collections khutbah Hijrah dengan Menegakkan Keadilan
Hijrah dengan Menegakkan Keadilan

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 Julai 2024 / 13 Muharram 1446H

Hijrah dengan Menegakkan Keadilan

الحَمْدُ لِلّٰهِ عَلَى إِحْسَانِهِ، وَالشُّكْرُ لَهُ عَلَى تَوْفِيقِهِ وَامْتِنَانِهِ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ تَعْظِيمًا لِشَأْنِهِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ الدَّاعِي إِلَى رِضْوَانِهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّم عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَإِخْوَانِهِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الـمُسْلِمُونَ، أُوصِيكُم وَنَفْسِي بِتَقوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.

Wahai orang-orang yang beriman,

Tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya. Jauhi segala larangan-Nya. Contohilah keperibadian dan sifat keihsanan Rasulullah s.a.w. Semoga Allah meredai kehidupan kita. Amin.

Sidang jemaah sekalian,

Pada bulan Muharram yang mulia ini, kita memperingati perjuangan baginda Nabi Muhammad s.a.w. melalui peristiwa hijrah. Hijrah melambangkan keimanan, pengorbanan, pembaharuan, dan kesejahteraan. Hijrah dan bulan Muharram  menekankan bahawa Islam adalah agama yang menentang segala bentuk kezaliman. Umat Islam yang pertama dibentuk di bawah kepimpinan baginda Nabi s.a.w. bertujuan membawa rahmah, dan menolak segala bentuk kezaliman, penganiayaan dan penindasan. Renungkan dan fikirkan saudara, apakah kaitan antara hijrah dan menolak kezaliman?

Awal minggu ini, ada sebahagian kita yang berpuasa Asyura pada tanggal 10 Muharram. Dalam sepotong hadis riwayat Imam Muslim, baginda Nabi Muhammad s.a.w. berpuasa pada hari Asyura sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s. sebagai tanda syukur terhadap Allah s.w.t., kerana  telah menyelamatkannya dan kaumnya daripada kezaliman dan penganiayaan Fir’aun. Bahkan, sebelum hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Makkah ke Madinah, baginda telah mengizinkan sahabatnya berhijrah  ke negeri Habsyah. Ini berlaku saat  mereka ditindas dan dizalimi oleh kaum kerabat mereka sendiri di Makkah, kerana beriman dengan Rasulullah s.a.w. Nabi s.a.w. memilih Habsyah, kerana di sana terdapat seorang Raja yang adil, yang mana di bawah pemerintahannya, tiada sesiapapun yang dizalimi. Beberapa sahabat, termasuk Sayyidina Uthman Ibn Affan r.a., berhijrah, mencari keamanan dan mengelakkan kezaliman.

Keadilan yang menumpaskan kezaliman adalah amat asas di dalam neraca agama kita, sehingga para ulama mengingatkan bahawa Allah s.w.t. tentu akan membantu dan menegakkan negeri yang adil, walaupun ia tidak beriman dengan Allah. Sebaliknya, Allah tidak akan memakmurkan negara yang zalim, walaupun penduduknya beriman kepada Allah. Begitu sekali keutamaan nilai keadilan dan menolak kezaliman di sisi Islam.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Hari ini, kita melihat terlalu banyak kerosakan dan kezaliman yang berlaku di tangan manusia. Ia membawa kerosakan, pada nyawa manusia, kesejahteraan dan keamanan masyarakat dan negara, bahkan pada alam sekitar. Hari ini, manusia lebih mudah membenci daripada menyayangi, menyakiti daripada menyantuni, berpecah-belah daripada bersatu, mencari kesalahan dan kesilapan orang, daripada bersikap belas ihsan.

Kesan daripada suasana yang negatif sedemikian amat mengkhuatirkan, apatah lagi bagi generasi muda yang dahagakan ketenangan dan kesejahteraan. Mereka akan menjadi lebih keliru dan bingung. Sebahagian merasakan terdesak perlu mengambil tindakan. Ada yang mula hilang arah tuju, dan percaya bahawa kezaliman dan keganasan dibalas sama dengan kezaliman.

Kerana itu, masyarakat dunia hari ini harus berfikir semula dengan penuh keinsafan. Pihak-pihak yang ganas dan zalim mesti insaf dan berhenti daripada semua bentuk kezaliman dan penganiayaan. Berilah anak-anak kita dan generasi muda peluang untuk menikmati dunia yang aman dan tenang. Untuk mereka mengejar cita-cita membangun masa depan yang lebih cerah, berbakti untuk kemakmuran dan kesejahteraan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Inilah pedoman agama, khusus dalam zaman fitnah dan kekeliruan yang kita alami hari ini.

Yang pertama, kita bukan umat yang membalas kezaliman dengan kejahatan yang lebih besar. Sebaliknya, kita kekal dengan kebaikan dan menguruskan cabaran dengan penuh kebijaksanaan dan kematangan. Ini berpandukan firman Allah s.w.t. dalam Surah Fussilat, ayat 34 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan tidaklah sama  perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah dengan sesuatu yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang bermusuhan denganmu dengan serta merta akan menjadi seakan seorang sahabat baik.

Ayat ini mengandungi galakan untuk kita menghentikan putaran kezaliman menerusi kelakuan yang baik. Ini sesuai dengan sepotong hadis hasan riwayat Imam At-Tirmizi yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadi orang yang mudah terpengaruh yang berkata, ‘ jika orang berbuat baik, kami juga akan berbuat baik, dan jika mereka berlaku zalim, kami juga akan berbuat zalim.’ Sebaliknya tetapkanlah diri; Jika orang berbuat baik, kamu juga berbuat baik, dan sekiranya mereka berlaku jahat, maka janganlah kamu sekali-kali berlaku zalim.’”

Yang kedua, usah jadikan kezaliman yang wujud sebagai alasan dan penghalang daripada kita berbuat baik dan bersikap adil terhadap masyarakat di sekeliling kita, masyarakat yang sama-sama memperjuangkan keadilan dan menginginkan kebaikan buat semua. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8:

Yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Tidak dinafikan, perkembangan dunia yang semakin mencabar mengganggu emosi dan nurani. Ada di kalangan  kita yang memerlukan sokongan dan bimbingan untuk mengatasi kebingungan dan kecelaruan ini. Marilah kita saling memberikan perhatian, sokongan emosi, dan peringatan agama yang terpandu, agar kita dapat terus memelihara maslahat dan hidup dalam suasana aman dengan masyarakat.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, kami memohon kepada-Mu, kurniakanlah kepada kami keadilan dalam setiap langkah kami. Jauhkanlah kami daripada segala bentuk kezaliman dan kekerasan. Ya Mughith, Ya Jabbar, hapuskanlah segala bentuk kerosakan dan ketidakadilan yang melanda dunia ini. Ya Salam, Ya Mu’min, berikanlah keamanan dan kesejahteraan kepada kami. Lindungilah kami daripada segala keburukan dan bahaya. Jadikanlah kami umat yang saling membantu dan mengasihi, serta hidup dalam keamanan dan kedamaian. Pandulah anak-anak kami, dan berikanlah kami hikmah dan kebijaksanaan dalam membimbing mereka. Terangilah jalan kami dengan cahaya petunjuk-Mu, dan jadikanlah kami umat yang dirahmati dan diberkati.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.