collections khutbah Doa Nabi Yunus: Adab meminta
Doa Nabi Yunus: Adab meminta

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

4 November 2022 / 9 Rabiulakhir 1444H

Doa Nabi Yunus: Adab meminta

 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Sebagai hamba yang lemah, kita sentiasa memerlukan pertolongan Allah (s.w.t). Pastinya, kita juga mempunyai hajat yang kita harap bakal diperkenankan Allah (s.w.t.). Tetapi bagaimana agaknya cara untuk kita meminta segala keperluan kita daripada-Nya? Apakah adab-adab dan tata tertib berdoa?

Dari itu, khutbah pada bulan ini akan berusaha memberi penumpuan kepada kepentingan berdoa. Lebih khusus lagi mengupas makna serta hikmah di sebalik doa-doa para Anbiya (a.s) di dalam Al-Quran. Semoga kita dapat memperkasakan diri kita dengan contoh-contoh yang diberikan.

Saudara dan saudari,

Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah Al-Anbiya’, ayat ke 87:

 

Yang bermaksud “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cobaan; (maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".

Ayat tersebut mengisahkan tentang kisah Nabi Yunus (a.s), ketika beliau terperangkap di dalam perut ikan paus. Namun, Nabi Yunus (a.s) tidak sedikit pun berputus asa dengan rahmat Allah (s.w.t). Beliau tetap bersangka baik, bahawa Allah (s.w.t) akan menyelamatkannya. Beliau tetap terus memuji Allah (s.w.t) dan mengharap hanya kepada-Nya. Begitulah pengajaran yang kita harus contohi dalam kita berdoa.

Saudaraku,

Perhatikan adab Nabi Yunus (a.s.) ketika beliau ingin meminta sesuatu daripada Allah (s.w.t). Doanya dimulai dengan penuh rasa kehambaan kepada Sang Pencipta. Beliau berdoa dengan memuji keesaan dan kesucian Allah (s.w.t). Dan seterusnya diikuti dengan menyedari dan mengakui kelemahan diri sendiri. Maka doanya dikabulkan Tuhan, lalu dikeluarkan dari perut ikan paus.

Saudara dan saudari,

Allah (s.w.t) sentiasa sedia untuk menerima serta memperkenankan doa-doa. Akan tetapi terdapat tatatertib dan panduan yang perlu dituruti. Seperti Nabi Yunus (a.s), menzahirkan rasa kehambaan kita kepada-Nya dan juga sentiasa bersangka baik dengan Allah (s.w.t). Dua perkara ini, merupakan antara perkara yang terpenting yang perlu diperhatikan di ketika berdoa. Berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, 

عَنْ أَنَسٍ‏:‏ كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، فَدَعَا رَجُلٌ فَقَالَ‏:‏ يَا بَدِيعَ السَّمَاوَاتِ، يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ، إِنِّي أَسْأَلُكَ‏.‏ فَقَالَ‏:‏ أَتَدْرُونَ بِمَا دَعَا‏؟‏ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، دَعَا اللَّهَ بِاسْمِهِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ‏.‏

Yang bermaksud: “Daripada Anas (dia berkata): Aku bersama Nabi (s.a.w) lalu ada seseorang berdoa: “Wahai Pencipta langit dan bumi, wahai yang Maha Hidup yang Maha Berdiri dengan sendiri, sesungguhnya aku memohon.” Lalu Baginda berkata: “Kamu tahu dengan apa dia berdoa? Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, dia telah berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-Nya yang apabila disebut, Dia pasti mengabulkan doanya.”.

Lihat bagaimana Rasulullah (s.a.w) memulakan doa dengan menyebut nama-nama suci-Nya. Dengan memuji Tuhan serta menzahirkan kehambaan. 

Setelah menzahirkan penghambaan, faktor yang penting dalam berdoa adalah untuk sentiasa bersangka baik dengan Tuhan. Kerana tiada doa yang dipanjatkan, melainkan Tuhan mendengarnya. Kerana Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. 

Akan tetapi, bila doa itu akan dikabulkan, ia merupakan ketetapan Tuhan. Segala ketetapan Tuhan, terkandung padanya hikmah dan kebaikan. Sekiranya Dia memberi, di situ ada kebaikan. Sekiranya nikmat terhalang seketika, ataupun ditimpa musibah dan ujian, di situ ada kebaikannya. Marilah sama-sama kita terus berdoa dan berharap kepada Allah (s.w.t) dengan menyebut nama-nama suci-Nya. Semoga Allah (s.w.t) memperkenankan doa-doa kita. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudara dan saudari,

Di samping kita berdoa kepada Allah (s.w.t) supaya Allah mengabulkan hajat kita, kita juga boleh berikhtiyar dengan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Mungkin dengan bantuan yang kita hulurkan, ia menjadi sebab bagi Allah mengabulkan doa kita. Sebagai contoh, membantu mereka yang sakit serta memerlukan bantuan. 

Bulan ini, organisasi “Bone Marrow Donor Programme” akan menjalankan kempen di seluruh negara yang dinamakan “Match for Life” untuk meningkatkan kesedaran tentang pendermaan sumsum tulang dan menggalakkan lebih ramai penderma sumsum.

Pendermaan sumsum ini diperlukan bagi mereka yang menghidap penyakit berkaitan darah di mana sumsum tulang mereka gagal berfungsi. Bagi sesetengah orang, ia boleh mengancam nyawa. Dari itu, pemindahan sumsum tulang merupakan jalan ikhtiyar untuk menjamin kesihatannya.

Apakah usaha yang boleh kita lakukan?

Jika kita tidak mampu untuk menderma, sekurang-kurangnya, apa yang boleh kita lakukan adalah dengan sertai pergerakan dan sebarkan maklumat, serta memberi harapan kepada mereka. Semoga dengan bantuan yang kita hulurkan, Allah (s.w.t) memperkenankan doa-doa kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.