Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
27 Jun 2025 / 1 Muharram 1447H
Awal Muharram – Ke Arah Pembaharuan Rohani
Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Tunaikan segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Sesungguhnya, orang-orang yang bertakwa akan sentiasa mendapat petunjuk dan perlindungan daripada Allah s.w.t., walau dalam apa jua keadaan mereka berada.
Kita kini berada di permulaan tahun baharu Hijrah. Bulan Muharram membuka lembaran pertama dalam takwim Islam.
Sekiranya ditanya tentang keistimewaan bulan Muharram, apakah jawapan kita? Hadirin, bulan ini adalah satu-satunya bulan dalam kalendar Islam yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai – yakni “Bulan Allah”. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Yang bermaksud: “Masa yang paling baik untuk berpuasa selepas Ramadan adalah di bulan Allah, iaitu Muharram.” (Riwayat Muslim)
Satu lagi keistimewaan bulan Muharram ini adalah ia juga termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang dimuliakan dalam Islam. Secara tidak langsung, umat Islam digalakkan untuk memulakan tahun baharu Hijrah ini dengan memperbanyakkan ibadah dan amal yang baik. Dengan harapan, permulaan yang baik ini membawa keberkatan dan menjadi pendorong untuk kita terus istiqamah sepanjang tahun.
Muharram bukan sekadar tanda peralihan tahun. Ia mengingatkan kita akan peristiwa besar dalam sejarah Islam – hijrah Nabi Muhammad s.a.w. bersama para sahabat dari Makkah ke Madinah. Ia adalah perjalanan yang menuntut pengorbanan harta, kedudukan, dan emosi. Namun di sebalik segala cabaran, Rasulullah s.a.w. tetap tabah dan penuh keyakinan bahawa pertolongan Allah s.w.t. itu pasti.
Ayat ke-40, Surah at-Taubah merakamkan kisah Baginda s.a.w. keluar meninggalkan kota Makkah bersama Sayyidina Abu Bakar r.a., setelah diusir oleh kaum yang tidak beriman, lalu diburu pula oleh pihak yang berniat jahat ketika dalam perjalanan. Mereka berdua bersembunyi di dalam sebuah gua, dan ketika Sayyidina Abu Bakar r.a. tampak cemas dan diselubungi kegusaran, Rasulullah s.a.w. berkata:
Yang bermaksud: “Janganlah berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.”
Dengan itu, Allah menurunkan sakinah yakni ketenangan kepada mereka dan memberikan bantuan-Nya. Tuan-tuan, inilah roh hijrah – satu keyakinan bahawa dalam kesusahan pasti ada ketenangan, dalam keperitan pasti ada harapan. Ia mengajar kita bahawa perubahan ke arah kebaikan menuntut ketabahan, kesabaran dan keteguhan iman.
Oleh itu, dalam semangat Awal Muharram ini, marilah kita bermuhasabah diri dan menanam azam untuk berubah dan memperbaiki diri. Jika tahun lalu kita sering lalai, tahun ini biarlah kita menjadi lebih peka. Jika dahulu kita leka, tahun ini biarlah kita lebih cakna.
Bagi menerapkan semangat hijrah dalam kehidupan kita, mimbar mengambil peluang ini mengajak kita semua untuk mengambil dua langkah berikut:
Yang pertama: Manfaatkan masa dengan sebaiknya.
Usia kita amat terhad. Jika kita gagal mengisi hari-hari itu dengan kebaikan, nyawa kita semakin luput, sedang kita berada dalam kerugian. Inilah pesanan yang terkandung dalam Surah Al-‘Asr. Firman Allah s.w.t.:
Yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian.”
Kecuali mereka yang beriman, dan beramal soleh (baik), dan saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Oleh itu, jangan biarkan masa kita berlalu tanpa pengisian yang baik. Perbanyakkan amalan. Kerapkan langkah ke masjid, lebih daripada sekali dalam seminggu. Jadikan sedekah sebagai rutin harian. Bacalah al-Quran dan singkaplah maknanya. Hidupkan sunnah mulia Nabi s.a.w. dalam perbuatan dan juga dalam urusan hati kita. Perbaiki interaksi kita sesama insan – sama ada dengan pasangan, anak, ibu bapa, tetangga, rakan sepejabat dan sahabat taulan. Pastikan, sepertimana yang disebutkan dalam Surah Al-‘Asr tadi, bahawa setiap interaksi kita memancarkan iman, amal soleh (baik), kebenaran dan kesabaran.
