collections khutbah Memelihara Nilai Persaudaraan Sesama Manusia
Memelihara Nilai Persaudaraan Sesama Manusia

 

Khutbah Jumaat

26 April 2024 / 17 Syawal 1445H

Memelihara Nilai Persaudaraan Sesama Manusia

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mari kita terus berusaha mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t., dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan tegahan-Nya. Semoga Allah s.w.t. menggolongkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Saudaraku yang dikasihi,

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi:

النَّاسُ بَنُو آدَمَ، وآدَمُ خُلِقَ مِن تُرَابٍ

Yang bermaksud: “Manusia adalah anak-anak Adam, dan Adam dicipta dari tanah.

Itulah hakikat kita sebagai manusia. Tidak kira rupa, warna kulit, bangsa atau agama, kita semua adalah rumpun yang sama, walaupun tidak seragam. Mengapa Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya tentang asal-usul manusia? Ini kerana Islam mendidik kita akan prinsip kesamaan antara manusia. Kita dididik untuk berlaku adil sesama insan bahkan juga kepada seluruh makhluk ciptaan tuhan. Soalan seterusnya, bagaimana kita dapat mengukuhkan kebersamaan dalam meraikan perbezaan ini?

Saudaraku,

Jika kita singkap kembali sejarah Islam, Rasulullah s.a.w. meraikan kepelbagaian budaya dan tatasusila masyarakat di sekelilingnya. Baginda meraikan perbezaan gaya hidup kaum Ansar dan Muhajirin. Hasilnya, baginda memeterai sebuah perjanjian yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Ia bertujuan mewujudkan rasa kekitaan dan kebersamaan untuk hidup dengan aman damai sebagai sebuah masyarakat Madinah. Ia memupuk semangat persaudaraan yang saling membantu dan menjaga kemaslahatan umum.

 

 

Para jemaah sekalian,

Dalam suasana Syawal yang masih diraikan bersama, kita membuka pintu rumah menyambut kehadiran tetamu. Saudara-mara, sahabat-handai, jiran tetangga dan sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumah kita disambut dengan penuh keriangan dan keikhlasan. Secara tidak langsung kita sebenarnya sedang menghidupkan salah satu ajaran baginda s.a.w. agar kita menyantuni tetamu dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

مَن كَانَ يُؤمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الأَخِرِ فَليُكرِمْ ضَيفَهُ

Yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Allah s.w.t. tidak menciptakan manusia di dunia ini untuk hidup sendirian, kerana manusia secara lumrahnya adalah makhluk sosial. Kita berkeluarga, berjiran, berteman dan kita juga hidup bermasyarakat. Kita semua bersaudara, persaudaraan yang tidak mengenal batasan usia, jantina, kerakyatan dan sebagainya. Inilah nilai persaudaraan dalam Islam dan sekiranya ada contoh terdekat berhubung perkara ini, adalah bacaan Qunut Nazilah yang kita bacakan pada setiap Jumaat semenjak Oktober lalu hingga hari ini. Subhanallah! Tidakkah Islam itu indah? Apakah kita masih lagi ragu-ragu bahawa Islam mendidik kita nilai persaudaraan sesama manusia?

Saudaraku yang dikasihi,

Sepanjang beberapa minggu lalu, khutbah telah mengingatkan kita berkaitan kepentingan bermafaan-maafan, menghubung dan memelihara silaturahim sesama kita. Kita juga diingatkan untuk kekal istiqamah dalam menghidupkan nilai-nilai mulia yang pernah kita cernakan di sepanjang Ramadan. Segala usaha ini berupaya memupuk nilai kasih sayang dan persaudaraan sesama insan. 

Seorang Muslim yang mencintai Allah dan Rasulullah-Nya tidak sama sekali akan terdetik dalam hatinya untuk mengasari, memperlekeh, menzalimi atau menganiaya saudaranya. Beliau tidak akan dengan mudah melontarkan kata-kata kesat mahupun fitnah sesama sendiri, lebih-lebih lagi di media sosial. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencela, yang suka melaknat, yang suka mengeji, dan bukan pula orang yang kotor tutur katanya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi). Beliau juga tidak akan membiarkan saudaranya terlantar dalam kesempitan dan kesukaran. Sebaliknya, seorang mukmin adalah di antara orang yang terawal tampil menghulurkan bantuan dan pertolongan dengan penuh keikhlasan dan keihsanan. Begitulah peringatan dalam ayat yang sering dibacakan oleh para khatib pada setiap Jumaat:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (Surah Al-Nahl, ayat 90).

Saudaraku,

Ketahuilah bahawa perbezaan latar belakang, identiti bangsa dan sebagainya sebenarnya adalah peluang untuk kita saling mengenal, belajar dan meraih manfaat. Janganlah kita jadikan perbezaan identiti mahupun perselisihan pandangan menjadi punca robohnya kekitaan dan semangat kebersamaan yang yang kita nikmati selama ini.

Semoga Allah s.w.t. menggolongkan kita di kalangan hamba-Nya yang sentiasa mengajak kepada kebaikan dan keihsanan kepada semua manusia. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.