collections khutbah Menghidupkan Sifat Menghormati Perbezaan Pandangan 
Menghidupkan Sifat Menghormati Perbezaan Pandangan 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

3 Mac 2023 / 10 Syaaban 1444H


Menghidupkan Sifat Menghormati
Perbezaan Pandangan 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meneguhkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan menuruti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba Allah yang dicintai-Nya. Amin.

Saudara dan saudari,

Kepelbagaian dan perbezaan dalam menentukan suatu keputusan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Hatta dalam urusan agama seperti hukum hakam. Perbezaan pendapat tidak terkecuali. 

Jika kita telusuri khazanah keilmuan agama Islam, kita akan dapati banyak sekali perbezaan pandangan yang terjadi di kalangan para ulama. Malah perbezaan dan kerencaman pada hukum dan syariat Islam telah berlaku sejak zaman Rasulullah dan para sahabat. 


Sebagai mukmin kita harus akur bahawa perbezaan dan kerencaman adalah sebahagian dari lumrah kehidupan kita. Allah (s.w.t) berfirman dalam surah Hud ayat 118:

Maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Nabi Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”

Saudara dan saudari,

Mungkin ada di antara kita akan bertanya. Bagaimana boleh berlaku perselisihan walhal Al-Quran itu satu dan Nabi Muhammad (s.a.w) juga seorang sahaja?

Saudaraku, tidak dinafikan bahawa sumber utama hukum Islam adalah Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad (s.a.w). Akan tetapi, cara memahami teks-teks agama kemungkinan berbeza. Kerana para ulama mempunyai daya tanggapan, penafsiran dan penilaian yang berbeza. Ketangkasan atau kecerdasan berfikir seseorang itu banyak dipengaruhi oleh persekitaran, keperibadian, keperluan, adat dan budaya serta bermacam lagi sebab. Ini menyumbang kepada bagaimana seseorang menilai dan menanggapi sesuatu perkara.

Sebagai contoh, tatkala turunnya ayat ketiga dari surah al-Maidah yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Kebanyakan para sahabat pada ketika itu bergembira kerana merasa bangga dengan kesempurnaan yang telah diberikan oleh Allah. Namun Sayyiduna Umar al-Khattab (r.a) langsung tunduk menangis kesedihan. Beliau memahami bahawa ayat tersebut menandakan bahawa tugas Rasulullah (s.a.w) telah hampir selesai dan ajal Baginda semakin dekat.

Saudara dan saudari,

Dalam membincangkan soal ikhtilaf atau perbezaan, perbezaan pandangan seharusnya memperkayakan minda sebuah masyarakat dan merangsang kepada perkembangan intelek. Ini boleh membantu mengembangkan perspektif dan membuat kita melihat masalah atau sebuah isu dengan lebih luas dan mendalam demi pembangunan masyarakat. Sikap berlapang dada sepatutnya diterapkan dalam diri kita dan diri mereka yang berada di sekeliling kita. Apabila kita mengutarakan pendapat kita. Ataupun menyangkal pandangan seseorang, semua itu harus mencerminkan sifat terbuka dan berlapang dada.

Namun sayangnya, perkembangan intelek ini jarang berlaku. Malah adakalanya membawa kepada perpecahan serta perbalahan yang menghakis semangat perpaduan. Lebih buruk lagi apabila perbezaan pandangan menyumbang kepada permusuhan dan penindasan.

Mungkin masih segar di ingatan kita ketika pandemik COVID-19 berlaku, masyarakat dunia secara umumnya menjalani kehidupan dalam suatu fasa yang agak janggal dan asing. Kita di Singapura juga tidak terlepas dari membuat pelbagai penyesuaian hidup, termasuk dalam amalan keagamaan kita.

Dalam hal ibadah ketika pandemik, masjid-masjid terpaksa ditutup. Solat berjemaah didirikan secara berenggang-renggang. Solat Jumaat pada awalnya tidak diwajibkan dan kemudian pernah dicepatkan dari waktunya.

Keputusan ini semua dilakukan dengan dasar nas-nas serta dalil yang ada dalam tradisi ilmu Islam. Akan tetapi di kalangan masyarakat setempat, ada yang kurang senang dengan keputusan sedemikian. Lebih menyedihkan apabila terdapat komen-komen yang kurang elok dilemparkan di media sosial disebabkan pandangan yang tidak serasi serta pegangan yang taksub dalam suatu perkara.

Oleh itu, kita hendaklah berlapang dada apabila menghadapi suatu pandangan yang tidak serasi dengan pegangan kita. Sikap keterbukaan dan toleransi dalam berdepan dengan perbezaan adalah prinsip ulama terdahulu. Imam Syafie pernah menyatakan “Pendapat aku benar, tetapi kemungkinan mengandungi kesalahan. Pendapat orang lain kemungkinan mengandungi kebenaran”.

Semoga kita tergolong di antara hamba-hambanya yang sentiasa positif dan menghidupkan ciri-ciri murni pada setiap masa. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.