

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
21 Ogos 2026 / 8 Rabiulawal 1448H
Hadyun Nabawi: Mengharungi Kehidupan dengan Akhlak Mulia

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga ketakwaan ini menjadi perisai dan pendorong untuk kita membentuk keperibadian yang luhur dan diredai-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara yang dirahmati Allah,
Rabiulawal kembali menjentik hati, membangkitkan semula rasa rindu dan cinta kepada junjungan mulia, Nabi Muhammad s.a.w. Musim memperingati Maulidur Rasul ini begitu sesuai untuk kita memperbaharui ikrar dan meneladani Hadyun Nabawi, iaitu pendekatan dan petunjuk hidup yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Inilah maksud yang tersirat di sebalik ayat 21 Surah Al-Ahzab, di mana Allah s.w.t. menuntut kita menyelami serta menerapkan cara hidup Baginda s.a.w. sebagai teladan dalam segenap urusan harian. Firman-Nya:

Yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, pada diri Rasulullah itu contoh yang baik bagi kamu, (iaitu) bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta banyak mengingati Allah."
Saudaraku,
Gaya hidup hari ini serba maju dan pantas. Ia mendedahkan kita kepada cabaran seolah-olah wujudnya pertembungan antara mengekalkan nilai kerohanian yang berpaksikan ajaran agama, dengan mengejar kemajuan duniawi. Di samping itu, ada pula yang merasakan bahawa, kejayaan hakiki di dunia boleh sahaja dikecapi tanpa perlu berpegang pada nilai dan panduan agama.
Namun, sirah Rasulullah s.a.w. membuktikan sebaliknya. Baginda s.a.w. menunjukkan bahawa nilai agama dan kehidupan duniawi bukan semestinya dua arus yang bertentangan, tetapi ia boleh saling melengkapi.
Hadyun Nabawi, yakni pendekatan yang ditunjukkan oleh Nabi, membekalkan kita daya tahan (resilience), kecekalan jiwa, dan keyakinan untuk berdepan dengan cabaran setiap zaman tanpa menggadaikan pegangan agama.
Ketika di Makkah, umat Islam menjadi kelompok minoriti yang ditindas, tetapi tetap berdaya tahan berpegang pada ajaran tauhid. Penghijrahan ke Madinah pula menyaksikan Rasulullah s.a.w. membangun dan membentuk sebuah masyarakat Islam dalam suasana majmuk dengan penuh harmoni.
Baginda s.a.w. menjalin hubungan strategik, berinteraksi dengan mempamerkan akhlak mulia, di tengah-tengah kepelbagaian bentuk dan ragam manusia. Baginda memimpin masyarakat tersebut dengan sikap pragmatis; terbuka, realistik, dan proaktif dalam membawa kebaikan kepada seluruh insan.
Kepimpinan Baginda s.a.w. didasari keperibadian yang agung, dihormati, dan dicintai oleh semua.
Saudara sekalian,
Cuba kita renung sejenak: Bagaimanakah boleh kita menterjemahkan Hadyun Nabawi sebegini dalam kehidupan kita? Jawapannya: tentulah dengan memahami dan menghayati akhlak mulia tersebut, seperti yang sentiasa ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w. pada setiap saat dan ketika.
Interaksi harian kita, sama ada di tempat kerja, di rumah, bersama masyarakat, mahupun di alam siber, hendaklah dikemudi oleh etika kenabian. Bersikap adil dan tidak menyakiti orang lain, tidak berlebihan dalam tindak tanduk kita, serta cermat dalam tutur kata kita – kesemua ini adalah sifat nabawi yang merupakan kunci utama untuk mengharungi kehidupan hari ini dengan sejahtera dan berjaya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kamu, dan yang paling dekat kedudukannya denganku pada hari Kiamat, adalah orang yang paling baik akhlaknya di kalangan kamu.” (At-Tirmizi)
Maka, marilah kita bertanya kepada diri kita: Sejauh manakah akhlak kita mencerminkan sifat mulia Rasulullah s.a.w., sebagai bukti rasa cinta kita terhadap Baginda?
Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita taufik dan hidayah untuk mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w., menabur manfaat kepada seluruh insan, dan semoga kita dihimpunkan bersama Baginda s.a.w. di syurga kelak. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua

