collections khutbah Berbelas Kasihan Terhadap Orang Yang Kita Sayangi
Berbelas Kasihan Terhadap Orang Yang Kita Sayangi

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

17 Jun 2022 / 17 Zulkaedah 1443H


Berbelas Kasihan Terhadap Orang Yang Kita Sayangi

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Islam adalah agama yang menggalakkan sifat belas kasihan kepada semua. Kerana Tuhan yang menciptakan alam ini bersifat al-Rahman dan al-Rahim. Sebagai orang yang beriman, penting bagi kita untuk mencontohi dan menzahirkan nilai ini. Iaitu bersikap baik, lemah lembut dan empati terhadap orang di sekeliling kita.

Sehubungan itu, wajar untuk kita merujuk kepada individu yang diutuskan sebagai contoh terbaik untuk kita semua. Itulah junjungan kita Nabi Muhammad (s.a.w.). Seperti yang disebut dalam Al-Quran:

Yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Nabi (s.a.w.) adalah lambang rahmah, kerana Baginda bersikap baik dan berlemah lembut pada perlakuannya terhadap semua di sekelilingnya. Terhadap rakan dan taulan, begitu juga terhadap mereka yang bermusuhan dengan Baginda. Kekasaran dibalasi dengan kebaikan. Permusuhan dibalasi dengan adab dan budi pekerti yang tinggi.

Saudara dan saudari,

Satu aspek pada akhlak Rasulullah (s.a.w.) yang patut dicontohi adalah perlakuannya terhadap ahli keluarganya. Sekiranya terhadap mereka yang bukan terdiri daripada ahli keluarga Baginda, beliau akan berbelas kasihan, apatah lagi terhadap ahli keluarganya.

Baginda mengajar kita bahawa perkara yang paling dasar dalam perhubungan antara keluarga adalah komunikasi. Sebagai contoh, segala keprihatinan serta maklumbalas, seharusnya disampaikan dengan cara yang aman dan hormat. Malangnya, hari ini kita melihat kes-kes perbalahan antara ahli keluarga yang berlaku. Sebahagian besarnya disebabkan oleh kurang kemahiran dalam berkomunikasi antara anggota keluarga.

Saudara dan saudari,

Antara isu yang ingin saya sentuh pada kesempatan ini, berkaitan keganasan domestik yang berlaku di dalam keluarga.

Kadangkala berlaku keganasan secara fizikal. Adapula penderaan yang bukan sahaja berlaku secara fizikal, akan tetapi ia berlaku melalui kata-kata dan sikap. Tidak dapat kita nafikan, bahawa kadangkala kata-kata itu lebih menyakitkan daripada pukulan secara fizikal. Kerana luka di hati tidak dapat dilihat, meninggalkan kesan pada perasan dan tekanan pada jiwa, sehingga mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Saudara dan saudari,

Perhatikan bagaimana Nabi kita (s.a.w.) berinteraksi dengan keluarganya. Diriwayatkan bahawa Nabi (s.a.w.) tidak pernah memukul wanita atau pembantu dalam rumah tangganya. [Hadis riwayat Ibnu Majah].

Bahkan bukan sahaja Nabi Muhammad (s.a.w.). Sifat penyayang terhadap ahli keluarga merupakan satu ciri yang dicontohi oleh semua para anbiya’, seperti yang dikisahkan sebahagiannya di dalam al-Quran. Lihat sahaja kepada kisah Nabi Ibrahim (a.s.). Bagaimana beliau mengucapkan kata-kata yang baik dan lembut walaupun diancam oleh bapanya. Dalam kisah Nabi Yusuf (a.s.) pula, kita melihat beliau bertindak dengan penuh hormat dan penuh belas kasihan terhadap adik-beradiknya yang telah menyakitinya.

Segalanya merupakan pengajaran buat kita bagaimana seharusnya setiap individu mukmin ini melayani ahli keluarga. Tiada ajaran di dalam agama ini, saya ulangi, tiada ajaran di dalam agama ini, yang membenarkan segala jenis keganasan dalam keluarga.

Pasti kita suka dilayani dengan penuh hormat dan kasih sayang oleh ahli keluarga kita. Begitulah juga, mereka mengharapkan kasih sayang dan sikap rahmah dari kita.

Semoga Allah (s.w.t.) membimbing kita untuk menjadi ahli keluarga yang baik yang menyebarkan kasih sayang, rahmat dan kebaikan kepada orang-orang di sekeliling kita. Semoga kita dijauhkan dari sikap mementingkan diri sendiri dan kasar terhadap ahli keluarga kita sendiri. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.