collections khutbah Allah Bersama Mereka Yang Bertakwa
Allah Bersama Mereka Yang Bertakwa

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

21 Ogos 2020 / 2 Muharram 1442H

Allah Bersama Mereka Yang Bertakwa

Saudaraku yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan dan keimanan yang utuh, Allah s.w.t akan mempermudahkan segala urusan kita di dunia dan akhirat. Amin.

Saudaraku,

Setiap minggu, khutbah akan sentiasa mengingatkan kita untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Ini kerana dengan nilai ketakwaan ini, kita akan meraih tempat yang dekat di sisi Tuhan serta mendapatkan perlindungan dan rahmat-Nya. Sepertimana Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat ke-194 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “…dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah bahawasanya Allah sentiasa bersama dengan orang yang bertakwa”.

Saudaraku, ketakwaan kepada Allah s.w.t. merupakan suatu nilai yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita, sehinggakan Allah s.w.t. menyatakannya sebanyak 259 kali di dalam al-Quran. Dengan ketakwaan ia dapat memandu kehidupan seorang Muslim dalam menghadapi kehidupan di dunia ini.

Maka apakah erti sebenar ketakwaan dan bagaimana kita dapat mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian kita?

Takwa dalam bahasa Arab, datang dari perkataan waqaya yang bermaksud ‘memelihara’. Secara dasarnya takwa seseorang itu mampu untuk memelihara dirinya daripada melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya secara rohani mahupun jasmani.

Orang yang bertakwa ialah orang yang selalu menghasilkan kebaikan untuk diri sendiri dan juga orang yang berada di sekelilingnya, sama ada ahli keluarga, saudara-mara atau jiran tetangganya. Ini kerana beliau akur, Allah s.w.t sentiasa berada di sisinya dan mengawasi segala gerak-gerinya.

Seorang yang bertakwa juga turut menyedari bahawa ketakwaan merupakan satu kompas kebaikan yang membawa dirinya untuk sentiasa menyumbang kebaikan kepada masyarakat dan juga insan sekelilingnya. Dan apabila seseorang yang bertakwa itu diuji, beliau tetap mengekalkan kepercayaan dan keimanan kepada Tuhan bahawa di sebalik setiap ujian, pasti adanya huraian dan kebaikan darinya. Beliau yakin akan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Insyirah ayat ke-5 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaan-Mu) bahawa sesungguhnya pada setiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan”.

Saudaraku,

Ujian yang kita hadapi sekarang ini belum berakhir lagi. Usaha-usaha yang telah kita kerjakan selama ini, seperti menjaga jarak selamat, menjaga kebersihan dan sebagainya, sebenarnya segalanya merupakan usaha kita untuk menjadi insan yang lebih bertakwa. Ia merupakan usaha kita untuk terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dan meraih tempat yang dekat di sisi-Nya. Ia mampu untuk kita capai, melalui melaksanakan kebaikan bagi kemanfaatan ramai.

Ketahuilah saudara, bahawa mereka yang bertakwa juga akan berusaha untuk memupuk sifat daya tahan yang kuat dalam menghadapi setiap keadaan dan cabaran.

Tambahan dari ini, sempena tahun baru Islam (1442H), marilah sama-sama kita merenung seketika akan amal ibadah yang telah kita kerjakan sepanjang tahun ini. Adakah setiap amal ibadah kita dilakukan dengan hati yang bertakwa kepada Allah? Sudahkah kita berusaha sebaiknya untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik dari tahun yang lepas?

Semoga Allah s.w.t. memberikan kita kekuatan untuk sentiasa hadirkan ketakwaan dalam hati. Dan mudah-mudahan dengan itu, Allah s.w.t. akan mengurniakan kita kesenangan dan ketenangan dalam kehidupan di dunia ini, dan juga pada akhirat nanti.  Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.