collections khutbah Asyura menerusi lensa tadabbur
Asyura menerusi lensa tadabbur

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 Jun 2026 / 10 Muharram 1448H

Asyura Menerusi Lensa Tadabbur

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya serta jauhilah segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mempermudahkan perjalanan kita menuju keredaan, pengampunan dan syurga-Nya. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Saudara yang dikasihi,

Hari ini adalah siri terakhir Khutbah Tadabbur, dan bersempena dengan Hari Asyura, hari yang begitu sinonim dengan peristiwa Nabi Musa a.s. dan kaumnya yang dibebaskan dari kezaliman Firaun, marilah kita bersama mengambil pendekatan tadabbur dan menghayati ayat ke-6 daripada Surah Ibrahim:

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Ingatlah nikmat Allah kepada kamu, semasa Dia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksaan yang dahsyat, dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu, dan membiarkan anak-anak perempuan kamu untuk hidup; dan (kejadian yang demikian itu) mengandungi ujian yang besar dari Tuhanmu".

Hadirin yang dimuliakan,

Sekali imbas, apa yang kita fahami ayat ini menceritakan bahawa, Nabi Musa mengingatkan kaumnya agar mengenang pertolongan Allah yang telah menyelamatkan mereka dari cengkaman kezaliman Firaun dan tenteranya. Namun, pendekatan tadabbur mengundang kita bertanya beberapa persoalan berikut:

Mengapakah Nabi Musa a.s. diperintahkan mengingatkan kaumnya tentang nikmat dan bantuan Allah?

Kerana manusia mudah melupakan Tuhan, serta nikmat dan segala macam bantuan Allah setelah berlalunya kesusahan dan ujian. Lalu manusia mula tertipu dengan kehebatan dirinya, dan menyangka segala yang dimilikinya adalah hasil usahanya, sedangkan setiap nikmat datang daripada Allah s.w.t.

Mengapakah Allah mengaitkan peringatan ini dengan peristiwa penyelamatan kaum Nabi Musa daripada Firaun?

Kerana manusia lebih mudah menghargai nikmat apabila mengenangkan kesusahan yang pernah dilalui. Apabila Bani Israil mengenang penderitaan mereka di bawah cengkaman Firaun, mereka akan lebih menghargai nikmat kebebasan yang Allah kurniakan.

Apakah hubungan ayat ini dengan Hari Asyura?

Seperti yang disebutkan pada awal khutbah ini, Hari Asyura mengingatkan kita kepada peristiwa Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan Bani Israil daripada kezaliman Firaun. Apabila Rasulullah s.a.w melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari tersebut, Baginda bertanya tentang sebabnya. Mereka menjelaskan bahawa itulah hari Allah memberikan kemenangan kepada Nabi Musa a.s. dan kaumnya. Lalu Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku lebih berhak ke atas Musa daripada kamu.” Maka Baginda Nabi s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan untuk berpuasa (pada hari tersebut). (Riwayat Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Adakah pengajaran Hari Asyura sekadar menuntut kita untuk berpuasa sahaja? Sudah tentu tidak. Kerana berdasarkan tadabbur ayat 6 Surah Ibrahim yang sedang dibincangkan ini, terdapat dua pengajaran yang boleh kita terapkan dalam kehidupan:

Pertama: Menzahirkan kesyukuran lebih dari ucapan di bibir

Sifat bersyukur mengajar kita menghargai apa yang telah Allah berikan, dan tidak sibuk memikirkan apa yang belum dimiliki. Namun, kesyukuran yang sebenar tidak terhad kepada ucapan “Alhamdulillah” semata-mata.

Apabila seseorang benar-benar bersyukur, perasaan itu perlu diterjemahkan melalui amalan dan tindakan. Kaum Yahudi di zaman Rasulullah s.a.w. berpuasa pada Hari Asyura sebagai tanda kesyukuran atas pertolongan Allah.

Begitu juga kita, kesyukuran perlu dizahirkan dengan menggunakan nikmat yang Allah kurniakan untuk melakukan kebaikan. Harta yang kita miliki, sebagai contoh, boleh digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan. Masa yang kita ada, boleh dimanfaatkan untuk berbakti kepada ibu bapa dan keluarga. Ilmu yang kita perolehi boleh digunakan untuk membimbing dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Beginilah cara seorang mukmin mengenang nikmat yang diberi dan menzahirkan kesyukurannya kepada Allah s.w.t.

Pengajaran kedua: Melahirkan keprihatinan terhadap bebanan dan dugaan kehidupan orang lain.

Nabi Musa a.s. berusaha membebaskan kaumnya daripada bebanan hidup kaumnya yang berupa kezaliman dan penindasan. Hari ini, kita, sebagai mukmin juga perlu prihatin terhadap nasib dan kesusahan insan lain. Kerana dewasa ini, dugaan kehidupan boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang berlaku di ruang siber, ada yang berlaku di tempat kerja, dan ada juga yang berlaku dalam rumah tangga seperti penderaan fizikal, tutur kata dan emosi.

Melebihi batasan simpati, seorang mukmin wajar berusaha menghulurkan bantuan mengikut kemampuannya, seperti melaporkannya kepada pihak berkuasa, agar hak mangsa terpelihara. Benar, pertolongan Allah pasti akan tiba. Tetapi di masa yang sama, seorang mukmin juga perlu berusaha menjadi sebahagian daripada jalan pertolongan tersebut dengan membantu dan melindungi mereka yang berada dalam kesusahan.

Saudara yang dirahmati Allah,

Jika umat Nabi Muhammad s.a.w. lebih berhak untuk memperingati Hari Asyura, maka kita selayaknya mengenang nikmat Allah dengan penuh kesyukuran, dan berusaha menjadi lebih prihatin terhadap kesusahan saudara-saudara kita.

Sifat ini dapat dipupuk melalui hubungan yang berterusan dengan Al-Quran, dengan membaca dan meneliti secara tadabbur mesej-mesej yang terkandung di dalamnya, dan bukan sekadar mengikut kefahaman sendiri, tetapi dengan berpandukan kefahaman para ulama tafsir yang muktabar, agar penghayatan kita itu benar, tepat, dan menjadi santapan rohani yang berkesan.

Dengan ini, siri Khutbah Tadabbur melabuhkan tirainya. Mudah-mudahan menerusi pendekatan tadabbur yang dikongsikan selama empat minggu ini, dapat memberikan kita iktibar dan bimbingan dalam membentuk kehidupan yang lebih dekat kepada Allah s.w.t. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua