collections khutbah Berbakti kepada Ibu Bapa: Satu Tuntutan Ilahi
Berbakti kepada Ibu Bapa: Satu Tuntutan Ilahi

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

10 Oktober 2025 / 18 Rabiulakhir 1447H 

Berbakti kepada Ibu Bapa: Satu Tuntutan Ilahi

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ayuh, kita menjadi sumber pahala bagi ibu bapa kita, serta mendidik anak-anak agar mereka menjadi sumber pahala bagi kita. Semoga Allah s.w.t. mengumpulkan semua yang kita kasihi di dalam syurga-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Antara perintah agung yang Allah s.w.t. berikan kita, selepas perintah agar kita menyembah-Nya, ialah perintah untuk berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapa. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 23:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.”

Subhanallah, lihatlah bagaimana Allah s.w.t. menyebutkan kebaktian kepada ibu bapa – birrul-walidayn – sejurus selepas perintah untuk menyembah-Nya. Begitulah besar dan pentingnya amalan berbakti kepada ibu bapa dalam Islam. 

 

Saudaraku yang dikasihi, 

Kita mungkin sedia maklum tentang kepentingan berbakti kepada ibu bapa. Persoalannya: bagaimana kita dapat menerapkannya dalam kehidupan masa kini yang pesat, khususnya apabila kita berhadapan dengan pelbagai cabaran, seperti tekanan ekonomi dan perubahan sosial yang mungkin tidak dialami oleh generasi terdahulu? 

Allah s.w.t. memberi panduan dalam Surah al-Isra’, ayat 24: 

Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri terhadap mereka dengan penuh kasih sayang, dan ucapkanlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.’”

Ayat ini menjadi panduan rentas generasi dalam menerapkan nilai berbaktikepada ibu bapa. Allah, Tuhan yang Maha Pengasih, telah menunjukkan kepada kita jalan untuk menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa

Perhatikan tiga pengajaran penting daripada ayat ini: 

 

Pertama: Merendahkan diri kepada ibu bapa

Kita harus sedar bahawa ibu bapa kita membesar dalam zaman yang berbeza, dengan pengalaman dan cara hidup yang berbeza.      Ini   boleh    menyebabkan   jurang pengetahuan, khususnya dalam perihal teknologi dan sistem terkini. 

Perkara yang biasa bagi kita – seperti menempah janji temu (appointment) melalui aplikasi, atau mengenali mesej dan panggilan scam atau penipuan – mungkin sesuatu yang asing dan mengelirukan bagi mereka. Maka, sifat rendah diri menjadi bukti kasih sayang: kita membimbing mereka dengan sabar, membantu mereka dengan santun, tanpa menunjukkan kemarahan atau memperkecilkan pemahaman mereka.

 

Kedua: Memandang ibu bapa dengan pandangan kasih dan belas ihsan

Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk merendahkan diri kepada ibu bapa dengan rahmah dan kasih sayangRahmah membentuk asas kepada sikap rendah diri terhadap ibu bapa

Saudara, Singapura merupakan antara negara yang mempunyai kadar penuaan terpantas dan ibu bapa kita adalah sebahagian daripada realiti ini. Semakin usia meningkat, ada yang diuji dengan masalah kesihatan dan ada pula yang dilanda kesunyian apabila anak-anak sibuk dengan kerjaya dan keluarga masing-masing. Dalam keadaan ini, sifat rahmah menyeru kita untuk terus hadir – contohnya, dengan menemani mereka ke janji temu perubatan, memberikan masa, perhatian dan kasih sayang.  

Jika berlaku perselisihan, rahmah membimbing nada kita agar tidak hilang rasa hormat. Ingatlah, kasih dan pengorbanan ibu bapa harus dibalas dengan belas kasihan dan mereka wajar dipandang dengan penuh kasih sayang

 

Ketiga: Mendoakan ibu bapa  

Allah s.w.t. mengajarkan kita serangkap doa yang indah untuk kedua-dua ibu bapa:

Maksudnya: “Wahai  Tuhanku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil.”

 

Saudara-saudara yang dikasihi, 

Dalam doa ini, tersirat ungkapan “sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil”. Ini mengingatkan kita kepada segala perhatian, pengorbanan, kasih sayang, belas ihsan, cinta, kelembutan dan kesabaran yang mereka curahkan sejak kita kecil. 

Mereka berjaga malam, memenuhi segala keperluan kita dan sering mengorbankan keselesaan diri demi kesejahteraan kita. Mereka bergembira dengan kegembiraan kita dan bersedih kerana kesedihan kita. Mereka menerima kesilapan kita dengan penuh kesabaran dan berdoa dalam diam untuk kejayaan serta kebahagiaan kita. 

Maka, sekurang-kurangnya, apa yang dapat kita lakukan adalah  berdoa kepada Allah s.w.t. agar mengurniakan rahmat kepada mereka. 

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Mungkin sahaja, kita pernah berselisih faham atau melukai hati ibu bapa, sama ada secara sedar atau tidak. 

Namun, ingatlah – walau apa pun yang berlaku, merekalah yang menyambut kelahiran kita dengan penuh kegembiraan, senyuman mereka yang pertama menghiasi kenangan dan kasih serta pengorbanan mereka telah membentuk diri kita hari ini. Maka marilah kita berusaha untuk memuliakan mereka dan menjadi anak yang berbakti melalui tutur kata, perbuatan dan doa kita. 

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan rahmat, keampunan dan ganjaran yang tidak bersempadan kepada kedua-dua ibu bapa kita atas segala jasa dan pengorbanan mereka. Semoga Allah mengurniakan ibu bapa kita kesihatan yang baik, umur yang panjang, kebahagiaan yang berterusan, serta menjadikan kita anak-anak yang sentiasa menghormati, mengasihi dan menjaga mereka dengan penuh keikhlasan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

 

 

Khutbah Kedua