collections khutbah Faraid dan Kemaslahatan Keluarga
Faraid dan Kemaslahatan Keluarga

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

21 Jun 2024 / 14 Zulhijjah 1445H
Faraid dan Kemaslahatan Keluarga

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar Jumaat sekali lagi menyeru sekalian yang hadir agar  meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakanlah segala perintah-Nya dan tinggalkan segala larangan-Nya. Bimbinglah keluarga kita ke arah ketakwaan. Semoga Allah s.w.t. terus membimbing kita sekeluarga atas jalan yang diredai-Nya. Amin.

Para jemaah sekalian,

Kita masih dalam bulan Zulhijjah. Hari ini, kita kembali menyambung penghayatan khutbah wada’, yakni khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. pada satu-satunya ibadah haji yang baginda kerjakan. Rasulullah s.a.w. berpesan:

أَيُّهَا النَّاسُ، إنَّ اللهَ قَدْ قَسَمَ لِكُلِّ وَارِثٍ نَصِيبَهُ مِنَ المِيرَاثِ

Yang bermaksud: “Wahai Manusia, sesungguhnya Allah telah membahagikan (menetapkan) setiap ahli waris bahagiannya daripada harta peninggalan." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Perlu diingatkan, sememangnya Allah yang menetapkan perundangan berhubung harta pusaka atau faraid. Dan apabila sesuatu itu ditetapkan oleh Yang Maha Mengetahui, pasti sekali ada kebaikannya. Jika kita merujuk kepada al-Quran, hak ahli waris telah ditetapkan Allah s.w.t. dan dijelaskan secara terperinci dalam ayat 11, 12 dan 176 dari surah al-Nisa’. 

Saudaraku,

Walaupun faraid menggariskan bahagian tertentu bagi pewaris, Allah s.w.t. turut menganjurkan  agar sebahagian kelebihan yang diperolehi setelah difaraidkan, dikongsi bersama ahli keluarga lainnya, termasuk  mereka yang bukan pewaris, seperti anak angkat dan anak tiri. Peringatan ini terakam dalam surah an-Nisa’ ayat 8, Allah berfirman:

 

Yang bermaksud: “Dan apabila kaum kerabat (yang tidak menerima pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka (sedikit) daripadanya, dan ucapkanlah kepada mereka ucapan-ucapan yang baik.

Sidang jemaah rahimakumullah,

Sebelum harta peninggalan dibahagikan kepada pewaris, segala kewajipan si mati perlu diselesaikan terlebih dahulu. Contohnya hutang-piutang, wasiat, zakat harta dan haji. Sehubungan dengan haji, Rasulullah s.a.w. pernah didatangi seorang wanita. Dia bertanya sama ada perlu mengerjakan haji bagi pihak ibunya yang pernah bernazar untuk mengerjakan haji, tetapi menemui ajal sebelum sempat melakukannya. Baginda menjawab yang bermaksud: “Ya, tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah sekiranya ibumu berhutang, kamu akan menyelesaikannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Tunaikanlah hutang Allah kerana hutang Allah lebih berhak ditunaikan.” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Di dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj (تحفة المحتاج في شرح المنهاج), Ibn Hajar al-Haitami berpandangan bahawa hadis ini mewajibkan mengerjakan haji bagi pihak si mati, dan perbelanjaannya diambil daripada hartanya. Kewajipan haji gugur sekiranya si mati tidak berharta. Ahli waris mahupun bukan ahli waris disunatkan untuk mengerjakan badal haji bagi pihak si mati, sekalipun ahli waris lain tidak mengizinkannya. Dengan ini, jelas bahawa faraid hanya boleh dijalankan setelah selesai perkara-perkara yang disebutkan sebentar tadi, dan sekiranya terdapat baki dari harta peninggalan tersebut. 

Selain daripada pembahagian harta pusaka secara faraid, terdapat beberapa instrumen perancangan harta yang boleh juga dimanfaatkan oleh pemilik harta semasa hidupnya, seperti wasiat, nominasi hibah, dan sebagainya. Kita bertanggungjawab membuat penilaian yang sewajarnya sebelum membuat pilihan instrumen yang baru disebutkan tadi. Kita perlu memastikan kebajikan ahli keluarga terpelihara, tanpa menzalimi sebahagian ahli keluarga yang lain. 

Hadirin yang dimuliakan,

Izinkan mimbar berkongsi beberapa panduan yang perlu diberikan perhatian berhubung harta warisan:

Pertama, memaklumkan ahli waris berkaitan perancangan harta kita. Ini perlu agar mereka sedia maklum dengan perancangan kita dan sekaligus mengelakkan kegenjotan. Sekiranya ada kesukaran menjelaskan hasrat di sebalik perancangantersebut, dapatkan bantuan daripada mereka yang berkelayakan dan dipercayai. Semoga hasrat kita dapat disampaikan kepada ahli keluarga dengan tepat dan baik.

Kedua, pewaris perlu berlapang dada dengan perancangan harta yang dibuat oleh ahli keluarga. Jauhilah sikap mempersoalkan niat dan tujuan pemilik harta. Berbaik sangkalah dengan perancangan yang telah dilakukan semasa hidupnya. Mudah-mudahan yang demikian dapat menerbitkan ketenangan jiwa buat diri kita. 

Saudaraku,

Ingatlah, faraid bukan sekadar hak atau tuntutan hak semata-mata. Ia sebenarnya adalah tanggungjawabTanggungjawab bagi yang menerima harta pusaka untuk membela nasib ahli keluarga yang memerlukan. Ingatlah juga bahawa harta yang kita miliki adalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Dialah Tuhan yang memiliki segalanya. Sepertimana Allah menetapkan cara pembahagian harta pusaka selepas kematian ahli keluarga, Allah juga menetapkan hak dan tanggungjawab di sebalik setiap bahagian yang kita perolehi daripada harta pusaka tersebut.

Pewaris perlu sedar bahawa setiap harta yang dimiliki itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. di padang Mahsyar. Berdoalah semoga Allah memberkati segala perancangan kita dan mengurniakan ketenangan buat keluarga kita semua.

Ya Allah, Ya Hafiz, kami menadah tangan memohon perlindungan-Mu buat kami dan ahli keluarga kami daripada sebarang keburukan. Ya Satir wa Ya Ghafir, kau peliharalah keluarga kami dan jauhi mereka daripada fitnah harta setelah kami menghadap-Mu, Ya Allah. Ya Mujib ad-da’wah, bantulah kami dalam memenuhi perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu, dan kurniakan kami panduan agar kami dapat terus kekal di jalan yang diredai-Mu. Amin, Ya Rabbal ‘alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَاَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَموَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْفرَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.