Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
3 Oktober 2025 / 11 Rabiulakhir 1447H
Anak: Anugerah, Amanah dan Ujian
Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Tunaikanlah amanah kita terhadap anak-anak dan keluarga dengan sebaiknya. Semoga Allah mengumpulkan kita semua dalam syurga-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara yang dikasihi Allah,
Pernahkah kita ditanya oleh anak kecil – Mengapa kita tunaikan solat lima kali sehari? Kenapa bukan sekali sahaja? Atau, jika orang lain berbuat jahat, mengapa kita tidak membalas dengan kejahatan juga?
Di sebalik soalan-soalan jujur yang terbit daripada jiwa murni seorang anak, terserlah keperluan dan peranan utama kita untuk membimbing mereka dengan iman, akhlak dan tanggungjawab. Inilah cabaran mendidik anak-anak – satu tanggungjawab yang berat, yang memerlukan ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan.
Malah, Allah s.w.t. telah mengingatkan bahawa anak-anak adalah suatu ujian. Firman-Nya dalam Surah At-Taghabun ayat 15:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya harta bendamu dan anak-anakmu hanyalah menjadi ujian (bagimu); dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
Sidang hadirin yang dirahmati Allah,
Zuriat adalah satu nikmat yang datang bersamanya ujian bagi kedua ibu bapanya. Menerusi anak-anak, seseorang itu diuji sejauh mana dia dapat beristiqamah mentaati Allah.
Mentaati Allah pula tidak bermakna kita menepis tanggungjawab terhadap anak-anak. Sebaliknya, dengan menjadikan Allah sebagai paksi kehidupan dan hubungan sesama kita, ia mendorong kita untuk melaksanakan yang terbaik dalam mendidik serta membentuk peribadi anak-anak.
Al-Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Tuhfatul Maudud menjelaskan bahawa ada di kalangan ibu bapa yang sebenarnya menzalimi anak mereka – dengan membiarkan anak-anak menurut keinginan sendiri, tanpa disiplin dan tanpa bimbingan agama – sedang mereka menyangka itu adalah kasih sayang yang sebenar. Hakikatnya, ia boleh menjadi satu kecuaian yang merosakkan masa depan si anak di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Setelah kita menyedari bahawa anak-anak adalah antara amanah dan anugerah terbesar Allah s.w.t., apakah aspek yang perlu diutamakan dalam mendidik anak-anak kita? Mimbar ingin berkongsi tiga tunjang utama:
Pertama: Pendidikan Agama
Ia adalah asas yang membentuk jati diri seorang anak. Ibu bapa berperanan membimbing anak dan menghuraikan soalan mereka, contohnya, tentang penciptaan: siapakah Pencipta kita? Untuk apakah kita diciptakan? Apakah kesudahan kita selepas kematian? Sesungguhnya penjelasan yang baik boleh membentuk persepsi mereka terhadap kehidupan.
Ajaklah mereka mengenali sosok mulia Nabi Muhammad s.a.w. Bimbinglah mereka dalam membezakan antara perkara yang betul dan yang salah. Tanamkan juga penghayatan tentang solat, berdoa, berpuasa dan sebagainya. Jangan sekadar mengingatkan dan memesan, tetapi hidupkan sendiri contoh dan suasana Islam dalam rumah kita, seperti dengan memulakan setiap aktiviti dengan ucapan “Bismillah”.
Apabila kehidupan mereka semenjak kecil lagi disulami dengan roh dan pengamalan agama, ia dapat membentuk jati diri Muslim sejati, serta menjadi sebaik-baik bekalan dalam mengharungi liku-liku kehidupan.
Kedua: Pembangunan Akhlak dan Peribadi
Akhlak yang mulia harus dipupuk dari kecil. Ajarkan anak tentang nilai-nilai seperti kejujuran, kerendahan hati dan kesabaran. Didik mereka mengawal amarah, mengutamakan budi pekerti dan memaafkan.
Dewasa ini, anak-anak berdepan dengan pelbagai tekanan yang mungkin datang daripada rakan sebaya (peer pressure), budaya persaingan dalam pembelajaran, serta pengaruh media sosial. Di sinilah terletak keutamaan pembangunan akhlak mulia. Ia menjadi petunjuk buat mereka agar pandai mengurus diri, mengatasi tekanan dalam apa jua keadaan dan situasi.
Ketiga: Tanggungjawab Sosial dan Adab Bermasyarakat
Semaikan sikap hormat-menghormati, bermula dengan ahli keluarga, jiran, guru dan rakan. Didiklah mereka agar tidak merendahkan dan menghina orang lain. Galakkan mereka berkongsi kelebihan – agar anak-anak ini sentiasa inginkan kebaikan buat orang lain sebagaimana mereka menginginkannya buat diri sendiri.
Pupuklah juga kesedaran terhadap kesusahan yang dialami orang lain, melalui usaha gotong-royong atau kemasyarakatan. Dengan ini, kita dapat membangkitkan sifat empati, sekaligus membentuk generasi masa depan yang menegakkan ihsan dan keadilan.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Sebagai penutup, ingatlah, anak adalah anugerah dan amanah daripada Allah. Anak boleh menjadi penyebab kebahagiaan di dunia, dan insya-Allah, boleh memudahkan perjalanan kita menuju syurga. Oleh itu, marilah kita memandang mereka dengan pandangan rahmah dan ihsan, dan memberikan didikan akhlak mulia yang dipasak dengan iman. Semoga Allah s.w.t. terus memberikan kita petunjuk dalam membimbing generasi Muslim akan datang. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Khutbah Kedua