collections khutbah Bahaya Kesombongan dengan Ilmu
Bahaya Kesombongan dengan Ilmu

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

25 Oktober 2019 / 26 Safar 1441H

Bahaya Kesombongan dengan Ilmu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi segala tegahanNya. Semoga dengan itu, Allah s.w.t. akan menerima segala amalan baik kita dan mengampunkan segala kekurangan kita, Amin.

 

Saudaraku, 

Khutbah sepanjang bulan ini telah mengingatkan kita akan peranan kita untuk menjadi sumber pengharapan dan rahmah buat manusia. Malahan pada hukum-hakam Islam itu juga terdapat rahmah Allah s.w.t. dan hikmah disebaliknya. Sesuai dengan pengajaran tersebut, mimbar pada hari ini ingin mengajak kita untuk memberi perhatian kepada satu lagi panduan penting dalam kehidupan kita. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Zukhruf, ayat ke 37:

 

Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Ayat yang baru saya bacakan sebentar tadi mengingatkan kepada kita untuk menghindari daripada merasakan diri kita sudah cukup baik daripada orang lain. Sepertimana yang telah diingatkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin berkaitan pentingnya seorang mukmin itu berusaha menjauhi kesombongan, menjauhi riya’, dan menjauhi segala sifat buruk dalam kehidupannya. Kerana semakin berilmu seseorang, seharusnya beliau menjadi semakin merendahkan diri, dan bukan sebaliknya.

Justeru itu, adalah penting untuk kita mempelajari dan mengamalkan ilmu dengan sebaiknya. Kerana perintah untuk membaca serta mendalami ilmu, merupakan wahyu pertama diturunkan kepada manusia. Ia bagi membebaskan manusia daripada sebarang kejahilan serta kesesatan.

 

 

Saudaraku, 

Alhamdulillah! Saban tahun, ramai di kalangan masyarakat kita yang semakin terdidik. Masyarakat kita berusaha untuk menghadiri kursus-kursus serta program-program peningkatan diri di pelbagai institusi pendidikan awam, pendidikan swasta dan pendidikan Islam serata Singapura. Kelas-kelas yang dihadiri bukan sahaja tertumpu kepada ilmu agama semata-mata, akan tetapi ia juga merangkumi segala bidang ilmu, dalam usaha untuk mempertingkatkan ilmu dan kemahiran kita. 

 

 

Saudaraku,

Namun, dalam kita mempelajari dan mengamalkan sesuatu ilmu, kita perlu berwaspada dan menjauhi daripada sebarang kesombongan. Apabila seseorang itu dikaburi dengan kesombongan, maka akan hilanglah dalam dirinya pandangan hikmah, pengharapan, dan rahmah kepada orang lain. Akhirnya beliau akan berpandangan bahawa dirinya sahaja yang betul, dan orang lain semuanya salah. Sehinggakan dengan mudahnya dia menuduh orang lain sebagai sesat. Lebih teruk lagi, apabila beliau mempunyai tanggapan bahawa amal ibadahnya adalah lebih baik dari amalan orang lain. Lalu beliau memutuskan tali silaturahim dengan keluarganya, semata-mata kerana berbeza pendapat dalam sesuatu permasalahan agama. Kita perlu berusaha untuk melindungi diri kita daripada terjatuh ke dalam kancah kebinasaan dan keburukan ini. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

 

Yang bermaksud: “Mahukah kamu aku beritahu tentang (sifat-sifat) ahli neraka? Mereka menjawab: Ya, Baginda berkata: Mereka adalah orang-orang keras lagi kasar, tamak lagi rakus, dan takabbur (sombong). [Muttafaq Alaih].

Kesombongan dalam sesuatu ilmu itu jelas bertentangan dengan kekayaan tradisi keilmuan dalam Islam. Islam meraikan perbezaan pendapat di antara manusia dari dahulu hinggalah ke hari ini. Seseorang yang benar-benar mendalami ilmu agama, sebagai contoh, dapat melihat kesan positif di sebalik perbezaan pendapat ini. Beliau akan menyedari bahawa perbezaan pendapat ulama dalam mazhab-mazhab fiqh bukanlah satu perkara yang mencelarukan, jauh sekali menyesatkan umat. Bahkan, perbezaan ini adalah salah satu daripada rahmat Allah ke atas umat ini. Yang memberikan kita ruang untuk mengamalkan hukum Islam sesuai dengan keadaan dan kemampuan kita.

