collections khutbah Hadis Qudsi: Kepentingan Bersikap Adil
Hadis Qudsi: Kepentingan Bersikap Adil

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

29 Januari 2021 / 16 Jamadilakhir 1442H

Hadis Qudsi: Kepentingan Bersikap Adil

 

Saudaraku yang dikasihi Allah,

Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Saudaraku,

Pada kesempatan ini, marilah kita menghayati sebuah hadis qudsi berkaitan keadilan. Nabi (s.a.w.) bersabda: Allah (s.w.t.) berfirman yang bermaksud: “Wahai hamba-hambaku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu, dan Aku jadikan sifat ini haram di antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi…” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Saudaraku,

Allah (s.w.t.) telah menjadikan keadilan sebagai salah satu sifat-Nya yang sangat mulia. Allah sama sekali tidak redha untuk menyaksikan sebarang kezaliman dan mengharamkan sesiapa pun untuk berlaku zalim.

Apabila Islam memerintahkan orang beriman untuk berlaku adil, ia menuntut keadilan dalam semua perkara. Ia merangkumi berlaku adil dalam perbuatan, dalam percakapan, pada perhubungan antara sesama insan, bahkan pada segenap aspek kehidupan. Kerana keadilan adalah ketakwaan. Insan yang adil merupakan insan yang lebih bertakwa. Allah berfirman:

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kamu membiarkan kebencian sesuatu kaum menjadi penghalang untuk engkau berlaku adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Maidah: ayat 8).

Saudaraku,

Keadilan bermakna, seorang yang bertakwa membalas kebaikan dengan kebaikan yang sama bahkan yang lebih baik. Ia adalah lumrah seorang yang beriman, bak kata pepatah: Orang berbudi, kita berbahasa. Keadilan juga bermakna, bila dihadapkan dengan keburukan dan permusuhan, kita membalasnya dengan kebaikan, sehingga lawan kita menjadi teman. Demikianlah yang dicontohkan oleh Rasulullah (s.a.w.) pada setiap saat dan ketika. Inilah darjat ketakwaan yang tinggi.

Dan inilah juga strategi dakwah terbaik di dalam suasana sukar mahupun mencabar yang kita hadapi.

Beberapa hari yang lalu, kita dikhabarkan tentang seorang individu yang merancang untuk melaksanakan tindakan keganasan di masjid-masjid tertentu. Adalah wajar untuk kita berasa terkejut dan gusar apabila mendengar berita sebegini. Adalah wajar untuk kita mencemuh keganasan dan kebencian. Bagaimanakah seseorang Mukmin bertindak dengan adil dalam menghadapi situasi ini? Keadilan mengajak kita untuk beristiqamah dalam melakukan kebaikan, dalam berdakwah dengan kemuliaan akhlak dan pekerti, dalam meneruskan usaha untuk menunjukkan keindahan dan kemuliaan agama kita. Ini agar sesiapa sahaja yang masih terkeliru, ataupun tersalah faham tentang Islam, akan akhirnya nampak kebaikan dan kemuliaan agama kita melalui perbuatan, tutur kata serta sikap positif kita. Jika kita membalas kebencian dengan kebencian, maka suasana hanya akan menjadi lebih keruh dan jalinan hubungan dan persefahaman yang telah lama dipupuk dan dibina akan runtuh.

Perbuatan seorang individu tidak mewakili sesuatu kelompok. Kesilapannya tidak melambangkan nilai keseluruhan sesuatu masyarakat. Sebagaimana kita tidak mahu dilihat demikian, apabila ada individu Muslim yang terlibat dengan keganasan, kita juga tidak akan bersikap demikian kepada orang lain.

Saudaraku,

Peristiwa ini juga mengajar kita akan bahaya yang dihadapi golongan muda dan remaja.  Janganlah kita leka dan lupa untuk memerhatikan perkembangan seharian mereka. Mereka dibiarkan bersendirian meluangkan masa melungsuri internet seharian suntuk tanpa pemantauan atau panduan. Kadangkala ada yang melungsuri lelaman yang menyebarkan ideologi-ideologi yang bermasalah. Lantas terpengaruh dengan ideologi yang tidak berasas tersebut. Maka mulalah berakar sifat-sifat kebencian dan prejudis terhadap kelompok atau kaum lain. Hal ini sangat merbahaya.

Inilah cabaran yang kita hadapi hari ini, untuk sentiasa memastikan agar golongan muda kekal terpandu, serta berada di atas landasan yang benar. Lebih-lebih lagi dalam zaman kemajuan teknologi yang semakin pesat. Ia seharusnya meningkatkan kewaspadaan kita sebagai Mukmin ketika berinteraksi dengan perkembangan tersebut. Perkembangan ini bukan sahaja boleh mengelirukan golongan muda, akan tetapi golongan dewasa juga.

Lihat sahaja bagaimana berita-berita palsu boleh tersebar dengan mudah dan meluas di pelbagai lelaman media sosial, sehingga ia menyebabkan keburukan dan ketidakadilan terhadap pelbagai pihak, tanpa menghiraukan dosa mahu pun fitnah. Kita perlu memastikan bahawa diri kita, serta golongan muda yang berada di bawah pemantauan kita sentiasa memperolehi maklumat daripada sumber-sumber yang benar dan tepat.

Marilah sama-sama kita berhadapan dengan ujian ini dengan penuh hemat dan bijaksana. Marilah kita terus menunjukkan kemuliaan akhlak dan budi pekerti, menghiasi diri dengan kemaafan, dan memelihara anak dan keluarga daripada bahaya dan pengaruh yang merosakkan. Marilah sama-sama kita menjadikan peristiwa ini sebagai peluang untuk menguatkan persefahaman antara masyarakat Singapura yang kita kasihi. Semoga Allah (s.w.t.) memelihara kita semua. Amin. Ya Rabbal ’Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.