Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
27 September 2024 / 23 Rabiul Awal 1446H
Cerminan Sunnah Dalam Kehidupan Bermasyarakat
الحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ، الَّذِي بَعَثَ مُحَمَّدًا بَشِيرًا وَنَذِيرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيرًا، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّم عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ، صَلَاةً وَسَلَامًا دَائِمَيْنِ مُتَلَازِمَيْنِ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ، أُوصِي نَفْسِي وَإِيَّاكُم بِتَقوَى اللهِ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.
Ma’asyiral Muslimin wa Zumratal Mu’minin Rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Pertingkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t. dengan mencontohi akhlak dan keperibadian mulia baginda Nabi Muhammad s.a.w. Yang demikian itu adalah sunnahnya, dan sunnah Rasulullah ini adalah panduan dan motivasi bagi kita mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin.
Saudaraku yang dikasihi,
Khutbah sepanjang bulan ini berkisarkan kehidupan dan keperibadian Rasulullah s.a.w. Hari ini, mimbar akan menutup tirai bulan Maulidurrasul dengan berkongsi panduan baginda s.a.w. dalam membina masyarakat yang berakhlak mulia.
Hadirin sekalian,
Nabi s.a.w. bukan sahaja seorang nabi dan rasul, tetapi baginda juga adalah seorang pemimpin keluarga dan masyarakat. Pengaruh baginda s.a.w. melepasi batasan peranannya sebagai pembimbing rohani; baginda adalah tokoh penyatuan masyarakat, pemimpin yang berakhlak mulia, penyayang dan pejuang keadilan. Rasulullah s.a.w. menjadi cerminan kehidupan berintegriti, dihiasi dengan keihsanan, dan bakti kepada yang lain. Ini antara interpretasi “rahmat” yang terkandung dalam firman Allah:
Yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad s.a.w.) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam." (Surah Al-Anbiya’, ayat 107)
Rahmat ini pula tidak terbatas kepada kumpulan atau bangsa tertentu, tetapi meliputi segenap makhluk Allah s.w.t.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam arena pembentukan hubungan sosial yang positif, nabi s.a.w. menganjurkan keutamaan membina masyarakat yang bekerjasama dalam kebaikan. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang mempunyai kelebihan bekalan (makanan), hendaklah dia memberikan kepada mereka yang tidak mempunyai bekalan.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawa sebagai anggota masyarakat, kita perlu saling menyokong dan memberikan motivasi. Masyarakat yang berjaya memerlukan usaha kolektif, yang saling menyokong antara satu sama lain. Setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam membina masyarakat yang lebih baik. Dengan bekerjasama dan berkongsi kekuatan, kita menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang kental dan penyayang. Setiap inisiatif positif kita adalah penting dalam mewujudkan masyarakat yang mencerminkan nilai dan aspirasi kita, sesuai dengan tuntutan Islam.
Sehubungan dengan itu, adalah wajar kita ajukan soalan berikut pada diri sendiri sebagai cerminan iman. Bilakah kali terakhir kita bekerjasama dalam kebaikan bersama orang-orang di sekeliling kita? Dan sekiranya usaha ini pernah dilakukan, mungkin perlu juga bertanya sama ada kita pernah mengajak ahli keluarga, rakan taulan melakukan yang sama. Dan sekiranya jawapannya juga “Ya”, syabas! Kerana kita telah melahirkan semangat bekerjasama sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
Saudaraku,
Izinkan saya mengongsikan tiga (3) panduan sunnah berhubung dengan topik khutbah hari ini, iaitu ‘Cerminan Sunnah Dalam Kehidupan Bermasyarakat’:
Pertama: Akhlak mulia Rasulullah s.a.w. menjadi pegangan hidup kita. Kita harus menunjukkan contoh tauladan yang baik. Tingkah laku kita menjadi cerminan ajaran Islam yang sebenar. Kerana sesungguhnya usaha dakwah yang terbaik adalah menerusi akhlak dan tingkah laku.
Dalam ketegasan dan keteguhan prinsip, kita juga perlu berlemah lembut, berhemah dan bersabar ketika berurusan dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira batasan bangsa, usia atau agama. Kita, umat Nabi Muhammad s.a.w. wajar menjadi inspirasi kepada sesuatu yang positif. Kelakonan negatif dalam bermasyarakat seperti memperkecil, memperlekeh dan sebagainya bukanlah pakaian kita, bukanlah pakaian orang yang beriman.
Seorang sahabat nabi bernama Abu Musa al-Ash'ari r.a. menceritakan bahawa baginda nabi s.a.w. selalu berpesan kepada para sahabatnya apabila menghantar mereka untuk sesuatu misi yang bermaksud: "Berilah khabar gembira dan jangan menjauhkan orang (daripada agama). Permudahkanlah, dan jangan menyulitkan." (Hadis riwayat Imam Muslim).
Kedua: Menghidupkan budaya saling menghormati dan bekerjasama. Sebagai seorang muslim, kita sebenarnya berada di barisan hadapan dalam membudayakan nilai-nilai kemasyarakatan yang menepati sunnah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. terkenal dengan sikap pedulinya terhadap kehidupan orang lain. Sewaktu usia muda, baginda menyertai usaha masyarakatnya di dalam membela golongan yang ditindas dan dizalimi. Baginda s.a.w. jugalah yang selalu mengingatkan bahawa semua manusia di sisi Allah adalah sama kecuali mereka yang bertakwa.
Saudaraku yang dikasihi,
Ketiga dan terakhir: Menghayati peranan kita sebagai umat Rasulullah s.a.w. Setiap perkataan yang dituturkan, dan tingkah laku kita mencerminkan sejauh mana kita mengenali dan menjiwai ajaran Islam. Oleh itu, marilah dengan penuh tawaduk dan insaf, marilah bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat yang mencerminkan ajaran Islam sebenar.
Seorang muslim bukan sekadar memenuhi kewajipan rohaninya. Dia adalah seorang yang mengharungi kehidupannya tanpa perlu menyisihkan dirinya. Malahan, dia turut menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada semua. Dia menyumbang kepada pembangunan masyarakat, terutama kepada mereka yang dibelenggu kedaifan dengan memberikan sokongan moral dan psikologi (sekiranya berkemahiran), mahupun bantuan kewangan. Mudah-mudahan usaha tersebut dapat meringankan beban tekanan dalam mengharungi kehidupan yang mencabar hari ini.
Sidang hadirin,
Sebagai penutup, dan bersempena dengan bulan Maulidurrasul yang bakal pergi, saya mengakhiri khutbah hari ini dengan sepotong hadis yang menggambarkan sifat sayang dan rahmat Rasulullah s.a.w. kepada kita. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban. Sayyidatina Aisha r.a. pernah mendengar doa nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ya Allah, ampunkanlah bagi Aisha setiap dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang, yang dilakukan secara terang-terangan mahupun yang disembunyikan, yang besar mahupun yang kecil.” Mendengar doa itu, Sayyidatina Aisha r.a. berasa sangat gembira. Nabi s.a.w. pun berkata: “Adakah kau gembira mendengar doaku tadi itu, wahai Aisha? Ketahuilah, itulah doaku untuk umatku pada setiap solat.”
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.