

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
11 September 2026 / 29 Rabiulawal 1448H
Hadyun Nabawi: Ketabahan, Harapan, Pembaharuan

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Laksanakan perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kekuatan untuk terus tabah menempuh ujian. Amin, ya Rabbal 'Alamin.
Sidang jemaah sekalian,
Pada permulaan dakwah Rasulullah s.a.w. di Makkah, masyarakat ketika itu bergelumang dengan masalah akidah dan sosial termasuklah amalan syirik, penindasan, rasuah dan sebagainya.
Di tengah-tengah kegelapan jahiliyah itu, Rasulullah s.a.w. hadir membawa rahmat; menyeru kepada tauhid, melakukan kebaikan, dan keadilan, sekaligus mengeluarkan insan daripada lembah kehinaan ke puncak kemuliaan.
Jemaah yang dikasihi,
Walaupun Rasulullah s.a.w. dikenali sebagai insan mulia, Baginda s.a.w. sering menerima layanan yang amat menyedihkan. Baginda s.a.w. dicerca ketika solat di hadapan Kaabah, dilontar najis apabila bersujud, malah hampir dijerut dengan pakaiannya sendiri sebelum diselamatkan oleh Abu Bakar r.a.
Kaumnya sendiri, yang dahulunya menggelar dirinya sebagai Al-Sadiq Al-Amin – yang paling benar dan dipercayai, mula melihatnya sebagai pendusta. Mereka berpaling daripada Baginda s.a.w., mengejeknya, menghinanya, memfitnahnya, malah mereka turut cuba membunuhnya.
Namun begitu, Rasulullah s.a.w. tidak membiarkan keburukan di sekelilingnya melunturkan kemuliaan, kebaikan, dan kelembutan hatinya. Baginda s.a.w. terus tabah, bersabar, dan kekal setia kepada jati dirinya.
Ketabahan itu membuahkan hasil yang luar biasa. Beberapa individu yang dahulu memusuhinya, bertukar menjadi pembela dan berdakwah di sampingnya.
Dengan ketabahan Rasulullah s.a.w., cahaya Islam tidak terpadam pada permulaannya di Makkah, tidak juga apabila ia dibadai cabaran demi cabaran di Madinah. Ajaran Rasulullah s.a.w. yang murni; nilai-nilai yang Baginda s.a.w. tegakkan sepanjang kehidupannya, tidak terhenti selepas pemergiannya. Ia merentasi batasan tempat dan masa untuk sampai kepada diri kita sendiri, hari ini, dengan izin Allah s.w.t.
Setiap anjuran dan larangan yang membentuk kehidupan dan moral seorang Muslim, terbit daripada seorang insan yang enggan membiarkan suasana yang negatif mencemari dirinya. Saudaraku, kita adalah umat Nabi Muhammad s.a.w. Tatalaku kita selayaknya mencerminkan ketabahan dan keluhuran Baginda s.a.w. ini, dan menyumbang kepada perkembangan Islam sepanjang zaman.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Fussilat, ayat 34:

Maksudnya: “Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka orang yang bermusuhan denganmu akan menjadi seperti sahabat karib.”
Inilah semangat ketabahan sikap yang perlu kita kembangkan. Tolak kejahatan dengan cara yang lebih baik. Dunia ini, saudara-saudara sekalian, pasti ada keburukannya. Kadangkala, kita mungkin melihat atau membaca tentang perkara yang membuatkan kita hilang keyakinan terhadap kemanusiaan buat seketika.
Rasulullah s.a.w. juga melihat dan mengalami pelbagai keburukan, malah lebih berat berbanding apa yang kita alami. Namun Baginda s.a.w. mengatasinya dan menitipkan ajaran serta nilai-nilai Islam kepada alam semesta.
Oleh itu, ingatlah: walaupun kita mungkin dihimpit pelbagai cabaran, teruslah memilih untuk berbuat baik. Jangan sesekali berputus asa. Yakinlah bahawa kebaikan yang kita lakukan akan terus bercambah dan akhirnya membuahkan hasil, membina masyarakat yang lebih kukuh dan lebih baik.
Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kekuatan untuk membalas setiap keburukan dengan hikmah, keimanan, dan kebaikan. Amin ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua

Sidang Jemaah sekalian,
Baru-baru ini, bencana banjir telah melanda Nepal, sehingga menjejaskan seramai 93,000 penduduknya.
Justeru, Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF) telah mengikrarkan sumbangan sebanyak $50,000 dan melancarkan rayuan dana bagi membantu mangsa yang terjejas.
Sumbangan boleh disalurkan secara langsung di masjid-masjid dari 7 hingga 14 September, ataupun secara dalam talian melalui kod QR yang tertera pada poster kempen ini. Setiap sumbangan yang diterima akan disalurkan melalui Palang Merah Singapura kepada mereka yang memerlukan.
Marilah kita menyumbang dengan seadanya, sambil berdoa agar Allah s.w.t. meringankan kesusahan saudara-saudara seinsan, serta mempermudahkan setiap urusan kita.

