collections khutbah Berbakti dan Mendampingi Ibu Bapa
Berbakti dan Mendampingi Ibu Bapa

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

3 Jun 2022 / 3 Zulkaedah 1443H


Berbakti dan Mendampingi Ibu Bapa

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Berbakti kepada orang tua adalah fitrah bagi setiap manusia. Kerana dalam setiap jiwanya tertanam rasa cinta dan hormat kepada ibu dan ayahnya. Allah (s.w.t.) memerintahkan kepada kita untuk mentaati mereka, dan perintah ini datang sebaik sahaja Allah memerintahkan kita untuk mengabdikan diri kepada-Nya ketika mana Allah menyebutkan di dalam Surah Al-Isra’, ayat 23:

Yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia

Saudara dan saudari,

Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan untuk berbakti kepada orang tua kita. Kita boleh mencurahkan kebaikan, melalui perkataan dan tutur bicara yang baik, perbuatan, ataupun melalui harta.

Kerana menjaga keperluan mereka sedaya yang kita mampu, merupakan sebahagian daripada berbakti kepada kedua orang tua. Kerana sesungguhnya mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Maka sewajarnya kita mohon kepada agar Allah (s.w.t.) membalas kasih sayang mereka seperti firman Allah (s.w.t.) dalam surah Al-Isra, ayat 24:

Yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Saudara dan saudari,

Hakikat kehidupan hari ini yang sukar dan mencabar kadangkala menyebabkan kita leka dan kurang memberi penumpuan kepada orang tua.

Namun, janganlah kita menjadikan ia sebagai alasan. Seandainya kita terlalu sibuk dengan pekerjaan menyebabkan kita tidak berkesempatan untuk menziarahi mereka, sekurang-kurangnya kita boleh menghubungi mereka melalui telefon untuk bertanya khabar atau lebih baik lagi melalui panggilan video. Terkadang tidak ada apa yang diinginkan oleh mereka dari kita, tetapi hanya kerinduan menatap wajah anak-anaknya yang telah dibesarkan mereka dari kecil dengan penuh kasih sayang.

Saudara dan saudari,

Terdapat banyak keutamaan berbakti kepada orang tua. Dan keutamaan yang paling besar adalah mereka merupakan penyebab seseorang anak itu memasuki syurga. Begitu juga sebaliknya.

Nabi (s.a.w.) telah memberi amaran yang keras bagi mereka yang mensia-siakan peluang untuk berbakti kepada orang tua. Diriwayatkan dalam sebuah hadis Nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Sungguh terhina, sungguh terhina, sungguh terhina.” Ada yang bertanya, “Siapa, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “(Sungguh hina) seorang yang mendapati kedua orang tuanya yang masih hidup atau salah satu dari keduanya ketika mereka telah tua, namun dia tidak masuk syurga.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Semoga Allah (s.w.t.) menjadikan kita anak yang soleh dan selalu berbakti kepada orang tua kita pada setiap kesempatan dan peluang bersama mereka. Amin Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.