collections khutbah Ciri-Ciri Mukmin Sejati: Berilmu dan Beramal Kerana Allah
Ciri-Ciri Mukmin Sejati: Berilmu dan Beramal Kerana Allah

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

7 Februari 2025 / 8 Syaaban 1446H

Ciri-Ciri Mukmin Sejati:

Berilmu dan Beramal Kerana Allah

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taqwa. Semoga kehidupan kita di dunia dan di akhirat dikurniakan kejayaan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jemaah yang budiman,

Sila berikan perhatian kepada ayat berikut, dan cuba fikirkan, apakah kaitan antara ilmu dan amalan?

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Muhammad, ayat ke-19:

Yang bermaksud: “Maka tetapkanlah pengetahuanmu (wahai Muhammad), bahawa tiada Tuhan (yang patut disembah) melainkan Allah. Dan mintalah keampunan bagi kesilapanmu, dan bagi (kesilapan) orang-orang yang beriman daripada kalangan lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui gerak-geri kamu (di dunia) dan tempatmu (di akhirat kelak).”

Allah s.w.t. memulakan ayat ini dengan perintah-Nya "فَاعْلَمْ", bererti “tetapkanlah pengetahuanmu”, yakni dengan berpaksikan ilmu yang sahih, sebelum Allah melanjutkan dengan lafaz "لَا اِلهَ إِلَّا الله", dan perintah untuk beristighfar.

Menurut para ulama seperti Sufyan Ibn Uyainah r.a., ayat ini mengisyaratkan bahawa perintah supaya berilmu mendahului perintah untuk beramal. Dalam erti kata lain, kita perlu mencari dan mempunyai ilmu, supaya dapat digunakan ilmu itu untuk beramal dengan tujuan dan cara yang betul.

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,

Ramadan semakin menghampiri, dan semangat kita untuk beramal dan melakukan ketaatan kian terasa. Teruskanlah azam ini saudaraku, selagi mana ia berpaksi pada ilmu yang sahih, supaya ia memberikan kesan baik dan menambah nilai pada amalan kita.

Sebaliknya, beramal tanpa landasan ilmu yang betul boleh membawa kepada penyimpangan. Jika ia tidak disedari dan diperbetulkan, kesilapan tersebut akan berlarutan. Contohnya, menyalahgunakan nas agama untuk mengubah hukum syariat, meremehkan kewajipan solat lima waktu, memberi penafsiran hakikat huruf-huruf di dalam Al-Quran mengikut takwilan bebas tanpa kaedah tafsir muktabar, atau mendakwa menerima arahan secara langsung daripada Allah.

Diayah seperti ini telah pun wujud di kalangan segelintir anggota masyarakat kita. Yakinlah, amalan yang tidak bersandarkan pada ilmu yang betul boleh menyebabkan penyelewengan akidah dan pelanggaran syariat Islam. Sekaligus meluputkan tujuan asal beramal, iaitu hanya kerana Allah.

Pada masa yang sama, sekiranya kita sudah mempelajari sesuatu ilmu, pastikanlah bahawa ilmu itu diamalkan.

Rugi, saudaraku, sekiranya sesuatu ilmu yang bermanfaat menurut kacamata syarak, tidak segera diamalkan. Contohnya, kita tahu tentang keutamaan bersedekah, tetapi kita tidak bersedekah walau berkemampuan. Kita tahu tentang pahala membaca Al-Quran, tetapi masih terasa berat untuk menyemak dan terus memperbaiki bacaan kita.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Perhatikan perkara-perkara berikut yang menekankan hubungan rapat antara ilmu dan amal bagi orang yang beriman:

Pertama: Menuntut ilmu yang bermanfaat menjadi kewajipan bagi setiap Muslim.

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sepotong hadis riwayat Ibn Majah yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah fardu (yakni menjadi satu kewajiban) atas setiap Muslim. Setiap makhluk berdoa meminta keampunan bagi penuntut ilmu, termasuk ikan paus yang berada di lautan.”

Ayuh, kita bermuhasabah seketika. Adakah pengetahuan kita berkembang saban hari dan tahun? Atau ilmu agama yang kita miliki hari ini sama sahaja dengan apa yang kita pelajari suatu masa dahulu, tanpa peningkatan? Bagaimana pula dengan ibadah kita, apakah terdapat kemajuan dari segi pemahaman dan penghayatan? Penghayatan sebenar dalam ibadah hanya boleh dicapai jika ada peningkatan ilmu.

Saudaraku, usahlah kita mengabaikan tuntutan menuntut ilmu, atau menganggap bahawa ia terhad kepada batasan usia tertentu. Malah, sebagai orang yang beriman, kita beruntung kerana setiap perjalanan menimba ilmu itu dianggap sebagai ibadah, sehinggakan ia diiringi doa oleh makhluk ciptaan Allah.

Kedua: Setiap ilmu yang bermanfaat perlu diamalkan.

Ulama silam mengumpamakan: “Amal itu adalah tujuan ilmu. Jika bukan kerana tujuan beramal, maka tidak dituntut supaya berilmu.

Cuba kita renungkan ilmu yang kita telah pelajari berbanding amalan yang kita lakukan. Barangkali, banyak yang kita sudah pelajari, khususnya dalam ilmu agama, tetapi kerana sebab-sebab tertentu, ada di antara ilmu tersebut yang masih belum dapat kita amalkan secara berterusan.

Ketiga: Jauhi kejahilan dan amalan tanpa asas ilmu yang sahih.

Pastikan setiap amalan yang kita lakukan bersandarkan ilmu yang benar. Bertekadlah untuk mencari ilmu di samping memperbanyakkan amalan. Hanya dengan ilmu, dapat kita pastikan, bahawa ibadah yang kita lakukan sesuai dengan perintah Tuhan.

Sidang Mukminin rahimakumullah,

Sebagai rumusan, tuntutlah ilmu yang memanfaatkan diri, amalkanlah ilmu yang sudah dipelajari, dan landaskanlah setiap amalan dengan ilmu yang hakiki.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita semua petunjuk supaya dapat beribadah dengan ikhlas dan lebih sempurna, dan semoga setiap amalan dan usaha kita diterima oleh-Nya. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ارْحَمْنَا وَارْحَمْ وَالِدِينَـا وَارْحَمْ أُمَّةَ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ وُلَاةَ أُمُوْرِنَا، وَوَفِّقْهُمْ لِمَا فِيْهِ صَلَاحُ الأُمَّةِ أَجْمَعِينَ. اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا، وَارْفَعْ مَقْتَكَ وَغَضَبَكَ عَنَّا، وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ وَلَا يَرْحَمُنَا، وَحَوِّلْ حَالَنَا إِلَى أَحْسَنِ الْأَحْوَالِ، وَفَرِّجْ مَا نَزَلَ بِنَا مِنَ الْأَهْوَالِ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ هَذَا البَلَدَ وَسَائِرَ البِلَادِ عَامَّةً آمِناً مُطْمَئِناًّ سَخَاءً رَخَاءً بِقُدْرَتِكَ يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّةَ وَفِي فِلِسْطِينَ، وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.