collections khutbah Doa Nabi Adam: Mengakui Kesilapan Kita
Doa Nabi Adam: Mengakui Kesilapan Kita

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

25 November 2022 / 30 Rabiulakhir 1444H

  
Doa Nabi Adam: Mengakui Kesilapan Kita

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan menuruti segala perintah-Nya, dan menghindari segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Sejajar dengan tema khutbah pada bulan ini berkenaan doa para Anbiya’, mimbar ingin mengajak para hadirin untuk merenung satu lagi doa yang terakam di dalam Al-Quran. Firman Allah (s.w.t) di dalam surah Al A’raf ayat 23:

Yang bermaksud: “Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami akan digolongkan dengan orang-orang yang rugi.

Ayat yang baru dibacakan tadi sebenarnya adalah ungkapan doa Nabi Adam (a.s) dan isterinya, Sayyidatuna Hawa (a.s). Tatkala Allah (s.w.t) menegur keduanya kerana melanggar perintah Allah (s.w.t.), dengan memakan buah dari pohon yang dilarang. Nabi Adam dan isterinya sedar akan kesilapan mereka dan berasa amat kesal. Lantas mereka terus memohon keampunan dari Allah (s.w.t) dengan ungkapan doa yang dibacakan tadi.

Saudara dan saudari,

Jika kita amati doa Nabi Adam tersebut, kita akan dapati beberapa pelajaran penting yang cukup bermakna untuk kita sebagai hamba Allah (s.w.t).

Pertama: Tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan ini kita tidak lekang daripada melakukan kesalahan dan keterlanjuran. Sebagai manusia, kita diciptakan dengan kelemahan dan kekurangan. Disebabkan kelemahan tersebut, adakalanya kita lalai sehingga mengikuti kehendak nafsu dan melanggar perintah Allah (s.w.t). Meskipun begitu, kita tidak seharusnya berputus asa dengan rahmat Allah (s.w.t) setiap kali kita melakukan kesilapan.

Perkara ini pernah disabdakan Nabi (s.a.w) dalam sebuah hadis:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وخَيْرُ الخَطّائِينَ التَّوَّابُونَ

Semua anak Adam seringkali melakukan kesalahan. Dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat” [Hadis riwayat Ibn Majah]

Oleh itu, dalam usaha kita untuk bertaubat, Al-Quran telah mengajar kita doa yang boleh diamalkan bagi meraih keampunan Allah. Doa Nabi Adam sangat sesuai untuk dijadikan contoh doa terbaik dan yang sangat praktikal untuk kita amalkan dalam kehidupan.

Kedua: Jika kita amati dengan lebih mendalam isikandung doa tersebut, kita akan mendapati bahawa taubatnya Nabi Adam (a.s) diiringi dengan pengakuan di atas kesilapannya dan perasaan menyesal atas perbuatannya.

Di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali menyatakan tiga syarat utama yang perlu diperhatikan seorang hamba, agar taubatnya diterima Allah (s.w.t).

Pertama, terdapat kesedaran tentang perbuatan salah atau dosa yang dilakukan. Kedua, kesedaran tersebut diiringi dengan penyesalan di atas perbuatan dosanya. Dan yang ketiga, hamba yang bertaubat tersebut berazam untuk tidak mengulangi kesalahannya itu. Inilah maksud taubat yang sebenar-benarnya. Iaitu apabila seorang hamba dengan rendah diri kembali kepada Allah (s.w.t) setelah lalai dalam keterlanjurannya.

Saudara dan saudari,

Taubat bukan sekadar permohonan ampun kepada Allah ataupun proses penyucian jiwa sahaja. Tetapi ia adalah kunci bagi seorang hamba mendapatkan keredaan Allah serta kasih sayang-Nya.

Oleh itu, janganlah sesekali kita merasakan bahawa kita tidak layak menerima pengampunan dari Allah disebabkan dosa-dosa lalu. Ketahuilah bahawa pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang mendambakan keampunan Allah (s.w.t). Pada masa yang sama, dalam kita berusaha mencari pengampunan Allah, usahakanlah untuk menghidupkan sikap pengampun dalam diri kita. Tanamkan sifat berbesar hati dalam memberi kemaafan kepada orang lain. Khususnya mereka yang pernah menyakiti atau melakukan kesalahan kepada kita.

Kerana sifat mulia ini akan menjadikan kita orang yang lebih tenang dan tidak terganggu fikiran serta emosi. Semoga dengan kesediaan kita untuk memaafkan orang lain, menjadi penyebab kita sentiasa juga mendapat rahmat Allah (s.w.t.).

Kita berdoa agar Allah terus memberikan pengampunan-Nya kepada kita, serta menggolongkan kita dari kalangan yang dikurniakan rasa cinta untuk menambahkan amalan, demi mendekatkan diri kita kepada syurgaNya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.