasarkan panduan yang diberikan oleh Allah s.w.t.? Atau kita melakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh nafsu kita? Marilah kita amalkan sikap membeli berdasarkan ”apa yang kita perlu” dan bukan ”apa yang kita mahu”, walaupun kita berkemampuan.

Bersikap hemat dan bijaksana ketika membuat pembelian. Seruan ini diharapkan dapat mengatasi budaya kepenggunaan yang berlebihan (hyper consumerism) dan mengurangkan kesan yang menyebabkan kepupusan ekologi kita (ecological footprint). Biarlah usaha kita ini nampak kerdil di mata manusia, tetapi besar di sisi Allah s.w.t., demi memelihara keutuhan alam sekitar, mensucikan jiwa, dan menguatkan iman.

Saudaraku yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita menadahkan tangan dan berdoa kepada Allah s.w.t. untuk mengurniakan kita hikmah dan kekuatan dalam usaha menjaga kebersihan alam. Moga Allah s.w.t. juga melindungi keluarga, masyarakat dan negara kita dari segala bencana alam dan kerosakan. Sesungguhnya, Allah Maha berkuasa atas segalanya. Daripada-Nya kita datang, dan kepada-Nya jua kita kembali.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم.

 

 

KHUTBAH KEDUA 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.