Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
4 Mac 2022 / 1 Syaaban 1443H
Hakikat Ujian Dan Kesabaran
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita mengukuhkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan beristiqamah melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Semoga takwa menjadikan kita orang yang memiliki daya tahan yang kuat, sentiasa bersedia dan berani menghadapi apa jua bentuk ujian dengan sabar, tawakkal serta redha dengan ketetapan Allah. Inilah yang menyebabkan kita memperoleh pertolongan dan perlindungan Allah di dunia dan di akhirat.
Saudara dan saudari,
Renungkanlah firman Allah (s.w.t.), di dalam surah Al-Baqarah, ayat 153, yang berbunyi:
Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
Pada ayat tersebut, Allah (s.w.t.) menegaskan kepada orang-orang beriman supaya bersabar. Ini menunjukkan bahawa pada hakikatnya kehidupan di dunia yang dilalui pasti tidak terlepas daripada ujian. Sabar mengharungi ujian mengukuhkan lagi jiwa supaya kuat menanggung penderitaan dan kesulitan.
Seiring dengan itu, mohonlah pertolongan Allah untuk merangkul kebahagiaan di dunia dan akhirat, dengan cara bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan mengharungi segala ujian yang tak terduga.
Allah (s.w.t.) mengungkapkan secara khusus sabar dengan solat, kerana ia merupakan ibadat induk yang dilakukan berulangkali, serta memerlukan kepada kesabaran, sebagai penghubung seorang hamba dengan Penciptanya.
Ayat ini bermakna, Allah (s.w.t.) sentiasa akan bersama orang-orang yang sabar dengan menurunkan pertolongan-Nya. Melalui sabar dan solat, ia bakal menjadikan kita orang yang berjiwa tenang, berfikiran waras memandang sesuatu secara positif, menjadikan kehidupan ini selesa dan dapat melawan nafsu serakah serta tidak terseret ke arah kemusnahan.
Saudara dan saudari,
Sekian banyak limpahan nikmat Allah, terkadang beriringan dengan bermacam-macam ujian, cobaan, musibah, wabak, malapetaka dan sebagainya. Tidak ada penawar yang mujarab untuk menanggung semuanya itu, kecuali dengan mendekatkan diri kepada Allah, mohon pertolongan-Nya dan sabar dengan tekad yang kuat bagi meneguhkan jiwa dalam menghadapi segala kesukaran.
Kita sebagai hamba Allah, sudah setentunya, sama ada mendapat nikmat lalu bersyukur atau mendapat musibah maka kita bersabar. Sehubungan dengan itu, Allah (s.w.t.) berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 155:
Yang bermaksud: “Dan sungguh Kami akan memberikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Orang-orang yang sedemikian rupa akan dikurniakan kegembiraan kepada mereka, dipenuhi bagi mereka ampunan Allah daripada dosa-dosa, dicucuri rahmat-Nya dalam kehidupan mereka dengan kedamaian hati dan jiwa, pada ketika menghadapi ujian dan cobaan. Kata sabar memang mudah diucapkan tetapi kadang-kadang sukar diamalkan apabila menghadapi ujian dan cobaan. Sifat sabar boleh kita terapkan seandainya secara sedar kita menghayatinya dengan cara yang betul.
Misalnya mengamalkan sikap sabar dengan menjaga lisan. Tidak kira kecil atau besar ujian yang dihadapi, tetapkan hubungan dengan Allah melalui zikir, doa dan mohon keampunan-Nya. Elakkan diri daripada perkataan-perkataan keji yang boleh mendapat kemurkaan Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang. Menghadapi ujian dengan lapang dada sebenarnya Allah hendak mengangkat darjat kita ke tingkatan yang terpuji.
Bersabar dan redha dengan qada’ dan qadar Allah dengan menggiatkan ibadat kepada Allah. Semakin dekat kita kepada-Nya pada masa senang atau susah, maka Allah mengabulkan doa dan harapan kita serta mengampuni dosa-dosa kita.
Saudara dan saudari,
Wabak Covid-19 yang melanda kita telah mengorbankan jutaan nyawa di seluruh dunia. Masa-masa yang sukar ini mengajar kita pelbagai pengajaran dan panduan. Antaranya maksud bersatu padu, serta maksud pengorbanan yang terpaksa kita lakukan, demi kebaikan ramai. Kita juga sentiasa perlu menghayati maksud kesabaran. Lebih-lebih lagi tatkala ada ahli keluarga kita yang diuji, sama ada dengan kesakitan dan sebagainya.
Sifat sabar itu mengajar kita untuk sentiasa bersangka baik dengan Tuhan, serta menanam tekad serta kecekalan hati. Sesiapa bersabar pada saat diuji dan ditimpa musibah, redha dengan takdir Allah, mengharap ganjaran daripada-Nya atas musibah itu, serta tidak celupar tutur katanya, maka Allah akan memberikan balasan yang sangat tinggi dengan limpahan rahmat di dunia dan akhirat. Mendapat ampunan dosa dan kesalahan, serta tempat idaman di syurga. Itulah keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada orang-orang yang sabar, istiqamah beribadah kepada-Nya.
Semoga Allah menguatkan kesabaran kita dalam menghadapi ujian-Nya dan sentiasa mendapat kecintaan Allah. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.