collections khutbah Asyura – Menegakkan Kebenaran, Mengatasi Kezaliman
Asyura – Menegakkan Kebenaran, Mengatasi Kezaliman

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

4 Julai 2025 / 8 Muharram 1447H 

Asyura – Menegakkan Kebenaran, Mengatasi Kezaliman

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

 

Hiasilah diri kita dengan pakaian takwa. Ketakwaan yang membimbing kita melaksanakan setiap perintah Allah, dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga dengan takwa dan petunjuk Allah, kita dikurniakan keselamatan dan kejayaan di dunia dan di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Sidang hadirin sekalian,

Kita masih berada di awal bulan Muharram. Ramai sedia maklum bahawa 10 Muharram atau lebih dikenali sebagai Hari Asyuraakan jatuh pada hari Ahad nanti. Mari kita renung signifikan hari Asyura ini melalui sejarah Firaun bersama Nabi Musa a.s. 

Untuk ini, saya nukilkan sepotong hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah s.a.w. mendapati kaum Yahudi di Madinah berpuasa pada Hari Asyura. Setelah mendengar alasan mereka berpuasa kerana memperingati kemenangan Nabi Musa a.s. dan kaumnya (Bani Israil) ke atas Firaun, 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kami lebih berhak (lebih dekat) terhadap Musa (a.s.) daripada kalian.” Lalu Baginda s.a.w. melaksanakan puasa Asyura dan menitahkan agar kaum Muslimin berpuasa pada Hari Asyura. Hal ini berlaku sebelum diwajibkan puasa pada bulan Ramadan. 

Dalam hadith riwayat Muslim pula, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku berharap kepada Allah agar ia (berpuasa pada Hari Asyura) menghapuskan dosa setahun yang lalu.” 

Manakala Imam Asy-Syafi’i meriwayatkan bahawa Ibn Abbas r.a. berkata: “Bezakanlah (amalan kita) dengan amalan kaum Yahudi; puasalah pada hari kesembilan dan kesepuluh.” 

Oleh itu, saudara-saudara sekalian, jika berkeupayaan, saya menggalakkan kita untuk mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. dengan berpuasa pada Hari Asyura nanti, dengan harapan agar ia dapat menebus dosa silam kita.  

 

Sidang jemaah yang dimuliakan, 

 

Dalam membicarakan kisah Firaun dan Nabi Musa a.s., sering kita dengar tentang sifat Firaun yang zalim. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-A’raf, ayat 103: 

 

Yang bermaksud: “Kemudian, Kami mengutuskan Nabi Musa selepas mereka (rasul-rasul itu), dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan ketua-ketuanya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.” 

Antara lain, Al-Quran merakamkan bagaimana Firaun telah menyeksa kaumnya, memerintahkan supaya anak-anak lelaki dibunuh, mengaku dirinya sebagai tuhan, di samping mengugut sesiapa sahaja yang beriman dengan Nabi Musa. 

Ya, begitulah kisah antara Nabi Musa dan Firaun yang sering kita dengar. Namun, berkemungkinan juga kita terlepas pandang akan peringatan Nabi Musa a.s. terhadap kaumnya. Apakah peringatan tersebut? Agar mereka tidak menzalimi diri sendiri. Ini terakam dalam Surah Al-Baqarah, ayat 54, yang bermaksud: 

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ‘Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menzalimi diri kamu sendiri dengan menjadikan anak lembu sebagai sembahan. Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menciptakan kamu.’”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Di sini, ada beberapa pengajaran utama yang boleh kita jadikan pedoman, dalam memperingati sejarah Nabi Musa a.s.:

Yang pertama: Hentikan kezaliman, sama ada yang dilakukan oleh pihak lain, atau perbuatan menzalimi diri sendiri.

Dalam usaha Nabi Musa a.s. meyampaikan bimbingan kepada kaumnya, sekaligus mengatasi kezaliman Firaun, Baginda a.s. tidak hanya menumpukan perhatian kepada kesalahan Firaun, dan membiarkan kekurangan kaumnya sendiri. Apabila kaumnya sendiri melakukan kesalahan, Baginda a.s. segera menyampaikan peringatan kepada mereka, supaya kembali kepada kebenaran, dan tidak menzalimi diri mereka sendiri. 

Penilaian Nabi Musa a.s. terhadap kezaliman juga bersifat introspektif – sering cakna terhadap perbuatannya sendiri. Ini dapat dilihat melalui doanya dalam Surah Al-Qasas, ayat ke-16: 

Yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi(menganiaya) diriku sendiri; maka ampunilah aku." 

Yang kedua: Tegakkanlah kebenaran dengan hikmah dalam apa jua keadaan. 

Kezaliman Firaun tidak menjadi alasan untuk Nabi Musa melakukan yang sama. Sebaliknya, Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Musa a.s. dan saudaranya supaya tetap berbicara dengan baik. Dalam erti kata lain, syariat mengajar kita agar bersifat konsisten dalam menegakkan kebenaran dan nilai yang baik secara hikmah. Itulah tugas kita sebagai kaum yang beriman – kita mengekalkan prinsip ihsan dalam menyampaikan kebenaran. Lebih dari itu, Allah s.w.t. yang akan menghakimi dan memberi balasan atas segala sesuatu. 

 

Saudara yang dirahmati Allah,                     

Secara keseluruhan, kezaliman Firaun dan kejatuhannya hanya merupakan sebahagian daripada kisah perjalanan Nabi Musa a.s. Manakala tujuan dan peranan asal Nabi Musa a.s. adalah semata-mata untuk menyampaikan bimbingan dan menegakkan kebenaran

Inilah yang kita pelajari menerusi sejarah Hari Asyura – bukan sekadar kejatuhan kezaliman yang wajar diraikan, namun yang lebih utama, peringatan bahawa bantuan Allah s.w.t. sentiasa tersedia bagi hamba-hambanya yang teguh di atas jalan kebenaran

Semoga Allah s.w.t. menjadikan hamba-hambanya yang berdiri teguh atas kebenaran, istiqamah memancarkan akhlak mulia dalam apa jua keadaan, serta mengurniakan kita kejayaan dalam mengatasi setiap bentuk kezaliman. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Khutbah Kedua