collections khutbah Amalan yang Berterusan Sebagai Bekalan Akhirat
Amalan yang Berterusan Sebagai Bekalan Akhirat

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

28 Mei 2021 / 16 Syawal 1442H

Amalan yang Berterusan Sebagai Bekalan Akhirat


Saudaraku yang dirahmati Allah, 

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita dengan memperbanyakkan amalan jariyah, amalan yang akan diberi ganjaran yang berterusan walaupun kita sudah tiada lagi di dunia yang fana ini. Semoga Allah (s.w.t.) memberkati segala usaha kita. Amin.


Saudaraku,

Dunia ini adalah tempat untuk kita bercucuk tanam bagi kehidupan akhirat kelak. Kita semua akan meninggalkan kehidupan yang sementara ini dan beralih ke alam yang kekal abadi. Dengan itu, marilah kita terus berusaha untuk membuat persiapan yang sewajarnya selagimana nyawa dikandung badan.

Perhatikan firman Allah (s.w.t.) yang menegaskan kepentingan sumbangan yang perlu diberikan insan dalam kehidupan ini. Firman-Nya yang berbunyi: 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami yang menghidupkan mereka yang telah meninggal dunia, lalu Kami tuliskan segala yang telah mereka kerjakan, serta segala kesan peninggalan mereka. Dan ingatlah setiap perkara Kami catitkan dalam sebuah kitab yang nyata. (Surah Yasin: 12).

Allah (s.w.t.) menjelaskan pada ayat ini bahawa segala usaha dan amalan yang kita laksanakan semasa hidup dahulu, akan ditulis dan dicatit. Bahkan, pada ayat tersebut, Allah (s.w.t.) menegaskan bagaimana “kesan peninggalan hidup” juga akan dicatit. Kerana inilah hakikat hidup saudaraku. Kita dikurniakan umur serta peluang yang terhad. Maka apakah usaha ataupun ikhtiyar yang dapat kita lakukan untuk meninggalkan satu kesan yang positif. Sama ada bagi mereka yang berada di sekitar kita, ataupun terhadap masyarakat secara amnya.

Perhatikan pesanan Nabi Muhammad (s.a.w.) yang bermaksud: “Jika seseorang anak Adam meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah dan anak yang soleh/solehah yang sentiasa mendoakan kepadanya”. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Segala panduan ini mengajar kita bagaimana Islam sentiasa menitikberatkan untuk tidak mementingkan diri sendiri sahaja. Ia mengajar kita untuk bersikap prihatin kepada insan lain. Untuk menyumbang kebaikan, menderma sebahagian daripada rezeki untuk saudara lain, ataupun untuk satu badan kebajikan dan sebagainya. Segala usaha ini merupakan amalan baik yang berterusan.


Saudaraku,

Terdapat pelbagai peluang dan ruang untuk kita memberi kesan baik kepada insan lain, lantas menjadi bekalan kita di akhirat nanti. Antaranya adalah menerusi sumbangan kepada Wakaf Ilmu. Ia adalah satu usaha di mana dana yang dikumpulkan akan membantu institusi pendidikan agama serta pelajar-pelajar yang memerlukan dalam perjalanan mereka mendalami ilmu agama. Ia merupakan ikhtiyar kita untuk memperkasakan lagi pendidikan agama Islam di Singapura.

Selain itu, kita menyaksikan bagaimana Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin sentiasa berusaha untuk memberi bantuan dan sokongan kepada masyarakat yang berada di rantau yang berhadapan dengan krisis. Sebagai makluman kita semua, Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF) masih lagi mengambil derma untuk Palestin, sehingga 30 Mei 2021. Maklumat mengenai cara menderma boleh didapati di lelaman web MUIS dan juga Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).


Saudaraku, 

Tambahan dari itu, Islam tidak pernah membataskan sumbangan seseorang kepada kewangan semata-mata. Bahkan para sahabat dahulu di zaman Nabi (s.a.w.) sentiasa berusaha untuk menyumbang ke arah kebaikan. Yang tiada harta menyumbang tenaga dan buah fikiran. Dan segalanya diterima Baginda (s.a.w.).

Maka fikirkan saudaraku, apakah jenis sumbangan yang boleh kita hulurkan sebagai bekalan buat kehidupan akhirat.  Adakah dengan menyumbang kepakaran serta kemahiran? Ataupun menyumbang masa dengan menjadi sukarela? 


Saudaraku,

Ingatlah, bahawa Allah (s.w.t.) tidak pernah melihat betapa besarnya sumbangan kita. Namun, yang penting adalah hati yang ikhlas dan murni. Nabi (s.a.w.) berpesan dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud: “‘Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh dan rupa anda, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan anda.”

Semoga Allah (s.w.t.) menerima segala usaha yang kita kerjakan, dan menjadikannya bekalan buat diri kita di akhirat kelak. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.