Yang kedua: Tinggalkan dosa dan kesalahan lampau.
Dalam membicarakan tentang definisi hijrah, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
Yang bermaksud: “Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.”
Ini adalah peluang untuk kita menutup lembaran lama yang mungkin tercemar dengan kesilapan dan dosa, dan membuka muka surat baharu yang lebih bersih dan suci. Hentikan kitaran kesilapan yang sama. Tinggalkan tabiat buruk – sama ada yang kecil mahupun besar, yang terang-terangan mahupun tersembunyi.
Berhati-hatilah daripada setiap jenis dosa, dan bukan sebahagiannya sahaja. Dosa dalam ibadah, seperti meninggalkan solat dengan sengaja, atau pun merasa ujub dengan ibadah yang dikerjakan. Dosa terhadap manusia, seperti mengumpat, memfitnah, menipu, menzalimi, atau menyebabkan kesakitan pada orang lain secara fizikal mahupun emosi. Dosa terhadap diri sendiri dan keluarga, seperti mengabaikan tanggungjawab terhadap pasangan, ibu ayah, mahupun anak, atau menjalin hubungan di luar pernikahan yang sah, sama ada silang atau sesama jantina, atau terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah, sama ada sebagai penagih atau pembekal – kesemua ini adalah dosa, dan setiap dosa perlu segera ditinggalkan.
Hijrah bukan sekadar soal berpindah tempat. Ia adalah anjakan jiwa. Ia adalah proses pembaikan diri yang berterusan – dari kegelapan kepada cahaya, dari kelalaian kepada kesedaran, dari dosa kepada taubat. Hijrah tidak menuntut kesempurnaan, tetapi keikhlasan dalam usaha.
Marilah kita jadikan tahun baharu Hijrah ini sebagai titik permulaan bagi pembaharuan rohani dan kesucian dari dosa. Ayuh, mulakan perjalanan ini dengan harapan, doa, dan tekad. Ya Allah, sesungguhnya kami telah banyak menzalimi diri ini, dan tiada siapa yang dapat mengampunkan dosa kami kecuali Engkau, Ya Allah. Ampunkanlah kami dan rahmatilah kami. Sesungguhnya, Engkau Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita menadah tangan ke hadrat Illahi. Dengan hati yang penuh telus. Dengan penuh pengharapan. Agar Allah menerima doa ini. Rintihan daripada seorang hamba yang serba kekurangan. Kepada Tuhan yang Maha Perkasa, yang Maha Mendengar. Doa kita khususnya untuk saudara kita yang terus dihimpit penderitaan dan sengsara di Gaza. Di saat bantuan daripada umat manusia terputus, ayuhlah kita sebagai ‘ibadullah, menghadap Tuhan semesta alam, Tuhan yang lebih berkuasa daripada setiap penguasa, yang lebih perkasa daripada setiap tentera, untuk terus melimpahkan bantuannya kepada mereka.
Ya Allah, Tuhan yang Maha mendengar suara hati hamba-Nya, kurniakanlah kami pengampunan, sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu yang sering alpa dan melakukan kesilapan. Ampunilah dosa-dosa kami yang terdahulu dan terkemudian, yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, yang kecil dan sedikit mahupun yang seluas lautan. Dan janganlah Kau jadikan dosa tersebut menjadi penyebab terhijabnya setiap permintaan.
Wahai Tuhan yang memperkenan permohonan hamba-Nya, pada hari dan saat yang penuh keberkatan ini, kami tunduk dengan insaf dan tawaduk, mengemis secebis rahmat-Mu Ya Rahman, bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya di Gaza dan Palestin.
Ya Allah Ya Mannan, Kau ringankanlah bebanan mereka, lindungilah mereka dari ancaman kekerasan dan bahaya, sembuhkanlah yang sakit dan terluka, dan kurniakanlah rezekiMu bagi yang lapar dan dahaga.
Ya Latiff Ya Hannan, dakapilah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, teguhkan semangat mereka dengan keyakinan pada bantuan-Mu.
Ya Allah Ya Dzal ‘Izzi was-Sultan, gantikan ketakutan mereka dengan keamanan, kesempitan dengan kelapangan, keresahan dengan ketenangan, dan kesedihan dengan kegembiraan.