collections khutbah Dunia Amanah Pencipta Kepada Manusia
Dunia Amanah Pencipta Kepada Manusia

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 Mac 2021 / 12 Syaaban 1442H

Dunia Amanah Pencipta Kepada Manusia

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus menyuburkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan menjaga amanah yang diserahkan kepada kita oleh Allah, melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah mengurniakan kita kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Saudaraku,

Kehidupan dan dunia ini adalah satu amanah dari Sang Pencipta kepada manusia. Allah menyerahkan amanah ini kepada manusia kerana Dia yang mencipta dunia dan manusia. Allah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Dan Dia turut mengetahui akan kemampuan manusia dalam menjalankan amanah ini.

Di dalam surah Al-Hadid pada ayat pertama, Allah telah menceritakan tentang ciptaan langit dan bumi, dan segala yang terbit daripadanya. Allah tegaskan segala ini adalah milik-Nya. Kemudian, Allah menyeru kita pada ayat 7 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan infakkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada harta yang Dia telah menjadikan kamu sebagai penguasanya (amanah). Maka, orang-orang yang beriman antara kamu dan menginfakkan (hartanya di jalan Allah) memperoleh pahala yang besar.”

Ayat ini menekankan bahawa kita adalah pengamanah, bukan pemilik. Dan antara tujuan utama manusia dicipta ialah menguruskan amanah kehidupan dan alam ini. Apakah kita terlupa peristiwa ciptaan manusia? Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang berbunyi:

Yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi...”

Khalifah ialah pewaris dan pengamanah. Walaupun benar manusia berpotensi menyebabkan kebinasaan, sebagaimana hujjah para malaikat pada sambungan ayat tersebut. Tetapi Allah tegaskan: “Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Saudaraku,

Inilah peranan ketamadunan kita. Sebagai khalifah, kita mewarisi dan menerima amanah ini. Kita bertanggungjawab dalam menguruskan amanah ini dengan sebaiknya. Dan ini juga adalah makna beribadah kepada Allah, dan intipati bertakwa kepada Allah.

Ketika kita memelihara alam ini, kita menjalankan amanah ini serta melakukan ibadah kepada Allah. Dan kita bertakwa kepada Allah dalam kita menguruskan amanah ini. Kita ingin mewariskan alam yang dipinjamkan kepada kita kepada generasi seterusnya dalam keadaan terbaik. Inilah tanda syukur kita kepada Allah yang mengamanahkan kita. Dan inilah tanda ibadah dan takwa kita kepada Allah.

Kita insaf bahawa manusia dengan tamak dan halobanya, lalai dan terlupa, telah menyebabkan kebinasaan pada alam ini. Namun, kita juga beriman dengan hikmah Tuhan yang mencipta alam dan kita manusia. Tuhan mengetahui kita mampu menjalankan amanah ini. Allah tegaskan : “Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Kita lihat bagaimana anak-anak kecil dan remaja sendiri memahami kepentingan menjaga alam sekitar kita. Kerana ini adalah fitrah kita sebenarnya. Kita lihat gerakan menjaga alam yang didokong oleh remaja berhadapan dengan perubahan iklim. Sebagai orang dewasa, kita malu dan insaf. Kita seharusnya lebih bertanggungjawab dalam memelihara alam kita, demi memastikan kita mewariskan alam dan rumah yang bersih, selamat, sejahtera dan mencukupi untuk generasi-generasi seterusnya.

Saudaraku,

Antara amanah ini ialah air. Air adalah antara harta terpenting kehidupan. Air adalah sumber kehidupan. Segala yang hidup di alam ini memerlukan air. Tanpa air tiada lah kehidupan. Kurang atau tercemarnya air, akan binasalah kehidupan. Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud: “…dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal dari air; maka mengapa mereka tidak beriman?”

Dalam konteks kehidupan kita di Singapura, air adalah satu sumber yang amat penting dan terbatas. Menyedari keadaan saiz dan geografi Singapura, kita memahami kepentingan kita menjaga amanah air ini. Ini boleh dilakukan dengan dua perkara: Jimat dan Bersih.

Saudaraku,

Yang pertama: Jimat. Ia bermakna kita menggunakan air dengan wajar, dan tidak membazir. Setiap titis air adalah amanah. Setiap titis air yang kita lihat sedikit bila dikumpulkan adalah jumlah yang besar.

Apatah lagi jika setiap daripada kita membazirkan titisan air ini. Ketika kita berwudhu, jimat lah air yang diguna. Beribadah tidak bermakna kita tidak mengambil endah dalam menggunakan sumber alam.

Seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Nabi (s.a.w.) membasuh, atau mandi dengan satu sho’ hingga lima mud, dan berwudhu dengan satu mud.

Mud diibaratkan seperti segenggam tangan. Yang dimaksudkan di sini, Rasulullah tidak membazir dan hanya menggunakan secukupnya, walaupun dalam keadaan ada air yang banyak seperti di sungai yang mengalir.

Yang kedua: Bersih. Ia bermakna kita mengelakkan pencemaran pada air. Ini termasuk air di laut, sungai, longkang, dan seterusnya. Kita tidak membuang sampah seperti plastik, sampah sarap, bahan-bahan kimia, dan seumpamanya ke sungai dan longkang, yang kemudian mengalir ke laut. Kerana ini akan menyebabkan kemudaratan besar kepada kehidupan. Kita tahu kepentingan air. Tetapi, kita tidak menjaga kebersihan dan memastikan kesinambungan air yang bersih untuk kehidupan ciptaan Allah: kehidupan binatang, tumbuh-tumbuhan, dan manusia.

Ayuh, marilah sama-sama kita menjaga amanah ini, sebagai Khalifah di muka bumi Allah. Kita memelihara alam daripada segala bentuk pencemaran. Kita menjaga kesinambungan kehidupan yang bersih dan cukup. Kita mewariskan alam yang lebih baik dan sejahtera untuk generasi-generasi seterusnya, agar mereka juga boleh terus hidup sebagai hamba Allah yang sentiasa bersyukur, dan menjalani kehidupan ini sebagai hamba Allah dan Khalifah, demi kesejahteraan kehidupan di dunia dan Akhirat.

Semoga Allah (s.w.t.) memberkati segala usaha kita serta menjadikan kita seorang insan yang bertanggungjawab. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.