Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
29 Julai 2022 / 29 Zulhijjah 1443H
Hijrah: Ke Arah Menghargai Pengorbanan Ibu Bapa
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita mengukuhkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan memenuhi setiap perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di antara hamba-hamba-Nya yang sentiasa mengingati Allah di setiap masa.
Saudara dan saudari,
Awal Muharram bakal menjelang dan dengannya kita bakal menyambut ketibaan tahun baru hijrah. Apabila disebut tentang tahun baru hijrah ini, kita harus sedar dan akur bahawa hijrah bukanlah hanya bererti pemindahan dari satu tempat ke tempat yang lain, akan tetapi, sejarah penghijrahan Rasulullah (s.a.w.) secara menyeluruh harus diambil sebagai tauladan dan iktibar.
Penghijrahan Baginda (s.a.w.) merupakan suatu proses yang merubah keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik sekaligus mengajar kita untuk mematuhi suruhan Allah (s.w.t.) dan meninggalkan larangan-larangan yang telah ditetapkan oleh Allah (s.w.t.). Rasulullah (s.a.w.) bersabda:
وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْه
Yang bermaksud, "Seorang Muhajir (yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Dengan ketibaan tahun baru ini, seorang muslim hendaklah bertekad untuk sentiasa memperbaiki diri kepada kebaikan dan berusaha untuk meninggalkan segala larangan Allah (s.w.t.). Pada kesempatan kali ini, ingin saya memberi penumpuan kepada satu aspek yang saya rasa perlu untuk berikan perhatian. Serta berusaha untuk memperbaikinya, sempena mengenang maksud hijrah yang sebenar.
Yang saya maksudkan adalah dengan melihat kepada hubungan kita sekeluarga. Apakah terdapat ruang untuk kita perbaiki tali persaudaraan antara ahli keluarga kita?
Saudara dan saudari,
Hak ibu bapa terhadap anak-anak merupakan antara perkara yang sangat diberi perhatian oleh syariat. Walaupun berlakunya perselisihan antara ibu bapa dan anak, Islam mengajar kita untuk menghormati dan menyantuni mereka. Ini menunjukkan bahawa seorang anak perlu berusaha untuk menjaga hak mereka sebaik mungkin. Allah (s.w.t.) berfirman:
Yang bermaksud: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaul lah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku. Kemudian kepada Aku-lah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”
Saudara dan saudari,
Meskipun seseorang itu melakukan ibadah yang banyak, akan tetapi tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap ibu bapa dengan baik, ia boleh menghalang dari mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah (s.w.t.).
Lebih buruk lagi sekiranya si anak menjadi punca kesusahan bagi kedua ibu dan ayah. Nafkah bulanan tidak diberi. Jauh sekali ziarah menziarahi. Ada yang terpaksa berpindah ke rumah sewa, kerana hubungan dengan anak dan menantu yang semakin rumit dan bermasalah.
Subhanallah. Bagaimana mungkin esok seorang anak mampu berdiri di mahkamah Allah, sedangkan hubungannya dengan ibu dan ayahnya sedemikian rupa? Sedangkan kedua ibu dan ayah tidak reda terhadapnya?
Nabi (s.a.w.) pernah bersabda yang bermaksud,
“Amatlah rugi dan buruk padahnya (Nabi mengulang 3 kali). Sahabat bertanya, “siapakah dia gerangan orang itu?” Baginda menjawab, “Sesiapa yang sempat hidup bersama orang tuanya ketika mereka lanjut usia tetapi tidak memasuki syurga.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Semoga kita dapat meraih keredhaan Allah dengan khidmat yang kita beri kepada kedua ibu bapa. Semoga kita dikumpulkan bersama-sama di syurga Allah kelak. Amin ya Rabbal ‘Alamin!
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.