Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
6 September 2024 / 2 Rabiul Awal 1446H
Cerminan Sunnah Dalam Kehidupan Berkeluarga
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sekalian hadirin, marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Kita perhalusi amalan harian dengan berpandukan al-Quran. Kita teladani praktis takwa menerusi kehidupan Rasulullah s.a.w., khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.
Saudaraku,
Hari ini tanggal 2 Rabiul Awal 1446H. Sepanjang bulan ini, khutbah Jumaat akan mengundang sidang jemaah menghayati kehidupan Rasulullah s.a.w. dari pelbagai perspektif, kerana pada diri baginda terdapat tauladan buat kita semua. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:
Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, pada diri Rasulullah itu ada contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta banyak menyebut dan mengingati Allah.”
Benar, terlalu banyak contoh positif yang boleh kita garap dari penghayatan sirah Rasulullah s.a.w. Memadailah untuk kali ini kita berikan tumpuan pada mencontohi sunnah baginda dalam menyantuni keluarga, kerana terdapat banyak isyarat yang menunjukkan sifat rahmat dan kasih sayang begitu menyerlah di dalam keluarga baginda.
Saudaraku yang dikasihi,
Izinkan khatib berkongsi tiga aspek kehidupan Rasulullah yang boleh diterapkan dalam keluarga kita:
Pertama: Kemesraan Rasulullah s.a.w. bersama keluarga. Baginda bukan sahaja melayani keluarganya dengan baik, tetapi juga menunjukkan kasih sayang dalam apa jua keadaan. Sayyidatina Aisyah r.a. pernah meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w. bersandar di pangkuanku ketika aku sedang dalam keadaan haid, lalu baginda membaca al-Quran." (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari).
Begitu mesra layanan Rasulullah s.a.w. terhadap isterinya. Kemesraannya tidak hilang walaupun isterinya berkeuzuran untuk melakukan ibadah. Rasulullah s.a.w. tetap melibatkannya bersama dan memberikannya perhatian. Begitulah sifat kasih sayang antara suami-isteri yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Bagi yang bergelar suami, ini adalah peluang anda menggayakan sunnah nabi dan sekaligus menjadi suami mithali.
Kedua: Rahmat dan kelembutan. Rasulullah s.a.w. juga terkenal dengan sifat rahmat dan kelembutan, terutama terhadap golongan muda. Baginda tidak marah atau cepat menghukum ketika berhadapan dengan suatu situasi. Sebaliknya beliau sentiasa menunjukkan sifat rahmat.
Seorang sahabat bernama Anas ibn Malik r.a. diserahkan oleh ibunya kepada Rasulullah s.a.w. sebagai pembantu ketika berusia hanya 10 tahun. Setelah meningkat dewasa, beliau pernah berkata: “Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w. selama sepuluh tahun. Baginda tidak pernah berkata kepadaku, ‘Uff’ (sebagai tanda tidak suka), dan tidak pernah mempersoalkan tentang sesuatu yang aku lakukan (dengan berkata), ‘Mengapa engkau lakukan itu?’ atau sesuatu yang aku tidak lakukan (dengan berkata), ‘Mengapa engkau tidak lakukan itu?’” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari).
Sekali lagi, Rasulullah s.a.w. menunjukkan cara menyemai sifat rahmat dan berlembut dalam keluarga, meskipun Anas bin Malik hanya seorang pembantu. Kita perlu berusaha melayani keluarga dengan sebaiknya. Berikanlah mereka kepercayaan. Pupuklah keyakinan diri mereka. Jangan biarkan emosi dan sifat terburu-buru menguasai penilaian kita. Bagi yang bergelar bapa, yang lebih dewasa dan golongan senior, inilah peluang anda menjadi contoh keperibadian Muslim yang baik untuk generasi muda.
Ketiga: Menghormati golongan tua. Rasulullah s.a.w. menjadi yatim seawal enam tahun. Baginda begitu menghargai kasih sayang ahli keluarga yang menjaganya dan mengasuhnya. Antaranya, bapa saudara baginda Abu Talib. Rasulullah s.a.w. sedar bahawa bapa saudaranya ini banyak berjasa kepadanya. Sekalipun Abu Talib tidak melafazkan kalimah syahadah sehingga akhir hayatnya, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menjadikan itu sebab untuk baginda mengangkat suara, membantah, atau berhenti menghormati bapa saudaranya itu.
Jelaslah, sikap yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. ini selari dengan sabdanya yang bermaksud: “Barang siapa yang berbuat baik kepadamu, maka balaslah (setimpal dengan perbuatan tersebut).” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).
Bagi generasi muda, inilah peluang anda menyantuni mereka yang lebih berusia. Ketepikan keegoan sekiranya anda berselisih pandangan. Sebaliknya, pandanglah mereka yang lebih dewasa dengan pandangan hormat dan kasih sayang.
Para jemaah yang dihormati,
Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan bahawa keluarga adalah salah satu sumber motivasi untuk kita berusaha bagi memperolehi keredaan Allah s.w.t. Semoga setiap kebaikan yang kita lakukan terhadap keluarga menjadi langkah kecil kita memenuhi sunnah Baginda s.a.w.
Bersempena dengan bulan Maulidurrasul, minbar akan mengakhiri khutbah dengan sepotong hadis riwayat Imam Ahmad untuk renungan bersama. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Akan dikatakan kepada para pembaca al-Quran (di hari akhirat kelak): ‘Bacalah al-Quran dan terus mendaki (ke tingkatan-tingkatan syurga), dan perindahkanlah bacaanmu sebagaimana kamu memperindah bacaanmu ketika hidup di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu (di akhirat) adalah berdasarkan ayat terakhir yang kamu baca.’”
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.