

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
4 September 2026 / 22 Rabiulawal 1448H
Hadyun Nabawi: Menyemai Minda Kritis, Memupuk Hikmah

Saudaraku,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan tinggalkan segala tegahan-Nya. Semoga kita memperoleh kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w. diutuskan sebagai seorang pendidik yang unggul, yang membimbing manusia dengan ilmu, hikmah dan kasih sayang.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Jumu’ah, ayat 2:

Yang bermaksud: “Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya, menyucikan (jiwa) mereka, serta mengajarkan Kitab (al-Quran) dan Hikmah. Meskipun mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata.”
Saudara sekalian,
Rasulullah s.a.w. membawa revolusi pendidikan yang membina pemikiran dan jati diri. Dalam era limpahan maklumat dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) hari ini, cabaran kita bukan sekadar mendapatkan maklumat, tetapi membina minda yang kritis, yang berdaya menapis kebenaran daripada kepalsuan, serta menilai setiap perkara secara saksama.
Justeru, pedagogi Nabawi – iaitu pendekatan Baginda s.a.w. dalam mendidik – amat perlu dihidupkan semula, bukan sahaja oleh mereka yang bergelar guru, malah oleh ibu bapa dan setiap pembimbing dalam masyarakat. Apakah pedagogi tersebut?
Pertama: Rasulullah s.a.w. merangsang pemikiran kritis
Rasulullah s.a.w. mendidik dengan merangsang akal. Dalam hadis riwayat Imam Muslim, Baginda s.a.w. bertanya kepada para sahabat, yang bermaksud: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?"
Apabila sahabat menjawab muflis adalah orang yang tiada harta, Baginda memperbetulkan kefahaman mereka bahawa muflis hakiki ialah orang yang membawa pahala di akhirat kelak, tetapi kebaikannya habis untuk membayar dosa kezalimannya terhadap orang lain.
Melalui kaedah ini, Baginda s.a.w. mengajar kita untuk tidak memandang dan memahami sesuatu secara luaran sahaja, tetapi menilai secara kritis dan mendalam dalam setiap perkara.
Kedua: Pembelajaran mengikut kadar pemahaman
Rasulullah s.a.w. menyampaikan bimbingan secara bertahap mengikut keupayaan penerima, dan begitulah juga cara Baginda s.a.w. mendidik para sahabat. Dalam sepotong riwayat Imam Al-Bukhari, Sayyidina Ali r.a. berpesan yang bermaksud: "Berbicaralah kepada manusia mengikut kadar apa yang mampu mereka fahami."
Menyampaikan kebenaran dan ajaran agama juga memerlukan kesabaran, pendekatan bertahap dan menyentuh hati, bukan paksaan atau kekerasan.
Ketiga: Rasulullah s.a.w. membina jambatan jiwa
Pendidikan berkesan bermula daripada hati yang saling bertaut. Sayyidina Mu’az bin Jabal r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. menggenggam tangannya lalu bersabda yang bermaksud: "Wahai Mu'az! Demi Allah, sesungguhnya aku menyayangimu..." (Riwayat Abu Daud)
Baginda s.a.w. menzahirkan kasih sayang terlebih dahulu sebelum menitipkan pesanan. Apabila mereka yang dibimbing merasa dikasihi dan selamat dari prejudis, maka setiap nasihat dan pengajaran mudah diterima dengan dada yang lapang.
Sidang hadirin sekalian,
Tugas mendidik tidak terhad kepada sekolah semata-mata. Ia adalah amanah setiap insan. Oleh itu, berbekalkan pedoman yang kita pelajari daripada Rasulullah s.a.w., marilah kita memainkan peranan ini melalui pendekatan yang terbaik dan penuh kasih sayang.
Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita hikmah dalam mendidik keluarga dan masyarakat, serta merahmati para guru dan pendidik kita di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

