Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
9 Ogos 2024 / 4 Safar 1446H
Fitrah Cinta Pada Tanah Air
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Khatib berpesan pada dirinya dan sekalian yang hadir untuk terus bertakwa kepada Allah s.w.t. Laksanakan perintah-Nya, dan tinggalkan larangan-Nya. Syukurilah nikmat usia dan iman. Semoga Allah memberkati kesungguhan kita memenuhi amanah kehidupan di muka bumi ini. Amin.
Saudaraku yang dikasihi Allah,
Mimbar hari ini akan berbicara mengenai kecintaan pada tanah air. Saudaraku, pernahkah kita tertanya, apakah seorang Muslim boleh merasa ikatan emosi kepada tanah air? Dan sebelum anda mengatakan, “ini mesti khutbah sempena Hari Kebangsaan”, dengarkan dulu hadis berikut yang merakamkan kecintaan baginda Rasulullah s.a.w. pada tanah airnya.
Rasulullah s.a.w. pernah berdiri di Hazwarah, sebuah tempat di penghujung kota Makkah. Baginda meluahkan rasa cinta kepada tempat kelahirannya dengan berkata yang bermaksud: “Demi Allah, sesungguhnya engkau (yakni Makkah) adalah sebaik-baik bumi Allah, dan tanah yang paling aku cintai. Jika bukan kerana aku diusir keluar (oleh penduduk Makkah) daripadamu, nescaya aku tidak akan keluar daripadamu.” (Hadis sahih riwayat Imam at-Tirmizi).
Benar, Makkah pada awalnya bukan sebuah kota yang mesra risalah Islam. Akan tetapi memang lumrah manusia mempunyai ikatan emosi terhadap tempat lahir atau tanah airnya. Begitu juga Rasulullah s.a.w., baginda tetap bersyukur kepada Allah atas tempat tumpah darahnya, dan kemudian berazam untuk kembali. Kembalinya Baginda ke Makkah bukan sekadar berpeluk tubuh, saudara. Sebaliknya. Rasulullah s.a.w. menzahirkan kecintaan pada kota tersebut menerusi sumbangan positif untuk memakmurkannya.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Hadith Rasulullah s.a.w. tadi mengingatkan tentang peranan dan tanggungjawab ke atas kebajikan tanah air. Kalau hendak dikupas memang terlalu banyak. Namun memadailah dengan masa yang terhad ini, saya menegaskan bahawa salah satu tanggungjawab kita adalah, menguruskan pelbagai nikmat yang dipinjamkan dan diamanahkan Allah ke atas kita, dengan sebaik mungkin untuk penduduk tanah air ini. Bercakap tentang pengurusan amanah, Allah menyifatkan orang mukmin yang berjaya di akhirat kelak:
Yang bermaksud: "(Orang-orang mukmin yang berjaya itu) Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya." (Surah al-Mukminun, ayat 8).
Sebagai contoh, sekiranya Allah memberikan kita amanah keluasan rezeki berupa harta kekayaan, seringlah menderma atau berwakaf kepada badan-badan yang memerlukan seperti masjid, madrasah, rumah kebajikan, persatuan dan banyak lagi. Kalau Allah pinjamkan nikmat kesihatan, apakah yang kita lakukan untuk memelihara amanah tersebut? Pernahkah kita mengajak orang lain juga mengamalkan gaya hidup yang sihat agar terjaga ibadatnya dan kebajikannya? Sekaligus, kita membentuk sebuah masyarakat yang menepati sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Mukmin yang kuat (sihat) lebih disukai Allah, daripada Mukmin yang lemah”? (Hadis riwayat Imam Muslim).
Sidang Jumaat sekalian,
Islam menyeru kita menjadi insan yang bersyukur dan bertanggungjawab. Betul, kita wajib bersyukur apabila menerima sesuatu kebaikan. Namun, kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan sekadar menerima. Sebaliknya, sesuai dengan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w., kita sepatutnya memilih untuk menjadi pemangkin kebaikan dan penyumbang kesejahteraan.
Saudara, kita tidak perlu berada dalam persekitaran yang sempurna untuk berjasa dan menyumbang. Kerana ramai saudara seislam kita di merata dunia berjaya meninggalkan impak yang besar lagi positif, walaupun mereka juga hidup sebagai masyarakat minoriti. Sebagai contoh, masyarakat Islam di Brazil membentuk kurang daripada 1% jumlah penduduk, tetapi mereka telah menempah nama sebagai pengeksport daging halal terbesar di dunia. Begitu juga dengan masyarakat minoriti Muslim di Afrika Selatan, yang bekerjasama dengan penduduk tempatan menghentikan sistem aparteid [a.par.téid اڤرتيئيد] suatu masa dahulu. Kini, mereka berganding bahu, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, menyumbang kepada kepimpinan dan pembangunan tanah air.
Sidang jemaah sekalian,
Generasi terdahulu di sini juga telah menunjukkan rasa cinta mereka kepada tanah air menerusi sumbangan bermakna dalam pelbagai bidang. Kini, tiba giliran kita meneruskan perjalanan ini, menjadi anggota masyarakat yang memartabatkan identiti Muslim Singapura, melalui usaha yang positif dan proaktif. Marilah kita menadah tangan memohon panduan dari yang Maha Esa.
Ya Allah, Ya Rashid, bimbinglah kami dan generasi masa depan ke jalan yang diredai-Mu. Kurniakanlah kami kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran. Ya Rahman, Ya Rahim, jadikanlah kami orang-orang yang saling mengasihi sesama manusia sebagaimana Engkau mengasihi dan menyayangi hamba-hamba-Mu. Ya Allah, Ya Ghafur, ampunilah dosa-dosa kami di saat kami lupa mensyukuri nikmat-Mu. Ya Aziz, Ya Hakim, berikanlah kami kesempatan mengharumkan agama-Mu menerusi amalan-amalan soleh. Berkatilah kehidupan kami di dunia, dan anugerahi kami kejayaan di akhirat kelak. Amin. Amin ya Mujib as-Sa’ileen.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم.
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.