 

 

Saudaraku, 

Islam telah menetapkan beberapa garis panduan dalam kita mendalami ilmu. Pada hari ini, saya ingin kongsikan tiga panduan bagi menghindari sifat kesombongan dalam kita, ketika  mempelajari dan mengamalkan ilmu:

Pertama: Pupuklah sifat bersangka baik sesama manusia.

Sebagai contoh, apabila kita mendapati seseorang yang mempunyai pendapat yang berbeza daripada kita pada sesuatu isu agama, bersangka baiklah dengan orang tersebut. Dan jangan cepat untuk menuduhnya salah atau menghukumnya sebagai sesat. Besar kemungkinan pendapatnya mempunyai sandaran yang kuat di sisi syarak dan para ulama. Dengan bersangka baik juga kita dapat merendah diri sekaligus melenyapkan sifat kesombongan dan ego dalam diri sendiri.

Kedua: Amalkan sikap menahan diri daripada bercakap tentang sesuatu yang kita tidak pasti akan ketepatannya.

Walaupun kita sudah menghadiri kelas-kelas atau kursus-kursus tertentu, ini tidak bermakna bahawa kita mempunyai keahlian untuk memberikan pandangan tentang setiap isu agama yang kita temui. Apabila kita mengamalkan sikap menahan diri ini, kita tidak akan memberikan satu pandangan agama dengan begitu mudah sekali. Sebaliknya, kita bertanya dan merujuk kepada para asatizah yang mempunyai kepakaran, untuk menjawab persoalan agama. Ini akan menyebabkan kita menjadi lebih peka dengan keterbatasan ilmu yang dimiliki dan membendung keinginan untuk berdebat dengan setiap orang yang berbeza pendapat dengan kita.

Renungkan ungkapan Ibn Abbas r.a. yang pernah berkata: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu, maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu.”

Ketiga: Teruskan usaha mempelajari ilmu dengan lebih mendalam lagi.

Kita tidak seharusnya berhenti menuntut ilmu kerana hakikatnya masih banyak lagi perkara yang belum kita ketahui. Cubalah sedaya upaya untuk kita tingkatkan tahap pemahaman kita tentang sesuatu ilmu itu dengan menghadiri kelas-kelas atau kursus-kursus yang ditawarkan di masjid-masjid ataupun di mana-mana institusi pendidikan setempat. 

Ingatlah mempelajari dan mendalami sesuatu ilmu itu merupakan sebahagian dari asas utama yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. buat umatnya. Penyebaran ilmu turut menjadi sebahagian daripada asas penting di Singapura, sepertimana yang telah diusahakan oleh para pedagang Islam ke Singapura suatu masa dahulu. Mereka membawa bersama mereka ilmu pengetahuan untuk disampaikan kepada masyarakat tempatan. Mereka turut mewakafkan tanah-tanah mereka dengan membina tempat-tempat ilmu seperti masjid, madrasah dan sebagainya untuk kemanfaatan masyarakat. Kepentingan ilmu ini turut diberikan perhatian oleh para pemimpin Melayu/Islam generasi awal selepas kemerdekaan Singapura. Mereka telah menetapkan beberapa asas utama dalam pembangunan ilmu masyarakat Islam Singapura. Hasilnya beberapa badan pendidikan seperti Yayasan Mendaki telah ditubuhkan. Badan ini ditubuhkan bagi membentuk budaya mencari dan mendalami ilmu dalam kehidupan masyarakat kita. Pada hari ini, beberapa kempen seperti kempen ‘Raikan Ilmu’ sedang dianjurkan oleh badan ini bagi menggalakkan masyarakat untuk mempertingkatkan diri dengan mendalami ilmu.

Sama-samalah kita menyokong usaha yang dijalankan dengan melibatkan diri dalam program-program ilmu yang ditawarkan. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita taufiq dan hidayahNya dalam usaha kita mendalami ilmu. Mudah-mudahan kita akan memperolehi rahmat dan kasih sayangNya. Amin ya Rabbal ‘Alamin.